Mangsa samun meninggal dunia selepas 2 bulan koma

Mangsa samun meninggal dunia selepas 2 bulan koma

BUKIT MERTAJAM: Seorang pekerja butik yang cedera parah selepas disamun di Persiaran Jenahak 2, Seberang Jaya, di sini pada November tahun lepas meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini Isnin lalu.

Mangsa samun meninggal dunia selepas 2 bulan koma
Polis mengklasifikan semula kes Nurfarahdila Zulkifli Amin di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu bunuh selepas beliau meninggal dunia Isnin lalu. (Gambar Facebook)

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, Nurfarahdila Zulkifli Amin, 32, yang patah tulang leher, pecah bibir, bengkak di tangan dan koma selepas disamun, meninggal dunia kira-kira 8 malam Isnin.

ARTIKEL MENARIK: 2 kanak-kanak meninggal dunia disyaki dijangkiti Influenza

Loading...

“Dalam kejadian 9.30 pagi 23 Nov tahun lepas, wanita itu sedang menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bandar Perda, di sini sebelum tiba di Persiaran Jenahak 2 dan disamun seorang lelaki menaiki sebuah motosikal.

“Suspek dipercayai menendang motosikal mangsa sehingga menyebabkan wanita itu terjatuh ke tepi jalan sebelum melarikan beg tangan mengandungi telefon bimbit, kad pengenalan, kad bank serta sejumlah wang tunai,” katanya kepada Bernama pada Selasa.

Beliau berkata, orang ramai yang berada di lokasi kejadian cuba mengejar suspek, namun tidak berjaya dan mereka memberi bantuan kepada mangsa sebelum dihantar ke HSJ.



Loading...
loading...

Katanya, berdasarkan keterangan saksi, mangsa sempat memberitahu alamat tempat kerjanya dan meminta orang ramai menghubungi keluarganya bagi memaklumkan beliau disamun serta cedera.

“Mangsa dirawat di HSJ sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk menjalani pembedahan tulang leher pada 27 Nov dan menerima rawatan di situ sehingga 10 Jan lepas, sebelum dipindahkan semula ke HSJ. Sepanjang tempoh berkenaan, wanita itu dalam keadaan koma.”

Katanya, polis menahan lelaki yang menyamun mangsa 4 hari selepas kejadian itu dan suspek berumur 30 tahun itu didakwa di Mahkamah Sesyen Bukit Mertajam pada 20 Dis lalu di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, lelaki yang mempunyai 6 rekod lampau itu sedang dipenjarakan kerana tiada wang membayar ikat jamin ketika didakwa di mahkamah dan polis mengklasifikasikan semula kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu bunuh.

“Polis klasifikasikan semula kes itu selepas mangsa meninggal dunia kelmarin dan kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.”

Sumber : Free Malaysia Today

-----------------------------------------------------------------

Post a Comment

Previous Post Next Post