Kota Kinabalu: Dua puluh tujuh bayi berusia di bawah setahun adalah antara 2,404 kes positif baharu Covid-19 yang dikesan di Sabah hari ini menjadikan jumlah kumulatif wabak itu meningkat kepada 155,006.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah itu, seramai 183 orang adalah kanak-kanak berusia antara satu hingga lima tahun, manakala 455 berusia lingkungan enam hingga 17 tahun.
ARTIKEL MENARIK:Guru tolak vaksin tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka - Radzi
Beliau berkata, saringan kontak rapat masih menjadi penyumbang utama jumlah keseluruhan kes hari ini iaitu 57.9 peratus atau 1,393 diikuti saringan bergejala (755 kes), saringan kluster (65 kes), saringan bersasar (11 kes) dan selebihnya saringan lain-lain.
"Sebanyak 719 kes hari ini dalam kategori satu; kategori dua (1,546 kes); kategori tiga (14 kes); kategori empat (tujuh kes); kategori lima (11 kes) manakala selebihnya masih dalam siasatan," menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata, sebanyak 983 atau 40.9 peratus kes baharu direkodkan hari ini adalah kes positif lewat didaftar antara dua hingga tiga hari, keputusan saringan didaftar lewat antara empat hingga lima hari (127 kes) dan 261 kes didaftar lewat melebihi lima hari selepas keputusan ujian diketahui.
Masidi juga berkata, seramai 1,729 pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan jumlah kumulatif 122,428 orang manakala 4,758 masih menerima rawatan.
Beliau berkata, sebanyak 35 kematian dilaporkan hari ini di 11 daerah iaitu Tawau (17 kes) diikuti Sandakan (lima), Kota Kinabalu (tiga), masing-masing dua kes di Kalabakan dan Beaufort manakala satu kes masing-masing di Kinabatangan, Semporna, Kota Marudu, Keningau, Penampang dan Papar.
Katanya, sebanyak 41.5 peratus penduduk dewasa di Sabah sudah melengkapkan pengambilan kedua-dua dos vaksin COVID-19 manakala 60.5 peratus telah memperoleh satu dos setakat semalam.
Kredit -hmetro
Post a Comment