Mangsa Raba Autism akhirnya bersuara dan menceritakan apa sebenarnya yang terjadi sehingga trauma
Mangsa Raba Autism akhirnya bersuara dan menceritakan apa sebenarnya yang terjadi sehingga trauma |
Mangsa ‘cabul’ Ahmad Ziqri trauma
“MENGAPA pihak keluarga Ahmad Ziqri (Ahmad Ziqri Morshidi) hanya menggunakan media dan seolah-olah memburukkan kami sekeluarga. Tidak ada inisiatif berjumpa dengan saya secara peribadi yang mengalami trauma dan ketakutan selepas kejadian itu.”
Demikian luahan mangsa yang mahu dikenali sebagai Nurul, 25, menjelaskan kejadian sebenar apabila dia dan adiknya diraba oleh lelaki autisme, Ahmad Ziqri, 22, pada 11 September lalu.
ARTIKEL MENARIK: Menggunakan 63 ribu biji batu2 kristal Swarovski (lebih dari 20 warna), Potret DYMM Yang DiPertuan Agong Sultan Muhammad V berjaya disiapkan selepas hampir 3 bulan
Kejadian itu menjadi tular di laman sosial selepas netizen mempertikaikan tindakan pihak berkuasa untuk menggari lelaki berkenaan ketika berada di perkarangan mahkamah untuk mendapatkan perintah reman.
Nurul berkata, pihaknya sebelum ini tidak mahu tampil memberikan sebarang kenyataan kerana mahu pihak polis menjalankan prosedur siasatan dan memberi keadilan kepadanya.
Dia turut mempersoalkan tindakan keluarga Ahmad Ziqri yang kerap menggunakan media tanpa ada inisiatif untuk berjumpa dengan keluarganya bagi membincangkan jalan penyelesaian secara baik.
“Dia (Ahmad Ziqri) memegang alat sulit saya dari belakang dan bukannya memegang dada seperti yang dilaporkan sebelum ini. Malah, dia turut meraba adik saya dengan memegang peha ketika berada di balai polis (Ibu Pejabat Polis Daerah) Subang Jaya.
“Ketika kejadian juga, Ziqri berdiri berseorangan di depan restoran berkenaan tanpa sebarang pengawasan. Saya kini mengalami trauma yang teruk. Bimbang keselamatan kerana ada kenyataan netizen yang mahu mencari saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Nurul berkata, laporan sebelum ini juga tidak tepat apabila mengatakan bahawa lelaki itu menyentuh dada sedangkan Ahmad Ziqri memegang alat sulitnya dari arah belakang.
“Saya tidak tahu apa niat keluarga Ahmad Ziqri mengeluarkan pelbagai kenyataan di media memburukkan kami sekeluarga. Saya faham Ziqri ialah pemuda autisme, namun apa yang mendukacitakan adalah ibu lelaki itu tidak ada berjumpa saya secara peribadi dan memohon maaf.
“Kami sangat faham keadaan lelaki itu, namun sekurang-kurangnya ibu lelaki berkenaan bertanyakan keadaan saya yang seakan histeria sebaik lelaki itu meraba dari belakang.
“Hanya ucapan maaf saja daripada pihak keluarga. Mereka langsung tidak bertanyakan keadaan saya yang trauma termasuk ancaman netizen untuk mencari saya,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin, ibu Ahmad Ziqri, Datin Hasnah Abdul Rahman meminta keluarga mangsa untuk menarik laporan polis berkenaan bagi menghentikan proses perundangan yang bakal dihadapi oleh lelaki itu.
Bagaimanapun, Nurul berkata, ibu lelaki itu sering kali menyatakan bahawa beliau menjaga Ahmad Ziqri dengan baik sedangkan ketika kejadian, lelaki itu berdiri berseorangan di hadapan restoran tanpa pengawasan.
“Saya tidak mampu lagi untuk berdiam diri apabila netizen terus memberikan kecaman kepada saya dan keluarga sedangkan mereka tidak tahu apa yang berlaku,” katanya.
Sementara itu, adik Nurul yang mahu dikenali sebagai Siti, 22, turut menjadi mangsa Ahmad Ziqri ketika berada di luar bilik siasatan di IPD Subang Jaya pada malam kejadian ketika menunggu kakaknya memberi keterangan kepada pihak berkuasa.
Menurutnya, ibu lelaki itu langsung tidak bertanyakan keadaan kakaknya yang trauma dan menjerit ketakutan selepas kejadian itu.
“Kami tidak mempertikaikan bahawa Ahmad Ziqri tidak seperti orang lain, namun kejadian itu boleh dielak jika pihak keluarganya memberi pengawasan yang sempurna.
“Lelaki itu berdiri berseorangan sebelum kejadian, tiada pengawasan dan tiada siapa-siapa bersama dengannya. Malah, dia turut melakukan perbuatan sama iaitu meraba saya di balai polis,” katanya.
Sumber hmetro
Post a Comment