KUALA LUMPUR (Bernama) — Tinggal sehari dua sahaja lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sambutan hari raya pada kali ini pastinya jauh berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya memandangkan wabak COVID-19 masih menular di negara ini,
Patuhi SOP. Rentas daerah bukan bermakna boleh bebas. Akhirnya Ds Ismail Sabri bersuara lantang bongkarkan keadaan sebenar pada hari raya pertama. |
ARTIKEL MENARIK:Jangan terkejut kalau ada polis datang beraya di rumah. Polis nekad buru individu yang terlepas rentas negeri untuk pulang beraya. Rupanya ini tindakan yang akan diambil.
DILARANG RENTAS NEGERI
Dalam mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, rakyat perlu akur bahawa pergerakan rentas negeri untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak dibenarkan sama sekali. Perkara itu pastinya menimbulkan kesedihan bagi kebanyakan mereka yang tinggal di negeri berasingan dengan keluarga.
Masakan tidak, sudah berbulan-bulan menangung rindu tidak bersua muka bertemu insan tersayang terutama ayah dan bonda di kampung, keadaan sama turut perlu dilalui pada hari raya ini. Cubaan rakyat merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung halaman masing-masing dilaporkan semakin meningkat.
Sebanyak 1,248 kenderaan diarah berpatah balik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika cuba melepasi sekatan jalan raya pada Sabtu lepas manakala sehari sebelumnya sebanyak 508 kenderaan turut diarah berbuat demikian.
Rasional kerajaan melarang tindakan merentas negeri adalah kerana ia berisiko menyebabkan penularan jangkitan COVID-19. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sehingga 17 Mei, sebanyak 971 kes positif COVID-19 iaitu 14.1 peratus daripada keseluruhan 6,894 kes mempunyai sejarah merentas negeri. Sebanyak 18 kluster daripada jumlah keseluruhan 49 kluster yang pernah dicatatkan di Malaysia juga adalah berkaitan dengan aktiviti merentas negeri dengan 10 daripada kluster itu masih aktif.
BUKAN ‘TIKET’ BEBAS
Bagi yang tinggal senegeri dengan keluarga, sudah tentunya mereka berasa gembira kerana boleh kunjung-mengunjung atau istilah lebih tepat ‘balik kampung’ kerana pergerakan rentas daerah di dalam negeri yang sama masih dibenarkan sepanjang tempoh PKPB termasuklah pada hari raya.
Hakikatnya, rakyat yang diberi kebenaran rentas daerah dan dapat beraya bersama keluarga sebenarnya perlu lebih menghargai kelonggaran yang diberikan. Kebenaran rentas daerah bukan ‘tiket’ untuk bebas bergembira pada hari raya sekaligus mengabaikan SOP yang telah ditetapkan.
Kawalan kendiri atau disiplin diri perlu menjadi keutamaan bagi memastikan tindakan mereka tidak mendatangkan mudarat yang sekaligus boleh membawa kepada berlakunya penularan jangkitan COVID-19. Tambahan pula, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 18 Mei berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat rondaan di kawasan kediaman semasa sambutan perayaan bagi memastikan SOP berkaitan ziarah dipatuhi.
Beliau berkata, sekiranya terdapat kenderaan yang banyak di luar sesebuah kediaman, pihak berkuasa akan membuat semakan bagi mengetahui jumlah individu yang berada di dalam kediaman itu. Kerajaan sebelum ini turut menetapkan aktiviti ziarah-menziarahi semasa perayaan hanya pada hari pertama sambutan dan terhad kepada 20 orang, bergantung pada saiz kediaman.
KLUSTER HARI RAYA
Berkongsi pandangan, Doktor Kesihatan Awam, Dr Shawaludin Husin berkata tindakan paling sesuai diambil rakyat ketika negara belum bebas sepenuhnya daripada krisis ini ialah beraya di rumah sendiri dan menangguhkan niat untuk kunjung-mengunjung antara satu sama lain.
Katanya, rakyat boleh mengambil iktibar daripada laporan kes yang berlaku di Bahrain baru-baru ini di mana seramai 16 sekeluarga dijangkiti Covid-19 selepas menghadiri majlis berbuka puasa sesama mereka. Saudi Gazzete yang memetik laporan Kementerian Kesihatan negara itu melaporkan jangkitan berpunca daripada seorang ahli keluarga itu yang positif wabak berkenaan.
Laporan itu menyebut keluarga berkenaan tidak mematuhi larangan untuk perjumpaan berkumpulan, memakai penutup hidung dan mulut dan penjarakan sosial yang mengakibatkan ibu bapa, adik-beradik serta anak mereka dikesan positif virus itu.
“Walaupun rentas daerah dibenarkan, rakyat perlu ada kawalan kendiri yang tinggi kerana kita sekarang masih dalam fasa memerangi COVID-19. Rakyat perlu sedar bahawa kita semua bertanggungjawab mengutamakan keselamatan berbanding keseronokan dan kemeriahan sambutan hari raya.
“Wabak ini masih aktif. Dr Noor Hisham dalam laman Facebook beliau sebelum ini berkongsi bahawa usaha bersepadu untuk menurunkan jumlah kes COVID-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1 hingga 4 dan 10 hari PKPB membawa kepada kebolehjangkitan atau nilai “R naught” menurun daripada 3.5 kepada 0.3.
“Kita mahu nilai ini terus menurun. Bukan semua masyarakat menjalani ujian saringan jadi ada kemungkinan mereka yang dijangkiti COVID-19 tetapi tidak menunjukkan gejala. Ini yang paling dibimbangi semasa raya nanti apabila berlakunya pergerakan bebas, bergerak ke sana sini (rentas daerah dan kunjung-mengunjung) maka ia berisiko membawa kepada penularan jangkitan dan tidak mustahil gelombang ketiga akan berlaku,” kata Dr Shawaludin kepada Bernama.
TEKNOLOGI SEBAGAI PENGHUBUNG
Mengulas lanjut beliau bagaimana pun berkata, jika rakyat masih mahu kunjung-mengunjung pada hari raya nanti, SOP yang ketat perlu dipatuhi antaranya penjarakan sosial, tiada sebarang sentuhan seperti bersalaman dan berpelukan serta mengikuti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengelakkan 3S / 3C dan mengamalkan 3W.
Rakyat perlu mengelakkan 3S / 3C: iaitu kawasan yang sesak (crowded place), kawasan yang sempit (confined space) dan bersembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation) serta mengamalkan 3W: iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), sangat digalakkan memakai alat penutup hidung dan mulut di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan (warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan yang antaranya duduk di rumah dan hanya keluar sekiranya ada urusan penting sahaja.
“Ziarah juga tak perlulah mengambil masa yang lama. Kerajaan bagi kebenaran untuk ziarah pada hari pertama sahaja dan tidak lebih 20 orang. Jika keadaan rumah kecil dan sempit, janganlah sengaja ‘mengundang penyakit’ dengan menerima kehadiran ramai tetamu di samping tetamu juga perlu tahu peranan dan tanggungjawab mereka kerana COVID-19 ini isu seluruh rakyat.
“Sebenarnya kita boleh menggunakan teknologi yang ada sebagai ‘pengganti diri’ semasa hari raya nanti. Aplikasi Zoom, Skype, panggilan video Whatsapp dan pelbagai lagi medium untuk kita menyampaikan ucapan hari raya dan memohon maaf. Kita takut kebolehjangkitan berlaku lebih-lebih lagi kepada golongan berisiko seperti warga emas, mereka yang menghidap penyakit kronik dan kanak-kanak yang berusia di bawah dua tahun.
“Jika jangkitan berlaku kepada golongan ini maka risiko pemergian juga akan meningkat yang sekaligus akan menjejaskan usaha KKM dan kerajaan serta rekod pencapaian terbaik negara dalam mengekang pandemik ini,” katanya sambil menambah kegagalan mengawal perlakuan bersalam termasuk mencium pipi ketika bertemu semasa hari raya secara automatik akan membawa kepada kontak rapat, sekiranya dijangkiti sekaligus pertambahan kes COVID-19 di Malaysia. Berayalah di rumah sendiri. #kitajagakita!
via Era Kini
Post a Comment