PETALING JAYA – Penduduk sebahagian besar mukim di lapan daerah di Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok dinasihatkan untuk menghubungi pihak polis sekiranya berdepan dengan masalah seperti terputus bekalan makanan ataupun mengalami tekanan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, Ketua Polis Balai serta anggota polis di Selangor telah diingatkan untuk mengenal pasti penduduk yang memerlukan bantuan dengan lebih proaktif supaya tidak ada penduduk yang tidak dibantu.
ARTIKEL MENARIK:Pengawal keselamatan maut kereta langgar treler
“Kita akan kenal pasti mereka ini dan menghubungkan mereka dengan jabatan berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Lembaga Zakat contohnya untuk mendapatkan bantuan yang mereka perlukan.
“Begitu juga buat penduduk yang mungkin mengalami kemurungan atau mereka ada mengenali sesiapa yang menghadapi masalah itu, kita minta hubungilah balai polis pada bila-bila masa untuk mendapatkan bantuan yang sepatutnya,” katanya ketika di program bual bicara mengenai PKPD yang disiarkan secara maya tadi.
Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, pihaknya maklum akan persoalan yang dibangkitkan oleh penduduk yang perlu merentas daerah bagi tujuan bekerja atau mendapatkan vaksinasi.
Menurutnya, bagi penduduk yang bekerja di syarikat yang dibenarkan beroperasi, mereka perlu mengemukakan surat kebenaran beroperasi syarikat serta surat kebenaran bertugas apabila melalui sekatan jalan raya.
“Ketika PKPD ini, selain mengehadkan pergerakan, pihak kerajaan akan mempertingkatkan operasi untuk memberi vaksin kepada orang ramai jadi mungkin ada peningkatan pergerakan untuk mendapatkan vaksin.
“Jadi kita pasti akan timbul masalah seperti penduduk perlu membawa ahli keluarga ke tempat vaksinasi sedangkan prosedur operasi standard (SOP) kini menetapkan hanya seorang sahaja dibenarkan dalam kereta. Buat masa ini kita akan beri kebenaran kepada mereka untuk bergerak mendapatkan vaksin.
“Bagaimanapun, orang ramai turut digalakkan menghubungi balai berdekatan untuk mendapatkan nasihat sebelum bergerak merentas daerah dan sebagainya,” ujarnya. – K! ONLINE
Kredit -kosmo
Post a Comment