BAYI lelaki berusia 13 bulan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Indera Mahkota 15, Kuantan, hari ini.
Ajal bayi 13 bulan, anak tunggal meninggal dunia di rumah pengasuh |
Ahnaf Hanafi Mohd Haniff disahkan meninggal dunia di Klinik Indera Mahkota 5 selepas dibawa oleh pengasuhnya yang mendapati bayi itu tidak sedarkan diri ketika tidur dalam buaian.
Dalam kejadian jam 2.30 petang, mangsa, Ahnaf Hanafi Mohd Haniff disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Indera Mahkota 5.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, bapa mangsa, Mohd Haniff Selaman@Sulaiman, 28, menghantar anak tunggalnya itu ke rumah pengasuh dalam keadaan sihat pada 8.10 pagi.
“Ketika berada di tempat kerja, Mohd Haniff menerima panggilan dari isterinya yang memaklumkan pengasuh Ahnaf Hanafi membawa anak mereka mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta.
ARTIKEL MENARIK: Berpantang maut sebelum ajal
loading...
“Pengasuh berkenaan memberitahu Ahnaf Hanafi ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam buaian dengan keadaan mata terbuka,” katanya.
Beliau berkata, ketika tiba di klinik berkenaan, bapa mangsa melihat anaknya dalam keadaan kebiruan dan dimaklumkan oleh pegawai perubatan bahawa anaknya itu sudah meninggal dunia.
“Bapa bayi itu sudah membuat laporan di Balai Polis Kuantan pada 3.44 petang berhubung kejadian itu,” katanya.
“Kita masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kematian mangsa dan setakat ini kita mengklasifikasikan kejadian sebagai mati mengejut,” katanya.
“Kita akan mendapatkan bantuan dan laporan Jabatan Kimia untuk mengetahui punca kematian,” tambahnya lagi
Bukan Kes Pertama Bayi Meninggal Di Tempat Asuhan
Penghujung tahun lalu, seorang bayi mati ketika dalam jagaan pengasuh di Hulu Kelang.
“Alasan diberikan tidak masuk akal. Pekerja pusat jagaan itu mendakwa bayi kami tidak sedarkan diri mendadak ketika tidur,” luah Noor Shulaila Yaacob, 28, ibu kepada bayi perempuan yang meninggal dunia akibat tersedak susu di sebuah pusat jagaan di Hulu Kelang, di sini.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa Nafisah Muhammad Izzuddin berusia tiga bulan disahkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) meninggal dunia akibat saluran pernafasan tersumbat dengan susu.
Lebih menyedihkan apabila bayi itu baru empat hari dihantar ke pusat jagaan itu.
Noor Suhaila berkata, suaminya, Muhammad Izzuddin Mau Yussman, 28, menghantar anak kedua mereka pada jam 7.30 pagi hari kejadian. Dia dimaklumkan pekerja pusat jagaan itu Nafisah tidak sedarkan diri.
“Ketika kejadian, saya berada di Stadium Merdeka atas urusan kerja dan meminta suami dan bapa mentua, Yussman Yusof, 62, segera ke pusat jagaan itu bagi melihat keadaan Nafisah.
“Saya dimaklumkan bapa mentua tubuh Nafisah bertukar kuning dan kaku. Mereka menghantarnya ke klinik swasta berhampiran untuk pemeriksaan,” katanya.
Nafisah dikejarkan ke HKL selepas doktor di klinik itu mendapati dia seakan-akan tidak bernyawa.
“Pemeriksaan lanjut di HKL mengesahkan dia meninggal dunia. Hasil bedah siasat awal mendapati Nafisah maut akibat saluran pernafasannya tersumbat dengan susu.
“Kami membuat laporan di pondok polis HKL sebelum kes itu dirujuk ke Balai Polis Hulu Klang, di sini, untuk siasatan lanjut,” katanya yang mengebumikan jenazah bayinya di Tanah Perkuburan AU4, di sini.
Ketika disoal, dua pekerja pusat jagaan itu masing-masing berusia lingkungan 40-an dan 50-an memberi alasan tidak masuk akal.
“Saya dimaklumkan Nafisah dijaga seorang daripada pekerja wanita warga Indonesia.
“Ketika kejadian, wanita itu mendakwa anak saya tidur dan mencuci botol susunya sebelum menyedari Nafisah tidak sedarkan diri.
“Dia memaklumkan ada memberi susu kepada Nafisah pada jam 8 pagi sebelum memandikan dan menidurkannya,” katanya.
Noor Shuhaila memberitahu pemilik pusat jagaan itu tidak menghubunginya untuk menjelaskan perkara yang berlaku.
“Pusat jagaan itu diarahkan menutup operasi serta merta,” katanya.
Sumber : Harian Metro
Post a Comment