Hukuman Juvenil Tidak Memadai – Keluarga Mangsa

Hukuman Juvenil Tidak Memadai – Keluarga Mangsa

GOMBAK – Ahli keluarga mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkejut selepas mendapat tahu punca kejadian insiden Khamis lalu dan meminta supaya hukuman setimpal dikenakan terhadap pesalah terbabit.

Hukuman Juvenil Tidak Memadai – Keluarga Mangsa
Hukuman Juvenil Tidak Memadai – Keluarga Mangsa

Ibu kepada Muhammad Aidil Aqmal Mohd Zamzuri, 10, Siti Salfarina Ismail, 36, berkata beliau tidak sangka insiden kebakaran itu berlaku bermotifkan dendam, lebih-lebih lagi dilakukan oleh remaja dan kanak-kanak berusia antara 11 tahun dan 18 tahun.

ARTIKEL MENARIK: 'Motif kejadian berpunca dari ejekan kedua-dua pihak, mereka (suspek) yang membawa tong gas'

loading...

“Saya memang terkejut bila dapat tahu. Siapa yang sangka kanak-kanak dan remaja boleh membuat rancangan sedemikian.

“Mereka (suspek) rancang seperti profesional dan berfikiran macam orang dewasa, dengan itu saya rasa hukuman juvenil tidak memadai.

“Mereka perlu tahu betapa pedihnya hati ibu bapa yang terpaksa melihat pemergian anak mereka dengan cara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi kubur anak sulungnya bersama suami, Mohd Zamzuri Zakaria, 36, di sini, hari ini.

Kata Siti Salfarina, beliau tidak menyalahkan ibu bapa suspek kerana kejadian yang menimpa anaknya itu adalah tingkah laku kanak-kanak serta remaja itu sendiri.

“Saya percaya ibu bapa tidak pernah mengajar anak untuk melakukan perkara sekejam ini. Sebab itu, saya rasa wajar hanya hukum pesalah laku, jangan hukum ibu bapa mereka,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, mengesahkan punca kebakaran pusat tahfiz dekat Jalan Keramat Ujung, Kampung Dato Keramat, yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru adalah bermotifkan dendam.

Sementara itu, cubaan untuk menghubungi ibu kepada tiga beranak yang turut terkorban dalam kebakaran itu, gagal apabila beliau dikatakan masih bersedih selepas mengetahui punca sebenar kejadian berkenaan.

Ahli keluarga terdekat memaklumkan kepada BH, Mashawani Mohamed Shahid, 37, tidak mampu berkata apa kerana terkejut selepas mendapat tahu punca kejadian.

“Mashawani masih bersedih, jadi kami berharap pihak media akan memberi ruang kepada ahli keluarga,” katanya.

Tinjauan BH di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah mendapati orang ramai turut berkongsi kesedihan dengan menziarahi kubur mangsa seawal jam 8 pagi ini. – BH Online



-----------------------------------------------------------------

Post a Comment

Previous Post Next Post