Sultan Selangor Murka Arah Supaya Mahathir Disiasat

Sultan Selangor Murka Arah Supaya Mahathir Disiasat

Tindakan Pengerusi Pakatan Harapan yang dike­tuai DAP, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang melabel etnik Bugis sebagai lanun hanya kerana mahu mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berucap di Padang Timur, Petaling Jaya, Oktober lalu mengundang kemurkaan Sultan ­Selangor, Sultan Sharafuddin ­Idris Shah.

Sultan Selangor Murka Arah Supaya Mahathir Disiasat
Sultan Selangor Murka Arah Supaya Mahathir Disiasat

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais hari ini, baginda memandang serius kenyataan yang dikeluarkan oleh Mahathir itu yang boleh mencetuskan rasa benci serta prasangka buruk rakyat terhadap etnik Bugis sehingga mencetuskan kekecohan serta huru-hara.

Malah, Dewan Diraja Selangor menuntut supaya satu siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 atau apa-apa undang-undang berkaitan diambil terhadap Mahathir.

Berikut adalah kenyataan akhbar penuh Sultan Selangor yang dikeluarkan menerusi Setiausaha Dewan Diraja Selangor:

ARTIKEL MENARIK: 7 pakta menarik & identiti datuk misteri belasah 3 anggota rela

loading...

Kenyataan akhbar penuh Sultan Selangor yang dikeluarkan menerusi Setiausaha Dewan Diraja Selangor

DULI Yang Maha Mulia Sultan Selangor setelah berbincang dengan Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor pada 2 November 2017 memandang serius, murka dan amat kecewa dengan petikan ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad di Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi yang berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya pada 14 Oktober 2017, yang dilihat cuba menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.

Berdasarkan rakaman klip video ucapan berkenaan yang telah tular di media sosial, tohmahan dan kenyataan Tun Dr. Mahathir itu jelas menghina dan menggolongkan bangsa Bugis ini kononnya berasal usul dari golongan lanun, perompak dan penjenayah.

Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor menganggap ucapan berkenaan amatlah keterlaluan dan boleh mencetuskan perasaan benci dan prasangka buruk rakyat terhadap bangsa Bugis sehingga boleh mencetuskan kekecohan dan huru-hara. Tohmahan ini secara tidak langsung menghina salasilah dan keturunan Kesultanan Selangor yang berasal dari Bugis.

Fakta sejarah membuktikan bahawa Kesultanan Selangor berketurunan Bugis merupakan pahlawan yang memperjuangkan dan mempertahankan agama dan keamanan di seluruh kepulauan Melayu nusantara.


Tun Dr. Mahathir sebagai seorang bekas Perdana Menteri yang menerajui pemerintahan negara selama tempoh 22 tahun seharusnya lebih berhati-hati di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan seharusnya juga lebih mengetahui tentang fakta sejarah keturunan bangsa Bugis.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juga mengingatkan kepada semua pihak terutama orang-orang politik untuk tidak mempersendakan isu bangsa dan keturunan sebagai modal politik kerana ianya boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat negara ini.

Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor menjunjung segala titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkaitan dengan isu ini dan berpandangan agar satu siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 atau apa jua undang-undang berkaitan wajar diambil ke atas Tun Dr. Mahathir.

HANAFISAH BINTI JAIS,
S.M.S, A.I.S
Setiausaha
Dewan diraja Selangor
Istana Alam Shah, Klang
2 November 2017

Eberita

-----------------------------------------------------------------

Post a Comment

Previous Post Next Post