SAYU: Kisah Ikhtiar Hidup Kumpulan Zero Melawan Kemiskinan Selepas Kematian Ayah Mereka Yang Bisu Serta Pekak...

SAYU: Kisah Ikhtiar Hidup Kumpulan Zero Melawan Kemiskinan Selepas Kematian Ayah Mereka Yang Bisu Serta Pekak...

Bermain ombak ganas di laut dalam, barangkali perkara paling mudah dalam hidup mereka. Kepada InTrend, mereka menceritakannya.

SAYU: Kisah Ikhtiar Hidup Kumpulan Zero Melawan Kemiskinan Selepas Kematian Ayah Mereka Yang Bisu Serta Pekak...
SAYU: Kisah Ikhtiar Hidup Kumpulan Zero Melawan Kemiskinan Selepas Kematian Ayah Mereka Yang Bisu Serta Pekak...

KONGSIKAN sepintas lalu sejarah hidup Zero semasa kecil?

ARTIKEL MENARIK: Muat Naik Gambar Memakai Tudung, Peminat Takut Lihat Sheeda Bertudung

loading...

Atu: Nama sebenar saya Sharif Kunal bin Doli Sharif, dilahirkan pada 20 April 1992, anak ketiga daripada tujuh adik-beradik, berketurunan Bajau Simunul. Daripada sekalian adik-beradik, hanya saya dilahirkan di rumah. Nak buat macam mana, tak sempat ke hospital kak, nakal! Itu yang ‘terkeluar’ di situ, keh-keh-keh.

Rumah kami hanyalah rumah kampung sederhana, terletak di Kampung Pantai Bahagia, dekat dengan pesisir pantai. Inak (ibu) surirumah kampung, arwah bapak seorang nelayan. Atu rapat juga dengan arwah pak. Tiap malam tidur di sebelahnya.

Waktu orang lain berdengkur, bapak sudah bangun untuk ke Pelabuhan Kudat mencari rezeki. Menjelang tengah hari, pak balik ke rumah membawa ikan. Kalau banyak ikan yang pak bawa, maka dapatlah kami jual sebahagiannya. Atu selalu menolong menjual ikan dari rumah ke rumah, dari kecil sampailah tingkatan lima. Sepinggan ikan dijual sekitar RM2-RM3. Kalau yang murah ikan kembung, yang mahal pula tenggiri, kerapu, ikan emas.

Sharif: Nama saya Sharif Kadil bin Doli Sharif, tapi kalau di kampung digelar Abang Botak. Anak kedua, dilahirkan pada 31 Januari 1990 di Hospital Kudat. Semenjak kecil bersekolah di SK Tuan Datu Haji Mustapha, kemudian melanjutkan pelajaran ke SMK Kudat lalu berpindah ke SMK Abdul Rahim 2 sewaktu tingkatan lima. Kami bukan keluarga miskin tegar, kak. Kami serba sederhana, syukur cukup makan, cukup minum.

Saya tahu, banyak berita melaporkan bahawa arwah bapak kami, Sharif Doli bin Sharif Mat Daud, insan yang buta. Itu semua tidak benar, kak. Laporan itu salah, kak. Arwah bapak kami bukannya buta, sebaliknya dia bisu dan pekak semenjak 12 tahun kerana demam campak. Inak pula bernama Musahtun binti Andis. Ya, macam yang Atu sebut, kami berdarah Bajau Simunul, terkenal kerana semangat perpaduan dan kemasyarakatan.

Syaiful: Orang kampung memanggil saya Abang Pedal, tapi nama glamor saya Melati, keh-keh-keh. Nama sebenar Mohammad Syaiful bin Doli Sharif, anak sulung, memang kurang bercakap. Kerana itu juga kalau dalam persembahan Raja Lawak dan Maharaja Lawak Mega (MLM), saya selalu diberi peran teraju sebagai tukang sampuk dan tukang tambah saja kak.

Saya memutuskan untuk berhenti sekolah semasa tingkatan satu. Saya kasihan lihat bapak menyara keluarga seorang diri, sedangkan di bawah saya ada empat lagi adik yang masih bersekolah. Ya saya keciciran dalam pelajaran, tetapi pengorbanan itu amat berbaloi. Berhenti sekolah, saya bekerja di kantin SMK Pekan 2 dengan gaji (paling tinggi) RM82. Nilai itu sudah cukup besar buat anak berusia 13 tahun waktu itu, kak.

Berhenti dari kantin, saya mengadu nasib ke laut pula, mencari ikan untuk dijual, menggunakan sampan pinjam milik pak cik.

Kemudian, saya bekerja pula di KFC Kudat dengan gaji RM400. Dari situ, berpindah pula ke KFC Kota Kinabalu sebelum menyertai uji bakat Raja Lawak.

Boleh Zero imbas kisah almarhum pak sebelum dia menghembus nafas terakhir?
Atu: Maaf kak yang ini saya tak boleh cerita (sebak, diam berjurus lamanya). Sewaktu pak meninggal dunia, Atu tiada bersamanya (diam lagi, sebak, mahu menangis). Selepas show di Kuantan, Atu ke Johor Bahru kerana mengikut Ajak Shiro tidur di rumahnya. Waktu itu, Atu sibuk bersiap untuk program TV Fear Factor yang dirakamkan di Afrika.

Lebih kurang pukul lima pagi, Atu terima berita itu daripada Sharif. Perjalanan pulang ke Kudat terasa jauh. Ya, jauh sekali kak, seperti tidak sampai-sampai (diam lagi, nafasnya menahan sebak). Dari Johor Bahru, Atu menaiki pesawat untuk ke KLIA. Dari KLIA, Atu terus ke Kota Kinabalu, dari Kota Kinabalu, harus pula naik angkutan tiga jam untuk ke Kudat.

Sewaktu Atu tiba di halaman rumah, hari sudah gelap. Majlis pengebumian sudah pun selesai (sebak menahan esak).

Sharif: Arwah tidak boleh bercakap semenjak umur 12 tahun kerana demam campak. Dia meninggal dunia pada 21 Oktober 2012. Saya masih ingat lagi, petang itu, kami sekeluarga menonton TV di rumah. Bapak pula sibuk memasak. Kalau kalian mahu tahu, arwah memang suka dan pandai memasak. Jadi hari itu dia memasak seekor ikan tongkol besar, kak.

Tapi yang anehnya, dia menghiris dan memasak sebelah ikan saja. Yang sebelah lagi, disimpan di dalam peti ais di rumah mak cik (sebelah rumah).

Selesai memasak, bapak suruh kami makan lantas dia bersiap-siap untuk mengerjakan solat Asar di surau. Selesai Asar, bapak pulang ke rumah, lalu menidurkan adik bongsu (Fikri, lima tahun) di buaian pukat di bawah rumah. Lama juga dia membuaikan adik, sampailah adik betul-betul terlelap.

Hati saya sudah rasa tidak berapa sedap waktu itu, kak. Tapi mengapa ya?

Kemudian, arwah keluar semula membeli pisang, menjamu budak-budak kecil yang bermain di halaman rumah kami dengan pisang tadi. Tak lama selepas itu, kawan baiknya (juga bisu dan pekak) dari Kampung Sikuati datang menjemput. Memang kebiasaan arwah tidur di rumah kawan baiknya itu sekali-sekala.

Tetapi pesanannya petang itu sebelum menaiki motosikal kawannya masih terngiang-ngiang di telinga saya: “Kalau Maghrib nanti, kejutkan adik kau,” kata bapak, kemudian pesannya lagi, “Ikan lagi separuh ada di peti ais rumah mak cik kau. Nanti jangan lupa ambil, masak untuk makan esok, jangan sampai adik kau lapar.”

Lalu kelibat arwah di boncengan motosikal terus lenyap dari pandangan saya.

Hati saya seperti jatuh. Apakah petanda ini?

Malam itu, saya betul-betul rasa tak sedap hati. Jantung berdebar-debar. Sungguh kak, saya tidak boleh tidur malam itu. Hujan turun dengan lebatnya. Kilat sabung-menyabung. Sekitar jam satu pagi, hujan reda dan sekonyong-konyong pintu kayu rumah kami diketuk digoncang dengan kuatnya.

Kawan bapak berdiri di depan pintu dengan wajah pucat dan mata nan sedih. Dalam bahasa isyarat dan mimik muka cemas, dia memberitahu bahawa di rumahnya, bapak tidak bergerak lagi meski sudah dikejutkan beberapa kali.

Allah! Allah! Allah!

Saya berlari meminjam kereta bapa mentua, kami redah langit pekat dalam ilam-ilam cahaya bulan, tiba di Kampung Sikuati jam 1.30 pagi. Alangkah hancurnya hati saya melihat dari pintu bilik yang luas terbuka, arwah pak terlentang terkedang di atas tilam.

Pak sudah kaku.

Inak dan Melati teresak. Saya bingung. Tangisan tidak terkeluar. “Kenapa dengan bapak?” Tanya adik Fikri polos, tidak mengerti. “Bapak sakit,” saya menjawab, dengan fikiran kosong, sekosong-kosongnya.

Sungguh sedih. Takdirnya pula kami sekeluarga ketiadaan wang yang cukup untuk mengurusi jenazah bapak. Tapi syukur ramai kawan artis yang dermawan. Insan pertama menderma adalah Abang Ebby Yus, kemudian Ajak Shiro, saudara-mara. Ramai lagi teman artis yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu nama mereka di sini. Terima kasih atas budi bakti kalian. Betapa ini hutang jasa, hutang harta. Semoga Allah membalas kalian dengan kemurahan rezeki yang melimpah-ruah.

Sukarkah menjadi penyampai berita sedih ini kepada Atu?
Sharif: Ya, hati saya sungguh berbelah-bahagi, tidak tahu di mana dan bagaimana harus memulainya. Jam lima pagi, saya menelefon Atu. Saya cuba kawal suara saya, saya takut dan gelisah. “Atu, kau buat apa sekarang?” Tanya saya tolol. “Kenapa kau telefon aku subuh-subuh begini?” Atu menjerkah, “Aku sedang siapkan barang aku ke Afrikalah.”

Saya hela nafas panjang, “Atu, aku cakap ini kau jangan terkejut. Bapak sudah meninggal."




zero.jpg

Kami terdiam berjurus-jurus lama. Sepi. Hampir 30 saat. Namun selepas itu kami saling menangis dan mengongoi. Saya faham perasaan Atu kala itu kerana hanya dia seorang yang tiada di samping arwah pada hari paling penghabisan itu.

“Jangan kebumikan dulu, aku mahu lihat dia,” Atu merayu. Namun Ajak Shiro memujuk dan menenangkan Atu. Lebih elok urusan pengebumian disegerakan. Jangan ditangguh.

Atu sampai jua ke tanah Kudat, namun tidak dapat mencium dahi bapak, menyaksi talkin dirampaikan. Esok, sewaktu tanah pusara bapak masih basah dengan air mawar, Atu pulang semula ke Kuala Lumpur, kerana komitmen ke Afrika. Saya tahu, hatinya hancur. Berkecai-kecai.


Perkara penting tentang arwah pak, beri inspirasi kepada kalian?
Atu: Atu sempat berjumpa arwah kira-kira tiga minggu sebelum itu. Arwah ada berpesan, “Tolong tengok-tengokkan semua adik dan abang kau.” Malah Atu sempat juga merakam curi fotonya (dengan telefon bimbit) sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Arwah pak seorang lelaki yang baik, jujur, pengasih, mengutamakan anak-anak, kuat bekerja, bahkan selalu berpesan agar kami selalu bersedekah jika punya rezeki yang lebih, jangan pernah kedekut. Itulah juga nilai hidup arwah pak yang akan saya pegang sampai bila-bila.

Sharif: Oleh kerana arwah bapak bisu dan pekak, ia menjadi bahan ejekan kawan semasa kecil. Tapi kami tetap tabah.

Arwah selalu berpesan, kalau buat kerja, haruslah dilunaskan sungguh-sungguh, harus berbuat baik sesama manusia, jangan sekali-kali menyakiti hati orang. Arwah pak selalu menceriakan orang walaupun dia tidak mampu bersuara dan tidak mampu mendengar.

Ya, telinganya tuli, tetapi nuraninya sentiasa mendengar.

Syaiful: Arwah selalu berpesan, sesusah mana sekalipun kita, jangan sekali-kali sesali takdir. Dia kuat bekerja. Hatinya tak akan senang jika anak-anak makan tak kenyang.

Kalian anak muda, namun kaya pengalaman hidup kerana kalian tidak dilahirkan di dalam dulang emas. Hidup kalian terbangun daripada darah, urat dan kudrat, setuju?
Atu: Benar, saya sudah turun ke laut semenjak berumur enam tahun, kak. Asam garam sebagai anak laut itu menjadikan saya lebih bersemangat dan kuat. Usia 13 tahun, saya sudah bekerja sebagai buruh binaan, mengikut bapa saudara, Pak cik Faisal, bekerja mengangkut pasir, membancuh simen. Dapatlah upah RM5 – RM10 untuk setiap jam.

Sharif: Saya selalu mengikut arwah bapak ke Pasar Angkasa Baru Kudat, menyaring hasil tangkapan, menimbang ikan, menjual ikan kepada peraih. Saya pernah juga bekerja sebagai caddy di Kelab Golf Kudat, mencuci pinggan-mangkuk di restoran, ahh... bermacam kerja, tiada satu pun yang hina. Semuanya membanggakan saya.

Syaiful: Mungkin berbanding adik-adik, saya kurang beruntung kerana menamatkan zaman sekolah sebelum waktu. Tapi syukur, sempat menabur bakti kepada arwah pak.

Pernahkah terfikir, seorang nelayan akan meraih ganjaran setengah juta sekelip mata, kini dijulang dipuja seluruh Malaysia? Bagaimana Zero menghadapi kemasyhuran kilat ini?

Atu: Aduh kak, tiada kata dapat gambarkan kesyukuran ini. Kami berbesar hati, wujudnya program televisyen seperti Raja Lawak dan Maharaja Lawak Mega membuka jalan untuk kami mempamer bakat. Semuanya bermula apabila kami terlihat iklan uji bakat Raja Lawak musim ke-6, lalu Abang Sharif mengajak Atu. Kami berbincang-bincang. Kemudian datang idea untuk masukkan Abang Melati, membentuk kumpulan. Uji bakat berpusat di Kota Kinabalu.

Kami naik ke pentas tanpa strategi hebat seperti orang lain. “Kita sebat saja!”
Gementar juga tengok persediaan orang lain, mereka bawa beg baju dan props besar-besar, kak. Bertukar-tukar kostum. Kami pula terbalik, bila naik ke pentas, kami buka baju buka seluar, keh-keh-keh! Kami naik dengan seluar pendek dan singlet, tapi ya, sudah rezeki kami hari itu! Terima kasih kepada juri (kalau mereka masih ingat kami); Abang Bob Azrai dan Abang Sabri Yunus.

Sharif: Macam mimpi! Kami sedar, yang bertarung bersama kami, calon-calon hebat. Tapi kami perlukan duit mingguan itu sebagai belanja keluarga di kampung. Tiada angan-angan menang pun. Macam yang Atu sebutlah kak, “Kita sebat saja!”

Terima kasih kepada semua saudara MLM 2014. Kami sudah seperti keluarga. Dato’ AC Mizal banyak memberi tunjuk-ajar. Abang Jep Sepahtu pula selalu memberi motivasi. Dia pernah bertanya kepada kami, “Benarkah engkau bertiga masuk MLM 2014 kerana mahu hantar emak pergi haji? Jika benar ini niat engkau, aku doakan, engkau menang tahun ini, amiiiiin!”

Alhamdulillah, makbulnya doa itu dan berlimpahannya sokongan kawan-kawan seperjuangan, adalah keajaiban yang akan kami kenang sampai bila-bila.

Siapa paling romantik, jiwang karat?
Atu & Sharif: Melati, sebab dia memang jiwang. Cuba buka Facebooknya, dia memang suka pos kata-kata puitis pujangga kak, hahaha! Memang poyo.

Syaiful: Ehhh, mana ada? Pandai-pandai kamu bikin cerita. Aku rasa kamulah Sharif, sebab itu kamu yang kahwin dulu. Paling garang?

Atu: Ketiga-tiganya. Sharif: Saya paling garang kut? Syaiful: Saya pun garang juga. Paling dominan?

Atu: Melati Sharif: Tiga-tiga sama sahaja. Syaiful: Tapi aku rasa kamulah, Sharif.

Kalau bersedih, apa kalian buat?
Atu: Atu senyum saja. Tetapi jika hati tak mampu menanggung lagi, Atu ke laut, Atu jerit sekuat-kuat hati di sana.

Sharif: Dulu, kalau tension, saya suka pergi kepada bapak, duduk dekat-dekat dengan bapak, kemudian bersembang-sembang sambil urut kakinya. Lepas bersembang, fikiran yang kusut pasti tenang.

Syaiful: Saya cari tempat sunyi, bersendiri. Selalu di tepian pohon ru dan kelapa. Saya suka lihat laut. Membaca bahasa ombak. Saya juga suka tengok langit. Merasa desir angin.



10-Fakta-Yang-Anda-Tidak-Tahu-Mengenai-K

Zero, walau buat muka 10 sen, kata orang sini ‘selamba kodok’ — tetap kreatif, suka bawa kelainan tiap minggu. Badan Avatar muka Predatorlah, KRU boyslah, gimnas gediklah, budak kompanglah, tarian singalah. Bagaimana Zero membugar ilham?

Atu: Kadang-kadang idea datang melimpah-limpah, tunda-menunda. Tapi ada masa idea tersekat sebab gagal digilap menjadi cerita yang bagus.

Tapi kalau 'mentol' idea Atu dah menyala, Atu cepat-cepat serahkan kepada Sharif, sebab dia handal kembangkan cerita.

Tahun 2013, Zero sudah tersingkir di minggu kelima lagi. Kemudian di MLM 2014, Zero bermula dengan “Kerusi Panas”. Tup-tup meletup menjadi juara, menumpaskan sahabat senior yang hebat-hebat. Kerja keras atau kebetulan?

Atu: Jujurnya, matlamat kami hanyalah nak melepasi ‘Kerusi Panas’. Mahu lari dari badi nombor lima. Kalau kami dapat masuk minggu keenam, itu dah kira berjaya! Dan saya juga tak akan menipu, kami benar-benar memerlukan wang yang kami perolehi sebagai ganjaran bulanan.

Wang itulah yang kami kirim ke kampung untuk menyara Inak dan adik-adik yang masih bersekolah.



Zero cekap melakukan akrobatik di pentas. Terbang, berguling, berpusing, melompat macam 'spring'! Aalmarhum pak mengajar seni mempertahankan diri?
Atu: Bolehlah kak, lepaslah untuk tepuk nyamuk, keh-keh-keh! Saya mula berjinak- jinak belajar silat dengan arwah pak semenjak lima tahun. Tetapi yang paling handal bersilat adalah Abang Sharif. Atu pandai lari saja, kah-kah-kah!

Sharif: Ya, arwah ayah handal dan unggul dengan ilmu Silat Gerak Kilat. Dalam MLM 2014, kami terfikir, mengapa tidak kita tunjukkan apa yang kita tahu? Apa yang kita ada? Bukankah kita bertiga pandai bersilat?




image.jpg



Taufik Batisah sangat terkesan (hampir bergenang air matanya) menghayati persembahan muzikal Zero pada malam akhir MLM 2014. Antara skrip Sharif, "Kalau arwah bapak masih hidup sekarang ini, aku rasa, kamu tidak berperangai begini. Mungkin aku punya silap, aku cakap kamu tidak betul..." Zero ingat lagi? Tapi orang komen, Zero meraih undi dengan cerita sedih?

Zero: Iya, itu antara malam paling bersejarah, kerana pandangan dunia terhadap kami berbeda selepas itu. Kami punya cita-cita untuk angkat darjat bapak dan Inak.

Kami tak akan lupakan ulasan Taufik Batisah sampai bila-bila: "Saya yakin, di mana jua ayah awak berada, dia amat bangga dengan anda. Saya yakin orang Sabah betul-betul bangga dengan persembahan anda malam ini. Pada mulanya, saya rasa persembahan ini cuma mampu mendapat empat bintang, tapi sebab kesimpulannya, lagu yang di hujung itu, sangat menyentuh hati saya, dan sangat bijak jalan ceritanya, sangat bijak pedoman yang kita boleh pelajari, sayangilah ibu bapa kita selagi mereka masih ada, hormatilah mereka. Saya kasi... ikhlas... LIMA BINTANG!"


Apa yang kami luahkan malam itu, ikhlas dari sanubari. Itulah kehidupan kami di belakang lampu pentas. Kami tak mereka-reka cerita untuk mempesonakan kalian.







zero-intrend-3.jpg

Latar budaya unik sebagai anak suku kaum Bajau pasti meninggalkan kesan mendalam. Memori di Sabah yang banyak memberi ilham buat Zero?
Atu: Atu masih mendengar lagu-lagu kebudayaan kami. Dan kalau rindu pada masakan Bajau, Atu cari resepinya lalu masak sendiri. Antara makanan asli orang Bajau kesukaan Atu termasuklah putu (ubi kayu dihancurkan, dimampatkan dan hasilnya seakan-akan popcorn), sinagol (seperti ikan patin masak lemak), kinilau (sejenis masakan berasaskan landak laut, diramu dengan gamat yang dipotong kecil-kecil, kemudian dititikkan perahan limau mempelam). Alamak, kakak buat air liur saya melelehlah, haha! Ini yang buat saya lapar ni, adoii...


Zero setuju hidup sebagai penghibur mampu memberi inspirasi, mesej sosial dan kemanusiaan kepada rakyat Malaysia?



Atu: Betul kak, kami bertuah kerana diberi platform yang amat besar. Inilah pentas yang dapat menyebarkan pengaruh kepada remaja dan orang kita. Insya-Allah kami akan menggunakannya sebagai padang untuk sampaikan nasihat.




AtuKahwin3.JPG




Bolehkah perbezaan fahaman politik disatukan — walau seketika — di pentas lawak? Mampukah komedi mendamaikan perbalahan?


Zero: Mungkin boleh, mungkin juga tidak. Cuma kita harus hati-hati sebab tak semua perkara boleh dijenakakan.


Masyarakat kita belum bersedia menerima jenaka spontan yang lepas laku? Setuju?
Zero: Bukan semua orang tidak suka. Cuma sesetengahnya kurang menerima, atas dasar budaya yang melingkari tatasusila hidup kita. Kita harus akui, di Malaysia, lawak sindir-menyindir masih tidak boleh. Ia boleh meletup bagai bom jangka. Ini isu sensitif, kak.

Jalan hidup Zero pasti berubah selepas kemenangan besar ini? Sudahkah wang tunai setengah juta itu dibelanjakan untuk impian-impian sebelum ini (hantar ibu mengerjakan haji, sebagai wang perkahwinan Syaiful dan membaiki rumah)?

Sharif: Saya membayangkan perusahaan ikan yang lebih elok. Teringin juga membeli kapal yang lebih besar dan tegap, supaya hasil tangkapan lebih lumayan. Bot sekarang hanya boleh menghasilkan satu bakul tangkapan ikan. Kekuatan ini juga teranugerah dengan sokongan isteri yang saya sayangi, Ismirah binti Hussin, juga orang Bajau Simunul.

Punya cita-cita yang belum kesampaian?
Atu: Kak, saya mahu naik ke bulan! Saya mahu lihat bumi ini dari bulan, haha! Okey, okey, maafkan aku kak, yang seriusnya... Atu kalau boleh tidak mahu melihat adik-adik mengulang jalan cerita hidup kami bertiga. Atu mahu mereka mendapat kehidupan yang lebih baik.



Sharif: Saya ingin jadi penghibur. Teringin benar berlakon teater atau filem muzikal, kak.



Syaiful: Saya mahu terus membela nasib Inak dan adik-adik, insya-Allah. Saya tahu kak, arwah pak sentiasa memerhatikan kami.


Apa lafaz akhir Zero buat pembaca di lembar ini?

Sharif: Bilahi kami, Zero, terus ngahibur untuk muan kasannangan ma kalualga ma kampung. Insya-Allah, kamannangan kami iti dikiit pun emba jadi punca kami ngeipat asal usul kami. Kamannangan iti sabannalna tanda kasih-lasa kami ma arwah emmah kami. Magsukul maa ASTRO sabab muaan kami kasampatan maapanda bakat kami maaa mundusiaa maa duniaaa kamemon.



(Kami mahu terus menghiburkan, dengan azam mahu memberi kesenangan kepada keluarga di kampung. Insya-Allah, kemenangan kami ini tidak sekali-kali akan membuat kami melupakan asal-usul kami. Kemenangan ini adalah sebagai kenangan abadi kami bersama arwah bapak. Terima kasih kepada ASTRO kerana memberi ruang untuk kami menunjukkan bakat ke mata dunia.)
________________________________________________________
Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

Post a Comment

Previous Post Next Post