Washington: Joseph Varon, doktor merawat pesakit Covid-19 di sebuah hospital di Texas yang bertugas untuk hari ke-252 sejak penularan pandemik Covid-19 melihat seorang lelaki tua yang dijangkiti virus itu di dalam unit rawatan rapi di hospital berkenaan.
Beliau kemudian dilihat mendakap lelaki berkenaan sebelum ia dirakam oleh jurugambar dari Getty Images dan foto itu tular di seluruh dunia.
ARTIKEL MENARIK:[VIDEO] Lelaki Kahwin Dua Wanita Serentak
Varon, ketua kakitangan di Pusat Perubatan United Memorial di Houston, memberitahu CNN, ketika kejadian, beliau baru memasuki wad berkenaan dan melihat seorang lelaki cuba bangun dan keluar dari sebuah bilik.
“Dan dia menangis. Jadi, saya pergi kepadanya dan bertanya, ‘Mengapa kamu menangis?” katanya.
Varon berkata, lelaki itu memberitahu dia mahu bersama isterinya.
“Jadi, saya memeluknya. Saya amat bersimpati dengannya. Sama sepertinya… saya amat sedih.
“Tidak lama kemudian, dia berhenti menangis,” kata Varon kepada CNN, pada hari ke-256 bertugas sejak penularan pandemik Covid-19.
Varon berkata, wad isolasi Covid-19 amat sukar untuk kebanyakan pesakit terutamanya warga tua.
“Anda boleh bayangkan berada di dalam bilik dan orang yang memasuki wad itu memakai sut seperti angkasawan. Apabila anda sudah berusia, perkara ini amat sukar kerana anda berseorangan,” katanya.
Doktor itu berkata, beberapa pesakit menangis dan ada antaranya yang cuba melarikan diri menerusi tingkap.
Mengenai lelaki tua yang dipeluknya itu, Varon berkata, keadaan pesakit terbabit bertambah baik.
“Kami berharap sebelum akhir minggu ini, dia akan discaj dari hospital,” katanya.
Dalam pada itu, Varon turut mengingatkan semua pihak supaya mematuhi langkah pencegahan Covid-19.
“Mereka yang berada di bar, restoran dan kompleks beli-belah. Ia perkara gila. Orang ramai tidak mahu mendengar (nasihat) dan mereka akhirnya dimasukkan di ICU.
“Mereka perlu melakukan langkah sewajarnya termasuk mengamalkan penjarakan fizikal, basuh tangan dan elakkan berada di tempat yang sesak dengan orang ramai.
“Jika mereka melakukan perkara itu, petugas kesihatan seperti saya akan dapat berehat,” katanya.
Sumber : HMetroKredit - KHALIFAH MEDIA NETWORKS.
Post a Comment