Muka jadi senget, pipi bergetar. Diminta buat ujian HlV, Saya berasa dunia sudah gelap
Muka jadi senget, pipi bergetar. Diminta buat ujian HlV, Saya berasa dunia sudah gelap |
Seorang remaja berasa dunianya gelap apabila disarankan oleh doktor untuk menjalani ujian saringan HIV selepas pengsan sewaktu melakukan aktiviti ko-kurikulum di sebuah universiti.
Ketika kejadian, Mohammad Anas Zikril Hakim Alias, 19, pengsan kerana tidak tahan dengan cuaca terik melampau sehingga dia terpaksa dikejarkan ke Hospital Alor Gajah, Melaka.
ARTIKEL MENARIK: Gelinya, Disangka Urat Rupanya Cacing Bersarang Dalam Urat Kaki Kerana Sering Melakukan Perkara Ini
Kata Mohammad Anas, doktor memintanya melakukan ujian tersebut setelah melihat keadaan wajahnya senget dan matanya tidak berhenti berkerdip.
“Ini kali ketiga saya pengsan di kampus. Sedar-sedar je dah kat hospital. Saya diminta untuk buat imbasan CT. Bila dah selesai semua doktor bahagian kecemasan datang.
“Datang-datang terus tanya… awak tahu tak awak ada Bell’s palsy both sides? Bermacam-macam mereka tanya. Dah kahwin ke belum? Awak dah ada anak ke? Duduk dengan siapa? Parents dekat mana?
“Lepas jawab semua pertanyaan itu, doktor kata esok saya kena jumpa pakar saraf. Dekat kepala dah fikir macam-macam. Mana taknya, macam-macam soalan ditanya end up dia suruh jumpa pakar saraf,” katanya kepada mStar Online.
Anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata dia tidak dapat melelapkan matanya pada malam tersebut kerana berdebar-debar menunggu hari esok.
“Pagi esok, doktor pakar datang. Dia tanya soalan sama lagi. Lepas tu macam berlapik nak cakap sesuatu. Dia tanya awak tahu tak yang kebanyakan masalah berkaitan saraf muka dan otak ini selalunya ada HIV.
“Jadi dia minta saya buat ujian HIV. Bila dengar doktor cakap macam tu, saya rasakan dunia saya gelap, hidup saya seperti tiada arah tuju.
“Saya bercakap dalam hati, Ya Allah, apa lagi ujian yang engkau beri padaku, tak cukup lagikah dengan apa yang aku lalui sekarang ini,” katanya.
Sebaik sahaja selesai menjalani ujian tersebut, Mohammad Anas berkata emosinya sedikit terganggu sehingga dia hilang selera makan.
“Nak tunggu keputusan ujian tersebut dua minggu macam lama sangat. Macam-macam terlintas di fikiran. Yalah… dengar pasal HIV dah buat kita takut apatah lagi kalau diri sendiri terkena penyakit tersebut.
“Sepanjang tempoh itu saya jadi moody dan makan pun tak mahu. Berat badan saya turun 2kg,” katanya.
Mohammad Anas sewaktu berusia 14 tahun.
Anak kelahiran Batu Caves, Selangor ini menarik nafas lega apabila keputusan ujian HIV tersebut negatif.
Namun Mohammad Anas berkata dia kembali hilang semangat apabila dua penyakit lain yang dialami tidak menampakkan tanda untuk pulih sejak Januari lalu.
“Saya bersyukur kerana tidak menghidap HIV tapi penyakit Bell’s palsy dan twitching saya masih sama sampai sekarang. Kalau nak diikutkan saya dah give up. Saya rasa macam tiada sebab dah nak hidup lagi.
“Hari-hari saya fikir nak bunuh diri sebab tak tahan. Tapi yang menguatkan diri saya sebab agama dan Allah. Itu sebab saya masih ada dekat dunia ni,” katanya.
Bell’s palsy adalah satu penyakit kelumpuhan muka idiopatik (tidak diketahui punca) akibat disfungsi saraf tengkorak VII (saraf muka) yang mengakibatkan ketidakupayaan mengawal otot muka pada bahagian yang terjejas.
Bercerita mengenai penyakit Bell’ palsy yang dialaminya, Mohammad Anas berkata dia diserang penyakit tersebut buat kali kedua pada Januari lalu.
Memburukkan lagi keadaan, dia bukan sahaja mengalami sakit Bell’ palsy, malah mata pelajar Diploma Perbankan itu turut tidak berhenti berkerdip dan pipinya turut bergetar.
“Sudahlah muka senget di sebelah kanan, mata pula tak berhenti-henti berkerdip, pipi pun bergetar. Ada orang kata saya mengada-gada tapi mereka tak tahu apa yang saya lalui sebab mereka hanya melihat dari luaran.
“Bayangkan kalau mata anda tak henti berkerdip manakala pipi pula bergetar selama setengah jam. Apa anda rasa?
“Saya jadi tak selesa. Kepala pun terasa sakit, penat dan badan jadi tak sihat. Kesan sakit kepala tu sampai ke telinga.
“Saya juga tak boleh kena panas. Nak senyum, nak gelak… nak menangis semua tak boleh. Saya kena kawal emosi saya. Saya tak boleh beri apa-apa tekanan terhadap muka saya.
“Jika saya tak kawal emosi, twitching tu akan start. Twitching tu akan berhenti sendiri, paling lama setengah jam,” katanya.
Mohammad Anas berkata dia diserang penyakit Bell’s palsy buat pertama kalinya semasa menyambung pengajian di peringkat Matrikulasi pada Jun 2017.
Tertekan dan tidak tahan dengan sakit yang dialaminya itu, Mohammad Anas mengambil keputusan untuk berhenti belajar (Matrikulasi).
“Saya tengok muka kat cermin macam makin bengkak. Muka belah kiri dah jatuh. Nak tengok muka sendiri pun tak sanggup sebab dah macam orang cacat. Masa ni saya dah memang lemah semangat.
“Saya tak tahan jadi saya decide nak berhenti belajar. Kemudian saya pergi berubat dan makan ubat yang doktor beri, tak sampai sebulan saya kembali sihat. Muka dah kembali normal macam tak pernah kena sakit Bell’s palsy,” katanya.
Selepas sihat, Mohammad Anas berkata dia berhasrat untuk menyambung pengajian di Universiti Teknologi MARA tetapi mimpi ngeri itu kembali menghantuinya.
“Saya dapat masuk UiTM, Kampus Lendu, Alor Gajah, Melaka. Ingatkan dah boleh teruskan belajar macam biasa tapi rupanya saya silap. Dalam dua minggu dekat sana saya diserang penyakit Bell’s palsy lagi sekali. Kali ini memang teruk gila.
“Saya kena belah kanan pula tapi siap twitching. Muka saya senget dan saya rasa macam hodoh sangat. Saya pitam banyak kali dekat UiTM. Sampai doktor dekat hospital pun dah kenal,” katanya.
Keadaan itu memaksa Mohammad Anas untuk menangguhkan pengajiannya selama satu semester.
Namun dia kembali menyambung pengajiannya pada September lalu.
“Saya tak tahu sampai bila boleh bertahan. Saya cuba kuatkan diri. Tolong doakan saya agar terus kuat semangat dan jauhkan saya daripada cubaan bunuh diri,” katanya.
Bebenang Mohammad Anas menjadi tular di Twitter dengan rata-rata netizen bersimpati dengan nasib yang menimpanya.
Seorang pelayar Twitter yang pernah mengalami penyakit sama turut menggesa Mohammad Anas supaya terus kuat dan tabah menghadapi ujian itu.
Sumber: Mstar
via OhGebang.
Post a Comment