Skuad Negara ‘Kuningkan’ Kota Bangkok, Kejutkan Juara Bertahan Untuk Ke Final
Skuad Negara ‘Kuningkan’ Kota Bangkok, Kejutkan Juara Bertahan Untuk Ke Final |
Malaysia berjaya melepasi cabaran yang cukup getir di Stadium Rajamangala selepas berjaya mengikat juara bertahan, Thailand 2-2 pada separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018, sebentar tadi.
Tidak mahu skrip yang sama berulang seperti perlawanan pertama di Kuala Lumpur tempoh hari, skuad bimbingan Milovan Rajevac mempamerkan corak permainan lebih agresif pada aksi malam ini.
ARTIKEL MENARIK: Inilah Pekerjaan Lain Lee Chong Wei Selain Bermain Badminton
Keadaan yang jelas membuatkan skuad negara bergelut bagi mencipta serangan berbahaya ke arah kubu pasukan tuan rumah yang mendapat sokongan padu penyokong setia mereka.
Tidak banyak yang dapat diperkatakan pada 20 minit awal dengan kedua-dua pasukan berusaha keras untuk memburu jaringan.
Keadaan stadium berubah menjadi lebih gamat pada minit ke-21 selepas Thailand berjaya membuka tirai jaringan.
Mongkol Tossakrai yang menerima hantaran jauh daripada Supachai Chaided terus melakukan hantaran ke belakang bagi mencari Thitiphan Puangchan,.
Tandukan yang dilakukan Thitiphan terkena pertahanan gantian, Irfan Zakaria yang terus membolosi gawang skuad negara.
Kegembiraan tersebut hanya bertahan selama tujuh minit sahaja apabila Syahmi Safari kembali menyamakan kedudukan menerusi satu jaringan menarik yang membuatkan penyokong Thailand terdiam buat seketika.
Berpunca daripada gerakan dicipta Nazirul Naim Che Hashim dari bahagian sendiri yang kemudiannya mengumpan kepada Norshahrul Idlan Talaha.
Norshahrul terus melorongkan bola buat Syahmi yang meluru pantas dan seterusnya meledakkan rembatan padu untuk menewaskan Chatchai Budprom di gawang Thailand.
Jaringan yang kembali meningkatkan keyakinan buat para pemain negara bagi terus mengasak kubu Thailand.
Memasuki babak kedua, Malaysia hampir mengejutkan Thailand selepas hantaran lintang yang dicipta Mohamadou Sumareh terus singgah di kaki Norshahrul yang tidak dikawal.
Penjaring terbanyak skuad negara itu bagaimanapun merembat liar walaupun mempunyai ruang yang besar untuk lebih bersabar dalam melakukan percubaan.
Pansa Hemviboon kembali meletakkan Thailand di hadapan pada minit ke-63 selepas beliau berjaya menanduk masuk bola susulan sepakan percuma yang diambil Sumanya Purisai terlebih dahulu terkena palang gol.
Usaha anak buah Tan Cheng Ho menghadirkan kegembiraan buat penyokong setia Harimau Malaya selepas mereka berjaya untuk sekali lagi memadamkan kelebihan yang dimiliki Thailand.
Norshahrul Idlan yang mendapat hantaran lintang rendah daripada Syamer Kutty Abba melakukan percubaan sekaligus mengelirukan Catchai untuk gol penyamaan buat skuad negara.
Tertekan dengan keputusan terikat 2-2, Thailand menggandakan asakan untuk mencari jaringan kemenangan yang diharapkan.
Skuad Gajah Perang hampir merealisasikannya pada minit ke-83 tetapi tandukan daripada Pansa hanya singgah di palang gol untuk bola keluar bagi menyelamatkan gawang skuad negara.
Syahmi Safari hampir menjadi ‘punca kegagalan’ buat skuad negara apabila beliau tertampan bola menggunakan tangannya untuk sepakan penalti dihadiahkan buat Thailand pada minit akhir permainan.
Mujur sepakan yang diambil Adisak Kraisorn meliar melewati palang gol untuk menghadiahkan slot final buat skuad negara pada edisi kali ini berdasarkan kelebihan gol di tempat lawan.
Kredit KLViral
Post a Comment