Helikopter terhempas: Suasana Pilu, Jenazah Timbalan Menteri dikebumikan di Sungai Burong Awal Pagi Tadi
Helikopter terhempas: Suasana Pilu, Jenazah Timbalan Menteri dikebumikan di Sungai Burong Awal Pagi Tadi |
Allahyarham 52 tahun, bersama suami, Asmuni Abdullah adalah antara enam penumpang dan kapten helikopter Eurocopter AS350 yang terhempas ketika dalam perjalanan dari Betong ke Kuching, Sarawak, petang kelmarin.
Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang kira-kira jam 11.40 malam tadi dengan pesawat Lockheed C-130 Hercules.
Anak lelaki Noriah, Syafiq mengiringi jenazah ibunya di sepanjang penerbangan dari Kuching ke Subang.
Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa.
Jenazah Allahyarhamah kemudian disembahyangkan di Masjid Ar Rahmah, Batu 12, Sungai Burong sebelum disemadikan di kampung kelahirannya.
Turut hadir di tanah perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Naib Presiden Gerakan, Datuk A Kohilan Pillay.
Allahyarham yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar meninggalkan empat anak, dua lelaki dan dua perempuan iaitu Mohd Shafiq Ishak, 29; Ain Shafinas Ishak, 24; Anis Athirah Ishak, 21, dan Adam Aidid Suhaili, 19, serta seorang anak angkat, Adam Mukhriz Abdullah, berusia tiga tahun.
Turut menaiki helikopter malang itu ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
Tiga lagi ialah Ketua Setiausaha Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.
Gerakan mencari dan menyelamat semua mangsa masih diteruskan dan tumpuan kini beralih ke kawasan hulu Sungai Batang Lupar berhampiran Lingga kira-kira 250 kilometer dari Kuching.
Post a Comment