Wanita dakwa dirinya memiliki keris Taming Sari dan Hang Tuah sebenarnya adalah seorang wanita
Wanita dakwa dirinya memiliki keris Taming Sari dan Hang Tuah sebenarnya adalah seorang wanita |
Keris warisan Melayu yang menjadi rebutan pelbagai pihak sejak sekian lama kini didakwa dalam simpanan rapi seorang wanita yang mengetuai Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia (PKPRCSWKM) di Kelantan.
Keris Taming Sari milik pahlawan Hang Tuah yang berusia lebih 750 tahun itu diwarisi Yang Dipertua PKPRCSWKM, Dr. Fadzillah Hussin kira-kira empat tahun lalu.
Pada mulanya, keris yang menjadi simbol kebesaran pahlawan Melayu itu diambil oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Datuk Wan Omar Wan Majid di rumah datuknya yang dikenali dengan panggilan Tok Wan Ismail di Kampung Semerak.
“Wan Omar mendapat mimpi supaya mengambil keris itu di rumah datuknya (Tok Wan Ismail). Selepas itu, beliau mendapat ilham menyerahkan keris tanpa hulu dan sarung itu kepada saya.
“Keris ini asalnya disimpan Tok Wan Ismail dan setelah diserahkan kepada saya, saya jadikannya sebagai lambang kebesaran pertubuhan ini dengan dilengkapkan hulu dan sarung baharu,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette di pejabatnya di Labok, Machang, semalam.
Kata Fadzillah, penyerahan keris itu diadakan dalam satu majlis di rumahnya dan di kediaman bekas wakil rakyat berkenaan di Kampung Raja Dagang, Cherang Ruku, Pasir Puteh pada Mac 2012.
Sebelum itu, menurut Fadzillah, adiknya, Ahmad Tarmezi Hussin pernah bermimpi didatangi pahlawan Melayu, Hang Tuah dan keris Taming Sari.
Ahmad Tarmezi pada mulanya berdiam diri tidak memberitahu mimpi itu kepada kakaknya kerana menganggap ia hanya mainan tidur.
“Sehinggalah dia bermimpi lagi wanita tua yang selalu datang dalam mimpinya dan mengatakan dirinya adalah Hang Tuah telah meninggal dunia. Daripada situ, dia mengajak saya mencari khazanah peninggalan wanita berkenaan. Berdasarkan mimpi itu juga, saya dan adik mencari sebuah rumah yang tidak didiami di Kampung Aril, Gunung, Bachok.
“Saya meminta izin jiran berhampiran untuk memasuki rumah itu dan mula mencari keris Taming Sari,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Dr. Fadzillah, keris Taming Sari tidak ada di dalam rumah berkenaan, sebaliknya beliau menjumpai tasbih, sebuah tin kecil yang penuh dengan batu pelbagai saiz, gading dan tulang gajah serta buku sejarah.
Fadzillah kemudiannya menjelaskan, pada September tahun lalu, beliau bertemu dengan seorang pakar keris, Mohd. Noordin Ab. Hamid untuk mendapatkan pandangan pakar mengenai keris itu.
Beliau hanya diberitahu oleh Noordin, keris yang turut dikenali sebagai Lonjakan Puncak Alam itu mengandungi pelbagai jenis besi dengan luk tujuh dan berpamor tanda gunung jolokan.
“Gunungnya tinggi menaik manakala usia keris ini melebihi 100 tahun dengan pakaiannya (sarung) berunsur Kelantan-Pattani.
“Sampirnya pula berbentuk tebar layar yang diperbuat dari kayu kemuning bercoreng dan bergewen. Hulunya berbentuk anak ayam yang juga diperbuat dari kayu kemuning berceloreng,” katanya.
Menurut Fadzillah lagi, beliau bersedia untuk memberi penjelasan sekiranya ada pihak tertentu musykil dengan keris Taming Sari yang ada dalam simpanannya itu dan Hang Tuah yang dipanggil Mak Bonda sebenarnya adalah seorang wanita, bukan lelaki.
Sumber : MalaysiaGazette
Post a Comment