PENSYARAH Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing maut, manakala anak lelakinya parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 8 Jalan Jemaluang-Mersing, Mersing pada 7.40 pagi hari ini.
Ajal hantar anak ke sekolah |
Kejadian berlaku ketika mangsa Ahmad Azham Muhammad, 40, dalam perjalanan menghantar anaknya Muhammad Luqman, 7, dari Kuarters ILP Mersing ke Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAP) di bandar Mersing menaiki Nissan Serena.
Ketua Polis Daerah Mersing Deputi Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila treler dipandu lelaki berusia 34 tahun dalam perjalanan dari Kemaman, Terengganu ke Pengerang, Kota Tinggi membrek mengejut untuk mengelak sebuah kenderaan yang memasuki simpang kanan.
ARTIKEL MENARIK:
loading...
Menurutnya, treler berkenaan berpusing dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan MPV yang dipandu mangsa.
“Akibat pertembungan itu, Ahmad Azham meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak lelakinya cedera parah dan dihantar ke Hospital Mersing untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, mangsa mangsa dari FELDA Bukit Aping Barat, Kota Tinggi dihantar ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk bedah siasat.
Post a Comment