Sejak beberapa bulan lalu, kehidupan seorang ibu tunggal dan tiga anaknya berubah susulan kesempitan hidup yang dialami.
Ibu Tunggal Tiga Anak Tinggal Dalam Reban Ayam Selepas Bercerai |
Malah lebih menyayat hati, Rabiatul Adawiyah Ayub, 32, terpaksa menjadikan reban ayam sebagai tempat tinggal bersama anak-anaknya di Kampung Panggong Tiga Daerah, Bukit Abal, di Pasir Puteh, Kelantan.
ARTIKEL MENARIK: Gambar Keriangan Ibu Gelandangan Yang Menghiburkan Anaknya Buat Ramai Tersentuh Hati
Reban ayam yang sudah tidak digunakan itu terletak di sebelah rumah kecil ibunya, yang didirikan atas tanah rezab tali air berhampiran.
Menceritakan kisah hidupnya, Rabiatul Adawiyah berkata, kehidupannya berubah selepas berpisah dengan suaminya, tahun lalu.
Lebih teruk katanya, bekas suaminya tidak mampu untuk menampung keperluan anak-anak apabila mengalami cedera parah susulan terlibat dalam kemalangan.
“Selepas bercerai pada awalnya bekas suami sewakan rumah dan sediakan keperluan harian anak-anak, selepas kemalangan dia tak dapat bekerja dan tak mampu nak beri tampung keperluan anak-anak lagi.
“Jadi saya buat keputusan untuk balik ke kampung emak di sini. Tetapi terpaksalah duduk dalam gok (reban) ayam ini.
“Saya tak mahu susahkan mak untuk menumpang kerana rumahnya juga kecil,” katanya ketika ditemui Malaysiakini.
Terdahulu, kisah kesempitan hidup Rabiatul Adawiyah itu menjadi tumpuan dan viral di media sosial.
Tinjauan Malaysiakini mendapati, kehidupan ibu tunggal bersama anak yang berusia antara tiga hingga tujuh tahun itu agak tidak terurus termasuk dalam soal makan-minum dan pemakaian.
Jelas Rabiatul Adawiyah berkata, mereka hanya makan nasi sekali sehari untuk mengisi perut.
Katanya, bagi menampung keperluan harian dia kini menjaja kain secara kecil-kecilan dari rumah ke rumah di sekitar kawasan mukin Bukit Abal.
“Memandangkan anak-anak masih kecil, sukar untuk saya bekerja. Buat masa ini saya jual kain yang dibekalkan oleh kakak. Selepas hantar anak sulung ke sekolah, saya akan mula menjaja kain atau kutip duit jualan kain.
loading...
“Setiap hari pada waktu pagi atau tengah hari saya akan beli nasi bungkus untuk makan bersama anak-anak.
“Waktu petang dan malam, kami ikat perut atau makan makanan ringan,” katanya.
Serah anak pada kakak
Selain itu, Rabiatul Adawiyah sebenarnya mempunyai seorang lagi anak yang kini diserahkan kepada kakaknya untuk dididik dan dibesarkan.
Anak keempat itu diserahkan kepada kakaknya sebaik dilahirkan awal tahun lalu.
“Kakak minta untuk jaga anak bongsu memandangkan kehidupan saya agak kesempitan.
“Memang berat untuk lepaskan tetapi memandangkan keadaan ini saya reda. Lagi pula darah daging saya sendiri yang menjaganya,” katanya.
Susulan kisahnya viral di media sosial, Rabiatul Adawiyah menjadi tumpuan ramai khususnya penduduk setempat dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mula menghulurkan bantuan.
Katanya, sejak petang semalam ramai pihak datang memberi sumbangan wang ringgit dan barang keperluan makanan.
“Hari ini ada orang parti politik datang jenguk, saya tak kenal. Ada orang lain daripada NGO. Mereka ada bagi sumbangan bekalan makanan, dan duit.
“Selain itu ada yang mula hantar barang-barang untuk bina rumah, katanya rumah akan dibina tak lama lagi untum digantikan dengan reban ayam ini,” katanya yang turut berterima kasih atas keprihatinan masyarakat dan berharap kehidupannya bersama anak-anak akan lebih selesa nanti.
Sementara itu Ketua Jajahan Pasir Puteh, Ab Pattah Hasbullah ketika dihubungi Malaysiakini menjelaskan kisah keluarga itu sudah di bawah mengetahuan pihaknya.
Malah menurut beliau, bantuan segera berupa wang tunai RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah diberikan.
“Kita juga sedang urus bantuan bulanan untuk anaknya sebanyak RM300 sebulan, manakala siasatan lebih terperinci sedang dilakukan oleh penggawa kawasan tersebut,” jelasnya.
Bagi mereka yang berhasrat untuk membantu keluarga ini boleh menghubungi menerusi aplikasi WhatsApp ke talian 017 968 9519.
Sumber: Malaysiakini
Post a Comment