HULU TERENGGANU – Tidak berpuas hati disebabkan kata mengata dan sindir menyindir sebelum ini dipercayai menjadi punca suspek nekad membunuh rakan sekolahnya dalam kejadian di Kampung Lubok Batu, Telemong di sini.
Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, suspek membuat pendedahan motif kejadian itu semasa tampil ke Balai Polis Telemong di sini bagi membantu siasatan pada peringkat awal dengan ditemani ibunya, kira-kira jam 7.30 pagi semalam.
ARTIKEL MENARIK:Suspek Kes Bunuh Surya Ditahan Reman.
Beliau berkata, suspek memaklumkan kononnya mangsa sering mengejek tentang kehidupan keluarganya yang miskin kerana ibunya hanya seorang tukang cuci dan bapanya pula bekerja kampung berbanding kehidupan keluarganya yang agak senang.
“Suspek juga ada mendakwa kononnya mangsa suka mengejek dengan mengatakan yang dia tidak cantik berbanding dirinya dan disebabkan itulah suspek masih tidak mempunyai teman lelaki seperti dia sehingga suspek sering memendam rasa,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.
Mohd Adli berkata, polis masih menyiasat sama ada pelajar perempuan Tingkatan Enam tersebut melakukan pembunuhan itu bersama individu lain atau berseorangan.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan jenayah itu bersendirian berdasarkan hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian selain bahan bukti yang ada di lokasi termasuk kesan tapak kaki.
“Setakat ini, kita tidak boleh sahkan sama ada suspek ada rakan jenayah yang lain atau sebaliknya kerana siasatan masih di peringkat awal.
“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pihak polis untuk membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya percaya berkemungkinan pergelangan tangan mangsa dipotong sehingga putus semasa dia masih hidup sebelum lehernya ditikam dengan senjata sama sehingga mati.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan tusukan pada leher mangsa selain beberapa kecederaan lain.
“Kita juga percaya berlaku pergelutan di antara mereka sebelum itu selepas terjumpa beberapa helaian rambut dalam genggaman mangsa,” katanya yang turut mengesahkan masih menunggu keputusan ujian asid deoxyribonucleic (DNA).
Pagi tadi, Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 9 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, remaja itu yang mengenakan baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Marang di sini kira-kira jam 10.10 pagi.
Semalam, suspek ditahan selepas tampil ke Balai Polis Telemong Hulu Terengganu kira- kira jam 7.30 pagi dengan ditemani ibunya kononnya untuk membantu siasatan, namun hasil keterangan diberi remaja terbabit mencurigakan lalu ditangkap untuk siasatan lanjut.
Penahanan remaja yang bersekolah bersama mangsa daripada Tingkatan Satu hingga Lima itu sekali gus membongkar motif kejadian pembunuhan kejam itu.
Siti Nur Surya dibunuh kejam dengan beberapa kesan tikaman dipercayai senjata tajam di beberapa bahagian badan termasuk putus pergelangan tangan kiri.
Ketika kejadian, bapa mangsa tiada di rumah, manakala mangsa yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik sedang menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat kanser otak.
Sumber : SH
Kredit -
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Post a Comment