Ini rindu terpendam seluruh Malaysia yang amat menyayangi seorang figura komedi yang kekampung-kampungan, yang berjiwa rakyat. Bacalah…
Pengajaran Hidup Yang Boleh Kita Pelajari Daripada Arwah Pak Yus Jambu Yang Amat MENGINSAFKAN! |
SELEPAS pemergian Allahyarham Pak Yus Jambu pada 30 November 2015, beberapa teman rapatnya membuka mulut tentang budi baik dan pekertinya yang suka bersedekah. Ayuh kita ikuti kisah amal jariah Allahyarham. Semoga ada sesuatu yang boleh kita pelajari daripadanya.
HAFIZ AKMAL MOHAMAD AMIN (AWE), Pembantu Peribadi Terakhir Arwah Pak Yus
“Arwah Suruh Saya Masukkan Duit RM5,000 ke Dalam Sampul Surat Putih, Minta Hantarkan ke Rumah Anak Yatim…”
Ceritakan sejarah persahabatan Awe dengan arwah?
ARTIKEL MENARIK: Di dalam kehinaan, Allah masih beri saya peluang’ – Nash
loading...
Saya kenal Pak Yus dan Tauke sekadar sebagai peminat. Saya orang Tanah Merah, menetap di Johor, bekerja di bahagian customer service, baru 21 tahun. Kali pertama berjumpa di Finas waktu Maharaja Lawak 2011. Waktu rehat, Pak Yus keluar dari dewan untuk uruskan baju-T Kumpulan Jambu, jadi saya ambil peluang untuk serbu Pak Yus, bersalaman, bergambar bersama.
Kali kedua berjumpa, kami bertemu sebab kebetulan Pak Yus berada di Johor untuk Teater Sri Mersing. Melalui nombor telefon yang diberi oleh Kak Oyun (orang produksi juga), saya dapat berhubung dengan Pak Yus. Nak dijadikan cerita, personal assistant Pak Yus terpaksa balik ke Langkawi. Pak Yus pula memang tak mahir selok-belok jalan di Johor, lalu saya diminta temankan dia.
Orangnya juga terlalu pemurah. Ada masa-masanya, saya disuruh memandu ke rumah anak yatim, diserahkan kepada saya sampul surat putih berisi wang tunai. Duit diberi tak sikit, kak. Kadang-kadang RM3,000. Pernah juga dia hantar sekepuk RM5,000. Kadang-kadang, duit show satu malam terus habis sebab dia membayarkan makan-minum orang lain dan peminat-peminat yang menggamitnya di kedai makan. Kadang-kadang tak kenal pun. Bayangkanlah.
SABRI YUNUS, Guru Perfileman Arwah Pak Yus
“Arwah Yus Suka Belanja Makan Minum dan Belanja Dapur di Tempat ‘Shooting’ Kami…”
Sabri Yunus satu-satunya pengkarya yang sempat mengabadikan saat-saat akhir Pak Yus ke layar perak. Ceritakan?
Sebenarnya ada dua lakonan terakhir Yus, kedua-duanya tertukang di tangan saya, masih menunggu masa untuk ditayangkan, insya-Allah tahun ini. Sebuah filem untuk ASTRO Shaw dan Balang Rimbun, judulnya Dukun Doktor Dani. Selepas buat filem, saya terus hasilkan sebuah supertele untuk ASTRO First yang berjudul Che Pa. Inilah dua lakonan terakhir Yus untuk layar perak, kedua-duanya menyaksikan sisi bakat yang amat berbeza daripada Yus yang pekat dilangsiri imej ‘Jambu’.
Saya masih ingat bagaimana saya melihat Yus pada saat dia mula-mula diuji bakat bersama pasangannya, Che Mat, di Pulau Pinang. Saya terpesona dengan identiti kampungnya, tidak malu mempamer akar budayanya. Komedinya tidak begitu tajam, tetapicontent dan latar budaya yang dibawa amat bagus. Subjek yang diangkatnya adalah wayang kulit. Namun ia bergaul mesra dengan mesej-mesej kerakyatan, berbancuh kebijakan unsur-unsur humor.
Melihat Yus di pentas uji bakat, seperti melihat ke dalam diri saya sendiri. Identitinya tersendiri. Bagaimana satu anak kampung cuba menjuak subjek kampung yang amat kekampungan. Cuba merebut perhatian para juri. Kala itu kami seperti terpaksa menelan satu demi satu content yang kebanyakannya sudah sebu dengan kisah-kisah lawak urban, sindir-menyindir badan-gemuk kulit-hitam gigi-jongang, juga isu-isu artis kita. Kebanyakannya sudah boleh kita ramal dan jangka. Tapi dia lain.
Budi pekerti Yus yang toleran dan suka bersedekah, Abang Sabri melihatnya sejak bila?
Ini antara sifat-sifat asal Yus, bukan sikap-sikap baru. Semasa duduk di kelas Raja Lawak, ramai kawan yang membantu Yus, maka saya tak pelik jika dia membalasnya kembali.
Akhir-akhir ini, apabila hidupnya sudah bertambah selesa, maka sudah tentu selesa juga untuk dia membalas budi dan membantu siapa-siapa yang dia mahu. Semasa di set penggambaran, dia tidak berkedekut, sentiasa mahu menjaga makan-minum kawan-kawan. Dia akan ke pekan membeli makanan, gula, biskut, roti, kopi, teh, hatta cawan, teko dan cerek elektrik pun dibelinya untuk kemudahan semua. Senang cerita, barang di dapur sementara kami dah macam 7-Eleven sebab dia.
Seperti biasa, dia suka beri hadiah. Saya sendiri, pernah dihadiahkan dua perkara oleh Yus. Pertama, sepasang kasut. Kedua, sebilah kapak yang sangat cantik.
JON EKZOS, Sahabat Baik Arwah Pak Yus
“Arwah Tiba-tiba Korek Dompet Dia, Kemudian Dia Hulur RM50 Kepada Mak Cik Peminta Sedekah Tu…”
Pahit-getir kehidupan lalu hanya kalian berdua yang tahu, boleh kongsikan?
Pak Yus ini suka berkawan, tidak sombong, dengan siapa saja pun dia berkawan. Tak kira mat rempitkah, orang gilakah, semua jadi kawan. Kalau dia terlihat mak cik tua jual keropok di kaki lima bank, dia akan hulurkan RM50, tapi keropoknya tidak diambil pun.
Kalau dia nampak mak cik meminta sedekah dengan sederet anak, dia korek dompet dan hulurkan lagi RM50, “Nah mak cik, ambik duit ni bagi anak-anak makan.”
Kalau kawan-kawan makan, nak sewa dewan futsal, dia yang membayarkan. Kadang-kadang bil makan minum orang yang dia tak kenal di kedai makan pun, dia akan bayarkan, begitu sekali kemurahan hati Pak Yus.
Kami sama-sama merantau dari Kedah, kemudian sama-sama masuk Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (Akrab). Kami pernah tidur di Rumah P. Ramlee di Taman Kebudayaan di Penang, tidur di bilik sempit di belakang pentas. Kami cari duit dengan cara menyanyi dan bermain muzik di kedai makan setiap Sabtu dan Ahad. Saya bermain rebana, Pak Yus bermain gitar, Man menggesek biola.
Arwahlah orangnya yang membawa saya masuk ke bidang ini. Saya sertai ‘audition’ Raja Lawak bersama partner saya (Lan), di Ipoh pun atas dorongan Pak Yus. Daripada suka-suka menjadi PA tak rasmi Pak Yus, mengekornya ke sana-sini, mengurus jadualshownya, saya sempat juga berguru dengannya.
Al-Fatihah buat Yussry bin Edoo, (15 Mac 1976 – 30 November 2015)
#PakYusDalamKenangan
(Visited 185 times, 185 visits today)
Post a Comment