Pemimpin Umno Kedah diarah ‘kunci mulut’ berhubung pertemuan tertutup dengan Najib
Pemimpin Umno Kedah diarah ‘kunci mulut’ berhubung pertemuan tertutup dengan Najib |
Pemimpin Umno Kedah mendakwa diarahkan supaya ‘kunci’ mulut berhubung pertemuan tertutup bersama presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak pada petang Jumaat berhubung isu hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Ketua Wanita Umno negeri, Datuk Maznah Abd Hamid yang dilihat keluar lebih awal dari mesyuarat yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini enggan mengulas mengenai pertemuan itu.
“Tak boleh cakap apa-apa. Kena tutup mulut,” katanya kepada pemberita.
Ahli Parlimen Sik, Dr Mansor Abdul Rahman turut mendakwa mereka diarahkan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Tak boleh cakap, diarahkan untuk tidak bagi komen,” katanya.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim pula menjelaskan mesyuarat yang berlangsung selama kira-kira sejam itu berjalan lancar.
“Ok, ok… semuanya ok, alhamdulillah,” ujar Ahli Parlimen Baling itu secara ringkas tanpa mendedahkan butiran pertemuan itu.
Terdahulu, satu pertemuan antara pemimpin Umno Kedah bersama Najib yang bermula pada pukul 4.30 petang.
Najib bagaimanapun beredar keluar dari pertemuan itu setengah jam kemudian.
Antara lain kelihatan menghadiri pertemuan itu ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Jerai) dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap) dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz.
Rabu lalu, barisan pemimpin Umno Kedah merayu campur tangan Perdana Menteri untuk mengatasi kemelut kepemimpinan apabila hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Mukhriz berdasarkan beberapa kelemahan serta ketidakupayaan beliau sejak mengambil alih tampuk pimpinan.
Sidang media pada Rabu itu dihadiri oleh 14 ketua Umno bahagian tanpa melibatkan Mukhriz dari Jerlun.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagaimanapun berkata, tidak ada keperluan untuk mengambil tindakan disiplin terhadap 14 pemimpin Umno Kedah tersebut.
Sumber: Mstar
Post a Comment