BR1M Akan Naik Jika BN Menang Tapi Apa PH Buat? Soal Najib
BR1M Akan Naik Jika BN Menang Tapi Apa PH Buat? Soal Najib |
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terus mengusik kerajaan selepas pengumuman Belanjawan 2019, 2 November lalu.
Kali ini menerusi catatan di Facebooknya pada Sabtu, beliau menyentuh soal pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang bakal disalurkan kerajaan pada 2019.
ARTIKEL MENARIK: “Saya Menghadap Allah, Terpulanglah Mereka Nak Buat Apa..”
Katanya, jika BN menang dalam PRU14 lalu, jumlah bayaran akan dinaikkan, kategori baharu untuk isi rumah berpendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan, akan menerima BR1M RM700 bakal diperkenalkan dan peruntukkan bantuan RM1,500 kepada anak-anak penerima BR1M yang berjaya mendaftar di pusat-pusat pengajian tinggi.
Kesemua itu katanya, melibatkan peruntukan sebanyak RM10 bilion.
Bagaimanapun Najib berkata, apa yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hanya terhad untuk 4.1 juta rakyat Malaysia, tidak seperti manifesto BN yang memperuntukkan penerima BR1M kira-kira lapan juta orang.
Menurutnya, bukan sekadar nilai BR1M dipotong dan jumlah penerima dikurangkan malah golongan muda juga tidak mendapat manfaat apa yang dilakukan oleh BN sebelum ini.
“Malangnya, di dalam belanjawan 2019 kerajaan yang diumumkan minggu lepas, PH telah memotong peruntukan ini kepada RM5 bilion dan jumlah penerima kepada 4.1 juta orang sahaja. Beberapa kategori pemberian sudah dimansuhkan dan bayaran untuk kategori yang lain banyak dikurangkan.
“Bantuan untuk tahun-tahun selepas 2019 juga bakal menurun kerana kerajaan PH telah mengumumkan bahawa bantuan-bantuan ini akan dikurangkan secara berperingkat sehingga dihentikan terus,” katanya.
Menurutnya, punca menyebabkan pengurangan itu berlaku adalah sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dihapuskan kerajaan dengan menggantikannya kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Najib berkata, melalui GST, golongan kaya yang sering mengelak membayar cukai dan ekonomi ‘gelap’ akan menyumbang lebih banyak bayaran GST kepada kerajaan.
“Dengan hasil daripada mereka, kita salurkan lebih banyak kepada golongan B40 setiap tahun. Pembayaran BR1M turut meningkat setiap tahun. Ekonomi luar bandar juga dirancakkan dan jurang pendapatan negara semakin dirapatkan.
“Dengan PH, rakyat masih bayar SST dan harga barang tidak turun disebalik janji mereka untuk kurangkan kos sara hidup dan BR1M yang lebih baik. Orang kaya dan ekonomi gelap yang untung tetapi bantuan kepada B40 dikurangkan dan dimansuhkan,” katanya.
Diakhir catatanya, Najib sempat mengusik; “Tapi tak apa, rakyat kini dapat petrol RM1.50 seliter, bayaran tol percuma, RM50 penuh satu troli dan PTPTN dimansuhkan. Betul?”. – Sinar Harian
Post a Comment