“ORANG Rohingya ni bukannya baik! Kalau baik dia tak kena halau dengan Myanmar! Pakcik aku ada bela orang Rohingya. Bukannya baik sangat. Makan tuan ada la. Nak tahu perangai orang Rohingya kau tengok kat Pasar Selayang!”
Dibunuh Dan Diseksa, Tiada Tempat Tinggal. Bagai "Hidup Dalam Penjara Terbuka!" |
Ayat-ayat yang dilemparkan di media sosial seperti di Facebook dan Twitter itu cukup membuatkan hati Mohd Shah Sapiei tergores.
Seketika Ketua Pegawai Eksekutif Al-I’tisam Relief Program Association (Al-I’tisam) itu terfikir mengapa orang kita sanggup berkata sedemikian. Kenapa orang kita yang beragama Islam boleh mengeluarkan kata-kata seperti itu sedangkan agama kita mengajar untuk membantu sesama manusia, apatah lagi orang-orang Rohingya itu adalah seagama.
Bagi menyedapkan hati, Mohd Shah menjawab kepada dirinya sendiri: Mereka yang mengeluarkan kata-kata ini tidak tahu apa yang sebenarnya menimpa orang Rohingya.
“Kenapa kita memperlekeh orang Rohingya? Kesengsaraan yang mereka hadapi bukan setahun dua. Berdekad lamanya. Kesengsaraan itu bukan kecil. Mereka dibuang dan dinafikan hak. Mereka diseksa begitu lama. Dibunuh di bumi sendiri. Saya tidak boleh terima cakap-cakap di Facebook,” luahnya kepada Sinar Harian.
ARTIKEL MENARIK: ‘Kami Boleh Musnahkan Israel Dalam Masa Kurang 12 Minit’ – Komander Pakistan
loading...
Beliau yang baru pulang dari kem pelarian Rohingya di Bangladesh berkata, suasana yang berlaku di kem pelarian itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Beliau berkata, awalnya hajat Al-I’tisam untuk memasuki kem pelarian yang diiktiraf di Kutupalong bagi melaksanakan misi ibadah korban, namun tidak kesampaian kerana halangan daripada pihak berkuasa Bangladesh.
Beliau berkata, misi tetap diteruskan namun lokasi ditukar ke kawasan pelarian terbuka di Balu Kali.
Setibanya di situ Mohd Shah berkata, kesengsaraan jelas kelihatan terutamanya membabitkan wanita, kanak-kanak dan bayi yang berusia beberapa bulan. Keadaan mereka semakin lama semakin teruk dan membimbangkan.
“Apa yang boleh saya gambarkan, pelarian Rohingya ini umpama hidup dalam ‘penjara terbuka’. Mereka ada khemah? Tidak! Khemah mereka hanya payung kecil untuk berlindung siang dan malam.
“Mereka ada air bersih untuk minum dan masak? Tidak! Hanya air lopak selepas hujan terpaksa dihirup untuk kelangsungan hidup. Mujurlah ketika ini hujan setiap hari di sana,” katanya.
Katanya, paling menyedihkan apabila melihat pelarian yang merupakan ibu tunggal memeluk erat bayinya yang kecil. Pelukan ketat wanita itu terhadap bayinya menggambarkan dia pernah melihat sesuatu yang mengerikan. Tidak boleh dibayangkan pengalaman yang dialaminya!
“Ada satu keluarga yang saya temui. Ibu tunggal ini tidak melepaskan bayi yang dikendong. Dia melarikan diri bersama ibunya yang uzur. Rumah mereka hanya payung bersebelahan dengan lopak air.
“Di situlah mereka menyediakan keperluan harian untuk mereka bertiga,” katanya.
Pikul beras...beras rosak
Mohd Shah berkata, hujan yang turun setiap hari itu juga sedikit sebanyak memberi kesulitan kepada hampir 15,000 pelarian di Balu Kali.
“Mana-mana yang mempunyai ahli keluarga lelaki, mereka sempat menaikkan khemah walaupun ia hanya berdindingkan plastik hitam.
“Ada keluarga yang membawa beras tetapi hampir rosak kerana hujan. Perlu dijemur semula. Pakaian? Dijemur setiap hari. Apabila hujan, basah kembali,” katanya.
Menurutnya, situasi sama juga berlaku di pinggiran kem pelarian Kutupalong di mana ribuan pelarian membanjiri jalan-jalan utama di sana.
“Mereka memasuki Kutupalong sambil berharap mendapat bantuan dan penempatan di kem berkenaan namun setibanya di sana, mereka tidak dibenarkan masuk dan terus kehilangan arah. Mungkin pada mereka dapat menyelamatkan diri daripada kekejaman tentera Myanmar sudah memadai,” katanya.
Beliau yang sudah tiga kali memasuki kem pelarian di Bangladesh berkata, apa yang paling membimbangkan selain keperluan asas kehidupan adalah generasi muda Rohingya yang tidak tahu membaca dan tidak tahu perkara wajib sebagai individu beragama Islam.
Ini kerana katanya, sepanjang 25 hingga 30 tahun mereka bergelar pelarian, anak-anak kecil yang menginjak remaja langsung tidak berpeluang untuk menimba ilmu. Kekurangan ini akan menyebabkan kaum Rohingya menghadapi masalah pada masa depan.
“Mereka buta huruf. Ilmu dunia dan akhirat langsung terpinggir. Bagaimana kehidupan mereka lepas ini?”
Persoalan ini tidak mampu untuk dijawab, kata Mohd Shah.
Beliau berkata, sudah tiba masanya badan dunia bersatu dan bersuara secara tegas bagi memastikan nasib Rohingya terbela bermula hari ini bagi menjamin masa depan yang cerah buat mereka.
“Kita tidak boleh lagi berdiam diri. Apa yang mereka lalui sangat menyedihkan. Badan dunia perlu bersatu hati.
“Sama juga dengan kita di Malaysia. Jangan kita senang-senang mengecam Rohingya. Anda perlu lihat sendiri kesengsaraan mereka. Mereka pelarian. Mereka menagih simpati di mana-mana namun hakikatnya mereka ingin pulang. Percayalah,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Post a Comment