Helikopter terhempas: Mayat ketiga dijumpai jam 11.45 pagi tadi
Helikopter terhempas: Mayat ketiga dijumpai jam 11.45 pagi tadi |
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam laman Tweeternya memuatnaik pengumuman bahawa mayat ketiga ditemui di Lingga, Sri Aman.
“Mayat ketiga sudah ditemui di Lingga. Usaha sedang dibuat untuk menerbangkan mayat itu ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Kuching.
“Saya berada di rumah mayat Hospital Kuching meninggu ketibaan mayat,” katanya.
Mayat kedua dijumpai berhampiran Sungai Batang Lupar di Lingga, Sri Aman, kira-kira jam 8.31 pagi tadi.
Bagaimanapun, identiti mayat itu belum dikenal pasti.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Farhan Sufyan Borhan berkata, maklumat lanjut mengenai mayat yang ditemui kira-kira 10 kilometer dari Pusat Mencari dan Menyelamat (SAR) di Lingga itu akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Semalam, pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat Timbalan Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon bersama-sama serpihan yang dipercayai pesawat Eurocopter AS350.
Jenazah Noriah yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar selamat dikebumikan awal pagi tadi di kampung kelahirannya di Sungai Burong, Tanjung Karang, Selangor.
Selain Noriah, turut menaiki helikopter sama ialah suaminya Asmuni Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, yang juga ahli Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr Sundaran Annamalai; pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas turut menaiki pesawat malang itu.
Post a Comment