“Tipu Kalau Tak Ada Rasa Sedih Bila Orang Tanya Pasal Muka”, Gadis Disimbah Asid Akui Makin Sukar Bernafas
“Tipu Kalau Tak Ada Rasa Sedih Bila Orang Tanya Pasal Muka”, Gadis Disimbah Asid Akui Makin Sukar Bernafas |
Sudah lapan tahun peristiwa hitam ini terjadi dalam hidupnya namun sedikit pun tiada sekelumit dendam di hati Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan. Bagi pelajar tingkatan empat SMK Tun Indera, Kuala Berang, Hulu Terengganu ini, dia sudah lama memaafkan perbuatan ayahnya.
Mesra disapa Lin, gadis disimbah asid oleh bapanya sendiri ketika usianya mencecah 8 tahun, dia sudah lama memaafkan ayahnya. Malah bapanya sendiri sudah banyak kali mengunjunginya termasuk meminta maaf atas keterlanjuran lalu selepas dibebaskan dari penjara.
ARTIKEL MENARIK: Jaga Luka Bersunat, Ada 9 Nasihat Daripada Doktor Buat Mak Pak Yang Risau Anak Bentan
Tipu jika tiada rasa sedih terpahat di hatinya setiap kali menatap cermin. Dia juga ada perasaan ingin wajahnya dilihat normal dan cantik tapi dia pendamkan saja kesedihan hati itu kerana tahu dia bukan siapa-siapa.
Lin bersama adik beradiknya termasuk adik tirinya selepas emaknya berkahwin lain
Ibu bapanya bukan orang senang atau mempunyai tanah berelung yang boleh dijual segera untuk menampung kos perbelanjaan tersebut. Rasa sedih itu ada ada kerana itulah bila ada pihak berjanji mahu membiayai kos pembedahan plastik, dia begitu gembira. Tapi sayang janji seorang jutawan kosmetik yang mahu membiayainya sejak dua tahun lalu masih tidak ditepati sehingga ke hari ini.
“Tak tahu nak cakap bagaimana. Saya hanya menurut sebagaimana janjinya yang mahu membiayai pembedahan wajah ini ketika kami bertemu dahulu. Tapi saya akui semakin sukar bernafas kerana semakin meningkat usia, agak susah bernafas terutama bila ada mengidap selesema,” katanya mengakui bukan saja sebahagian wajahnya, hidung tetapi sebahagian tubuhnya turut terkena simbahan asid tersebut.
“Saya sudah banyak kali pergi ke hospital termasuk ke Kuala Lumpur selepas dijanjikan pembiayaan kosmetik ini sebanyak RM100,000. Tapi sehingga ke hari ini, janji itu tinggal janji sahaja,” katanya ketika dihubungi oleh REMAJA.
Lin bersama rakan sekolahnya
Dalam pada itu, Lin akui dia selalu menguatkan mental dan hatinya untuk berhadapan dengan sebarang ujian.
Hatinya juga terasa sedih jika orang yang baru dikenali sering mengaju soalan yang sama berulang kali, kenapa dengan wajahnya. Apa yang berlaku dan semua pertanyaan itu membuatkan dia berasa sedih biarpun dia cuba berlagak tenang di hadapan orang tersebut.
“Kalau orang selalu tanya tu kenapa dengan muka saya, memang rasa sedih. Tak tahu bagaimana nak beritahu pada orang tentang nasib diri ini,” katanya mengakui kesan parut itu juga kerap gatal bila berpeluh.
Lin bersama bapanya yang begitu menyesali perbuatan lalu. Malah kata bapanya, kalau dia punya tanah dia sudah menjualnya untuk membiayai pembedahan wajah anaknya itu
Gambar Lin ketika masih kecil, (baju kuning)
Diminta bercerita kisah lapan tahun lalu, kata Lin kejadian itu berlaku sekitar jam 1.40 pagi. Dia yang sudah lena namun terjaga selepas mendengar suara bapanya.
“Lin memang rapat dengan abah. Bila dengar suaranya Lin terus bangun dan pergi padanya tanpa sedar ada bahaya menanti. Tahu-tahu saja muka terasa panas selepas terasa titisan air di muka. Bila ke bilik air, Lin terus basuh muka tapi masih panas juga. Sampailah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu,” katanya yang agak tenang.
Jelas Lin, ayahnya ada meminta maaf.
“Malah kata ayah, kalau dia ada tanah dia dah jual untuk pembedahan muka saya ini tapi dia tiada apa-apa. Dia memang menyesal tentang perbuatannya tapi apa pun Lin memang sayang dan hormat kepadanya,”katanya yang agak tenang.
Dalam pada itu, emaknya, Cheku Zaimah Cheku Awang, 36 tahun, dia mengesahkan memang ada janji dari jutawan kosmetik itu untuk membiayai pembedahan wajah anaknya.
“Sebelum ini memang kami ada berhubung namun dia semakin sibuk. Ada juga bagi mesej tapi sudah tidak dibalas. Takkanlah kami terus-terusan menghubunginya kerana kita juga ada rasa segan kalau orang sudah tidak membalas mesej.
“Memang sedih tengok keadaan anak. Dia juga semakin sukar bernafas dan lebih terus bila selesema. Parut pembedahan yang diambil dari kulit pehanya juga ada kala kelihatan merah dan luka bila digaru. Kita memang mengharap bantuan itu kerana itu janji dibuat,”katanya yang mengiyakan hal yang tular mulai semalam termasuk dia menyebut nama jutawan kosmetik tersebut.
Adik lelakinya juga turut mendapat parut di muka dalam kejadian lapan tahun lalu itu
Lin bersama emaknya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang
Sebagai insan biasa, Lin cuma berharap agar ada insan-insan baik hati yang dapat membiayai pembedahan wajahnya itu.
“Lin ada perasan itu, mahu kelihatan normal seperti gadis remaja yang lain. Memang sekarang Lin buat seperti biasa di sekolah tapi semakin kita membesar, sudah tentu kita mahu kelihatan sama seperti orang lain.
Bagi korang rakyat Malaysia yang prihatin, bantulah Lin dengan menghulurkan bantuan kewangan buatnya bagi dia menjalani pembedahan ini secepat mungkin. Jika “janji” jutawan kosmetik itu tinggal janji, apa kata kita sebagai rakyat Malaysia saling bantu membantunya. Mana tahu hari ini kita bantu orang, esok lusa orang bantu kita pula.
Bagi korang yang prihatin, boleh salurkan bantuan kewangan ke Bank Simpanan Nasional di akaun 11500- 41 – 000040- 457 atas nama Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan.
Jom kita bantunya sorang sikit, semoga diri Lin kembali normal seperti gadis lain.
Sumber : remaja via mediaohsem via Express Viral
Post a Comment