1. PERKARA pertama yang terlintas di fikiran saya, sampai bila kita harus terus menerus membahaskan betapa tidak produktifnya negara ini jika Kerajaan hanya berminat untuk ‘membawa pulang’ segala apa yang pernah dibuat suatu ketika dahulu.
Sains dan Matematik mesti diajar dalam bahasa ibunda |
Kita tidak boleh terus menerus membazirkan masa untuk menjadikan ‘zaman sekarang’ sebagai ‘zaman dahulu’ semula. Sudah terlalu banyak masa kita bazirkan untuk bercakap tentang baik dan buruk mengulang-ulang dasar sebelum zaman lepas dalam konteks semasa.
ARTIKEL MENARIK: 'Bagi diorang makan kelawar' - Netizen puas hati 2 samseng belasah pemandu bas didakwa di mahkamah
Loading...
2. Sesungguhnya, perkara ini sangat mengecewakan. Malah, merisaukan.
3. Dalam konteks PSMI ini pula, saya kira jika dasar ini dilaksanakan kembali, ia bukan sahaja menunjukkan kegagalan kerajaan untuk tampil dengan dasar yang segar dan baharu. Malah merupakan langkah mundur ke belakang dalam pembangunan negara ini.
4. Biar saya memberikan hujah mengapa PPSMI adalah satu dasar yang mesti ditolak.
5. Pertama, setelah lebih enam dekad kita merdeka, ramai sekali pemimpin kita yang tidak ada keyakinan langsung bahawa Bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu.
6. Sudahlah mereka tidak mampu bertutur dengan baik dalam Bahasa Melayu. Mereka menganggap pula Bahasa Melayu sebagai bahasa mundur dan bukan medium yang sesuai untuk menjadi bangsa maju. Sebenarnya, hanya bangsa yang lemah akan memandang rendah dan tidak yakin dengan kemampuan bahasa ibundanya. Bangsa yang kuat, berani dan patriotik tidak akan sama sekali membelakangkan bahasa asalnya. Sebaliknya akan sentiasa mencari jalan untuk melonjakkannya.
7. Bagaimana maju pun sesuatu bangsa dan negara itu, pasti akan pincang kemajuan tersebut jika ia gagal memajukan bahasanya. Tidak ada bangsa yang maju tetapi tidak mempunyai bahasa yang kuat dan diangkat.
8. Kedua, memajukan bangsa dalam sains dan teknologi mesti dilakukan dengan tidak mengorbankan identiti kita dalam berbangsa dan bernegara.
9. Malaysia adalah negara yang mempunyai identiti tersendiri yang diikat serta disatukan melalu Bahasa Melayu. Dengan meminggirkan Bahasa Melayu, ia tidak ubah seperti meminggirkan elemen paling penting dalam penyatuan dan kesatuan kita.
Loading...
loading...
10. Semenjak merdeka, kita telah berjanji untuk membangunkan tanahair ini secara bersama- sama dengan memperkukuhkan karakter asas tanah air kita. Bahasa Melayu adalah karakter asas dan fundamental tanahair ini. Ia adalah identiti kita, cerminan tamadun dan pemikiran kita. Malah, ia adalah elemen asas yang disebut dan dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan.
11. Apa makna sebuah Malaysia yang moden, maju dan terkemuka, jika ia menjadi negara yang tiada karakter? Sehingga segala ramuan kemajuannya mahu bersumberkan Barat sampaikan Bahasa ibunda sendiri dipinggirkan. Malah, segala dasar yang dibuat tidak pun menjurus kepada ikhtiar menterjemahkan semangat dan aspirasi Perlembagaan Persekutuan.
12. Kita lihat sahaja bagaimana masyarakat Cina di negara ini mempertahankan institusi sekolah vernakular mereka. Tidak ada tolak ansur dan kompromi dalam hal ini.
13. Mereka memperjuangkannya bermati-matian. Bukan kerana kurikulum sekolah kebangsaan kurang ampuh dan tidak setanding. Tetapi kerana di sekolah vernakular, semua itu dilaksanakan dalam Bahasa Mandarin. Bahasa yang memberikan mereka identiti sebagai bangsa Cina. Bahasa yang menghubungkan mereka dengan sejarah penghijrahan mereka. Bahasa yang mesti mereka pertahankan kerana itulah satu-satunya yang membezakan mereka dengan bangsa lain di dunia.
14. Jadi, kalaupun kita tidak menganggapnya sebagai lebih baik, setidak-tidaknya mengapa kita tidak mahu memberikan nilai dan maruah yang sama kepada Bahasa Melayu?
15. Ketiga, sains dan teknologi hanya akan terbangun melalui budaya penerokaan, komitmen kepada kemajuan ilmu dan pelaburan yang bersungguh-sungguh untuk membangunkan masyarakat saintifik.
16. Ia subur melalui banyak pendekatan. Kerjasama dengan pelbagai pusat dan pakar sains. Eksplorasi pedagogi yang terkini dan berteknologi. Malah, pemberian insentif khusus yang bersifat galakan dan motivasi. Bukannya mengajar sains dan matematik itu dalam Bahasa Inggeris.
17. Sains dan teknologi adalah ‘language neutral’. Malah, tidak ada bahasa yang boleh mendakwa ia adalah bahasa sains, apatah lagi bahasa matematik. Teorem Pythagoras, Algebra, Pengamiran, Persamaan Serentak dan segala teori serta prinsip matematik yang lain akan kekal hukum dan formulanya biar dalam bahasa apa pun ia dihitung. Penemuan, penciptaan dan penerokaan sains termaju, lahir dan boleh diungkapkan dalam apa jua bahasa sekalipun.
18. Lihat sahaja bagaimana cendekiawan Arab membangunkan Baghdad dan Andalusia, menjadi pusat kemajuan sains dan teknologi suatu ketika dulu. Bagaimana Ibnu Sina, Ar-Radhi dan Al-Khawarizmi, meneroka pelbagai penemuan saintifik dan menjadikan ia asas kepada sains termaju waktu ini. Semuanya dalam bahasa mereka tersendiri.
19. Lihat juga bagaimana cendekiawan Cina membangunkan tamadun saintifik mereka. Begitu juga dengan Rusia, Jerman, Jepun, Korea dan pelbagai negara Scandinavia seperti Norway, Finland dan Sweden yang bukan penutur Bahasa Inggeris.
20. Yang mereka lakukan bukannya menyebarkan bahasa Arab atau Bahasa Inggeris. Sebaliknya, mencedok segala ilmu tersebut lalu diajar, dikembangkan dan dibangunkan dalam bahasa ibunda mereka. Bukan sahaja ia mengayakan khazanah bahasa, sebaliknya ia memberi peluang kepada lebih ramai anak bangsa mereka yang bijak pandai untuk sama- sama menguasai disiplin ilmu tersebut.
21. Dan sehingga ke hari ini, mereka masih melakukan perkara yang sama, iaitu memajukan sains dan teknologi dalam Bahasa ibunda mereka dan bukan Bahasa Inggeris, atau mana- mana bahasa asal sains dan matematik seperti bahasa Arab.
22. Keempat, apakah sebenarnya yang ingin diukur melalui pengenalan semula PPSMI ini? Kompetensi dan ilmu atau kemampuan berbahasa.
23. Ini masalah sebenar pembuat dasar kita. Mengajar ilmu sains dan matematik yang kompleks itu dalam bahasa yang tidak difahami dengan baik oleh pelajar, adalah ikhtiar sia-sia. Malah akan menggagalkan kedua-dua cabang ilmu tersebut iaitu sains dan matematik serta bahasa.
24. Sains dan matematik akan menjadi subjek yang mempesonakan kepada pelajar jika ia diajar dalam bahasa pertuturan mereka. Bahasa yang mereka fahami dan gunakan dalam kehidupan mereka.
25. Bayangkan betapa bosan dan hambarnya pelajaran sains dan matematik, bila ia diajarkan dalam bahasa yang pelajar dan guru sendiri tidak kuasai dengan baik. Dan betapa terhad dan teknikalnya bahasa Inggeris apabila diajarkan sebagai medium untuk mempelajari ilmu lain.
26. Ia sangat merumitkan. Rumit kerana mereka tidak mahir bahasa Inggeris dan lebih rumit lagi kerana mereka harus memahami sains dan matematik yang sangat kompleks dalam bahasa yang mereka tidak kuasai dengan baik.
27. Pelaksanaan PPSMI adalah dasar yang gagal dan akan merugikan anak-anak kita semua. Ingatlah jurang pemisahan antara bandar dan luar bandar adalah sangat nyata di Malaysia ini. Begitu juga jurang keberadaan dalam bandar antara yang miskin dan kaya.
28. Anak-anak kita, tidak berada di padang yang sama rata. Kesenjangan di Malaysia adalah nyata dan benar. Melaksanakan PPSMI ini akan hanya melebarkan lagi jurang keberadaan ini.
29. Saya dan rakan-rakan dalam UMNO akan memperjuangkan penggunaan bahasa ibunda untuk pendidikan kebangsaan tanpa kompromi. Kami tidak akan bersetuju dengan dasar yang ternyata telah gagal sebelum ini dan mengulangi kesilapan besar tersebut.
30. Ini adalah taruhan perjuangan kami. Kami tidak lagi mahu dihukum atas kesilapan lepas apabila membiarkan PPSMI dilaksanakan kerana menuruti kemahuan sang “Perdana Menteri” waktu itu.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO
Penafian: Kenyataan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net. Kenyataan ini pertama kali disiarkan dalam Facebook penulis.
Post a Comment