Kalau ditanya kepada budak-budak zaman sekarang puteri dongeng mana yang dorang minat, mesti dorang akan jawab Elsa atau Anna daripada Frozen.
Kisah Lagenda 5 Puteri Alam Melayu Yang Ramai Orang Tak Tahu |
Kalau setakat Puteri Gunung Ledang atau Mahsuri tu mestilah dorang kenal. Tapi cuba kalau korang sebut nama Puteri Walinong Sari atau Puteri Gunung Banang, mesti tercengang budak-budak ni sebab tak pernah dengar.
ARTIKEL MENARIK: Betul Ke Isteri Tak Ada Hak Ke Atas Simpanan KWSP Suami Jika Suami Meninggal Dunia?
Bersempena dengan Hari Wanita Sedunia, kami ingin senaraikan lima puteri lagenda zaman dahulukala yang tak ramai orang kenal. Jangan pandang rendah dengan puteri-puteri tempatan kita!
1. Tun Fatimah
Kalau korang peminat filem Melayu, gerenti korang pernah tonton filem Tun Fatimah lakonan primadona Melayu, Maria Menado. Tun Fatimah ini memang wujud dalam lipatan sejarah dan dikatakan sebagai seorang srikandi yang sangat jelita serta merupakan anak Bendahara Tun Mutahir.
Pun begitu, kisah hidup Tun Fatimah ni taklah seindah wajahnya kerana semua ahli keluarga wanita ini termasuk suaminya Tun Ali telah dibunuh gara-gara fitnah. Pada masa tu jugak dikatakan Sultan Mahmud cuba memperisterikan Tun Fatimah walaupun wanita itu sudah berkahwin. Fuh jadi rebutan Tun Fatimah ni!
Pun begitu, Sultan Mahmud akhirnya tahu cerita sebenar dan menyesal dengan tindakannya serta berkahwin dengan Tun Fatimah. Tun Fatimah kemudian telah menjadi Permaisuri Johor pertama dengan membawa gelaran Permaisuri Tun Kudu. Dia telah melahirkan empat cahaya mata iaitu dua putera dan dua puteri yang mana salah seorang darinya, Sultan Alauddin Riayat Shah II memerintah Johor selama 36 tahun.
2. Cik Siti Wan Kembang
Dalam Hikayat Seri Kelantan, baginda ialah seorang raja wanita yang memerintah negeri Kelantan pada awal abad ke-17. Puteri kepada Sultan Ahmad ini telah kehilangan ayahandanya pada usia yang sangat muda iaitu empat tahun dan kemudian ditabal menjadi Raja Kelantan sekitar tahun 1610 masihi selepas Raja Hussein sebagai pemangku raja mangkat.
Istimewanya Cik Siti Wan Kembang ini ialah negeri Kelantan di bawah pemerintahannya telah berkembang maju dalam pelbagai sektor termasuklah pertanian dan perdagangan. Dan bagi mereka yang tertanya-tanya kenapa jata negeri Kelantan ada lambang kijang, dahulunya diceritakan Cik Siti Wan Kembang ni suka memelihara kijang. Minatnya pada haiwan tersebut sehinggakan gambar kijang dikatakan telah terukir pada setiap mata wang negeri.
Pun begitu menurut buku Detik-Detik Sejarah Kelantan, dihujung hayatnya dikatakan Cik Siti Wan Kembang ini telah membawa diri ke Gunung Ayam untuk menghambakan diri kepada Allah dan kisah hidupnya tidak diketahui lagi selepas itu.
3. Puteri Gunung Banang
Nama puteri yang satu ni memang jarang kita dengar kan. Tapi korang tahu tak sebenarnya ada filem Melayu tentang kisah puteri ni lakonan hero Malaya pada zaman dulu, Ahmad Mahmud. Malah lebih menarik, Puteri Gunung Banang ini dikatakan setanding dengan Puteri Gunung Ledang tau!
Menurut kisah dahulukala, Puteri Gunung Banang ini diceritakan sebagai saudara kepada Puteri Gunung Ledang dan tujuh beradik lain iaitu Puteri Gunung Panti di Kota Tinggi dan Puteri Gunung Beremban di sempadan Johor dan Pahang. Semua puteri ini tidak boleh dilihat mata kasar dan mereka juga dikatakan sebagai makhluk ghaib yang hanya membantu orang yang tersesat di gunung tu.
Malah menurut filem Melayu yang dihasilkan Malay Film Production, puteri ini digambarkan sebagai seorang puteri yang jelita, telah membantu seorang lelaki hodoh dan miskin menjadi seorang yang kacak serta kaya kerana mempunyai hati yang jujur dan rajin. Tapi malangnya lelaki itu telah disumpah menjadi monyet kerana melanggar janji dan menjadi sombong.
Walaupun dianggap sebagai kisah dongeng, Gunung Banang sebenarnya wujud dan terletak di pinggir bandar Batu Pahat. Ia telah menjadi tempat orang ramai berekreasi serta mempunyai permandangan yang cantik kerana menghadap Selat Melaka.
4. Puteri Walinong Sari
Pernah dengar lagu Walinong Sari nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza? Haa ini dia kisah wanita lagenda yang berasal dari Pahang atau Inderapura pada suatu masa dulu yang dikatakan sangat hebat. Bukan sahaja terkenal sebagai seorang puteri yang jelita, Walinong Sari juga sangat tangkas dalam bersilat dan pandai dalam mengendalikan lembing dan pedang.
Lebih mengejutkan, Walinong Sari ini bukanlah seperti puteri-puteri di Alam Melayu yang lain. Dia tidak pandai berhias dan tidak juga lemah lembut dalam kelakuan. Baginda juga dikatakan amat minat dengan perlawanan sabung ayam. Disebabkan sikap peliknya, nama Walinong Sari tersebar ke merata tempat dan mendapat perhatian Sultan Melaka yang seterusnya menjadikan dia salah seorang dari isteri sultan tersebut.
Dalam pada masa yang sama, Raja Mambang Segara dari Gunung Tahan juga menyimpan perasaan terhadap Walinong Sari dan telah merubah dirinya menjadi seekor merpati demi mengintai siapakah puteri yang hebat itu. Diceritakan Raja Mambang Segara kemudian berpura-pura untuk bertarung dengan Walinong Sari dan seterusnya mereka berdua jatuh cinta selepas bertentang mata dan mengetahui rahsia sebenar. Gituuu…
Tidak lama kemudian Walinong Sari dikhabarkan menghilangkan diri dari Melaka demi mencari cinta sejatinya di Gunung Tahan.
5. Ratu Pelangi
Menurut Kitab Sejarah Kerajaan Melayu Patani, Ratu Pelangi ada empat orang kesemuanya yang memerintah Kerajaan Patani sekitar tahun 1584 hingga 1649. Tiga orang daripada puteri ini merupakan anak kepada Sultan Patani, Sultan Bahadur Shah. Manakala seorang darinya pula ialah anak kepada salah satu puteri tersebut. Mereka ini digelar Ratu Pelangi kerana nama mereka yang berdasarkan warna.
Disebabkan Sultan Bahadur Shah tak ada anak lelaki, puteri sulungnya, Puteri Hijau menaiki takhta sebagai seorang ratu yang bijaksana dan adil. Semasa pentadbirannya, Patani sangat masyhur dari segi perdagangan termasuklah daripada negara seperti Eropah dan Jepun.
Selepas kemangkatan Puteri Hijau, adiknya Puteri Biru pula menaiki takhta. Baginda telah memajukan sistem pengairan Patani sehinggalah puteri ini mangkat dan digantikan adik bongsunya, Puteri Ungu. Semasa pentadbiran Puteri Ungu, Patani telah mengalami serangan dari Siam namun berjaya dipatahkan. Baginda kemudian bernikah dengan Sultan Abdul Ghafur dan memperoleh anak bernama Puteri Kuning.
Puteri Kuning menaiki takhta menggantikan bondanya dan berkahwin dengan Sultan Johor. Pada ketika itu, Patani telah mempunyai 43 tanah jajahan termasuk Terengganu dan Puteri Kuning telah memerintah selama 14 tahun. Dia kemudian mangkat pada 1649 tanpa meninggalkan sebarang pewaris.
Waa tak sangka sebenarnya Alam Melayu ni ada puteri-puteri yang hebat kan? Yang mana korang paling suka? Kongsikan bersama kami!
Sumber:Lobakmerah
TAWAURIANS.COM | Media Alaf Baru
Post a Comment