Bagaimana Facebook Meracuni Hati Dan Membaja Ego Kita Dalam Rasa Bahagia & Tanpa Sedar?
Bagaimana Facebook Meracuni Hati Dan Membaja Ego Kita Dalam Rasa Bahagia & Tanpa Sedar? |
Pisau yang tajam memudahkan kita menyediakan makanan dan pada masa yang sama boleh digunakan untuk mencederakan dan membunuh orang lain. Begitu juga dengan Facebook. Sedar tidak sedar, facebook telah membuka ruang untuk menternak dan membaja ‘ego’ manusia. Dan pada masa yang sama, aplikasi ini juga boleh berfungsi dengan baik sebagai medium untuk menyebarkan kebaikan.
Jadi apa sebenarnya yang ingin saya sampaikan?
Kita hidup di dalam dunia yang masyarakatnya obses dengan diri sendiri. Tidak percaya? Facebook adalah antara aplikasi yang paling berpengaruh dan berjaya jika dilihat dari sudut bilangan penggunanya. Sungguh, didalam setiap daripada kita wujud sesuatu yang diberi nama ego.
Ego ini akan sentiasa berada dalam diri kita, cumanya kita mesti pandai menjaganya dan wajib diikat serta dipendam dengan sedalam-dalamnya. Apa yang merunsingkan apabila seseorang itu mula membaja egonya, tanpa dia sendiri sedari.
Ego ini akan mekar subur didalam hati sehingga akhirnya ia akan menjadi kuat. Dan malangnya, selepas itu ego ini akan mengawal kita hingga merajai seluruh jiwa raga kita. Akibatnya, kita yang sepatutnya hanya memperhambakan diri kepada Allah SWT kini
menjadi hamba pula kepada diri kita sendiri.
Apakah itu ego sebenarnya?
Ego merupakan sejenis nafsu didalam diri kita yang gemarkan kuasa. Ego ini bertanggungjawab membuatkan kita suka dan selesa dipandang, diiktiraf, dipuji dan juga diminati oleh orang lain.
Fungsi facebook yang membolehkan kita berkongsi dengan satu dunia apa yang kita fikirkan, apa yang kita kata, apa yang kita makan, setiap lintasan fikiran, setiap pendapat untuk di’like‘ oleh kawan-kawan kita di laman facebook. Percaya atau tidak, saya juga tidak terkecuali daripada permasalahan ini.
Walaupun saya sedar bahawa semua ini hanya kekal di dalam dunia siber, saya mula tagihkan “Like” yang dapat. Kehidupan saya bagai bersulam dengan realiti yang dunia siber tawarkan. Tiba-tiba, tanpa saya sedar, setiap apa yang saya fikirkan, apa yang saya perhatikan, yang saya mahu lakukan akan mengakar umbikan kepada “baik aku muat naik atau kongsikan di dalam facebook..
” Sama seperti di muzium, kerana setiap perkara yang berlaku didalam hidup kita akan diperhati dan dinilai saban waktu. Segala-galanya boleh dimuat naik di Facebook.
Sesiapa sahaja boleh melihatnya dan boleh like atau memberi komen mengenai perkara yang kita muatkan. Apa yang menggusarkan ialah, ia akan melahirkan dan menjinakkan ‘rasa pentingnya’ diri saya ini.
Rasa ini tidak sepatutnya ada!
Sekecil-kecil perbuatan saya ataupun tindakan saya akan dibesar-besarkan menjadi masalah dunia kerana rasa ‘penting’ yang telah
dibaja subur melaluinya. Rasa gembira andai dilihat orang lain! Kita akan berasa segala tentang kita adalah penting.
Seluruh dunia mesti memerhatikan apa yang kita update! Kita selalu update gambar kebahagiaan kita bersama suami, seperti macam kita sahaja yang berkahwin. Kita selalu mengeluh di facebook, seperti kita sahaja yang ada masalah.
Kita mengutuk dan mencaci orang lain di facebook, seperti diri kita ini sempurna dan tiada kekurangan. Maka secara tidak sedar kita telah mengangkat dunia ini lebih daripada apa yang sepatutnya. Dunia facebook telah berjaya menyebarkan dan mengembangkan sebuah ilusi yang ternyata mengembangkan ego kita.
Ia membuatkan kita semua percaya bahawa diri kita sangat penting dan setiap apa yang kita lakukan, saya perlu pamerkannya di dinding (facebook wall).
Setiap sarapan, setiap perjalanan beli belah di kedai runcit, setiap rasa kecewa dan patah hati, semuanya ibarat berita hangat yang sangat perlu kita muat naik di halaman facebook.
Apa yang menarik di sini, pasti semua diantara kita disini berasa penting untuk memuat naik gambar milik kita kemudian kita tertunggu-tunggu dan ternanti-nanti like serta komen dari orang lain.
Betul atau tidak? Sila jujur dengan diri anda..
Mengapa kita sanggup membiarkan kehidupan kita dipamerkan dan dinilaikan?
Tiba-tiba sahaja entah bagaimana kecantikan dan ketampanan fizikal kita bagai boleh dikira malah dinomborkan oleh setiap orang yang melihat. Tidak cukup dengan itu, digit-digit ini bagaikan bertanding pula kelihatannya. Pertandingan yang pemenangnya ditentukan oleh siapa yang ada paling ramai kawan.
Ironinya, walaupun kawan facebook ini kadangkala mencecah sehingga ribuan orang, namun 80% daripadanya kita tidak benar-benar mengenali siapa mereka.
Obsesi dan rasa pertandingan yang mendorong kita turut serta ini telah Allah SWT terangkan dalam firmanNya: “Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh)” – Surah At Takaathur (102:1).
Tidak kiralah pertandingan mana yang kita sertai, berlumba-lumba mengumpul harta, mengejar pangkat darjat, ataupun bilangan kiraan like di facebook, kesemuanya akan berakhir dengan satu perkara.
Iaitu kita akan menjadi sangat asyik dengannya. Sesungguhnya, hal ini sangat bertentangan dengan realiti kehidupan kita sebagai hambaNya. Tujuan hidup kita tidak lain tidak bukan hanyalah untuk tunduk patuh kepadaNya dan menjadi hambaNya yang beriman.
Kita perlu sedar dan yakin penuh bahawa Allah itu Maha Agung dan diri kita ini hanyalah hambaNya yang lemah dan tidak berdaya. Kita sepatutnya mematahkan ego dan menarik keluar seluruh diri kita di dalam apa juga perkara yang kita lakukan dan kita pasakkan kepada Allah SWT dan hanya kepadaNya semata-mata.
Kita akan mula menilai orang lain, walaupun kita menafikannya..
Selain daripada berkaitan dengan ego, Facebook juga platform untuk kita menilai bukan sahaja diri kita, malah orang lain juga. Tanpa sedar, kita akan fokus kepada orang lain. Kita akan mula mahu tahu apa yang mereka lakukan, apa yang mereka suka dan mungkin juga pandangan mereka terhadap kita.
Pernah dengar istilah ‘stalker?‘ Kemudian, hari demi hari makin kita lebih khusyuk dan asyik dengan aplikasi ini hingga kita lemas di dalamnya. Bagaimana ia terjadi? Di dalam dunianya yang penuh dengan puji dan puja, pandangan itu ini serta juri dan hakim yang tidak berbayar. Kita membiarkan diri kita lemas dalam mahkamah makhluk-makhluk ciptaanNya. Lalu setiap satu kejayaan, kegagalan, jatuh bangun, gelak ketawa dan senyum riang diri kita didefinisikan oleh mereka yang kita panggil ‘kawan’ di facebook.
Setiap apa yang berlaku, semuanya yang ada dalam dunia maya itu akan kita gunakan untuk mendefinisikan diri kita. Kita tidak sedar, ini sebenarnya adalah penjara! Ia menjadi penjara kerana saya sudah berikan kunci kegembiraan, kebahagiaan, kesedihan, kepuasan dan kekecewaan saya kepada orang lain untuk dia simpan dan genggam erat.
Apabila seseorang manusia itu bergelumang didalam ruang lingkup manusiawi, setiap satu perkara yang berlaku akan dinilai dari sudut pandangan manusia lain. Tetapi, andai kita melangkah keluar daripada ruang itu dan membiarkan diri kita lepas bebas dan bersama dengan Allah SWT, kita sudah pasti mendambakan keredhaanNya sahaja serta ganjaran yang setimpal dariNya.
Berbeza dengan mereka yang berada dalam dunia yang menagihkan kritik dan pujian manusia. Seseorang itu akan hilang dirinya sedikit demi sedikit selepas dia salutkan dirinya dengan kata-kata yang orang lain tempikkan kepadanya. Sebagai contoh, bayangkan permainan Monopoly.
Permainan ini memerlukan kita melaburkan ‘wang’ kita bagi membeli hartanah dan terasa kaya seketika. Wang monopoly kita beribu-ribu malah mencecah juta. Tetapi, tanya pada diri kita, apakah barang yang boleh kita beli dengan menggunakan wang monopoly?
Nampak bezanya? Sekarang kita sedar bahawa nilai puji, puja dan kritikan yang manusia berikan itu sama sahaja dengan matawang Monopoly. Wang monopoly yang berjuta-juta itu, saat kita berhenti bermain, ia hanyalah sekeping wang kertas berwarna yang langsung tiada nilai. Namun sayang seribu kali sayang, kita masih lagi menggunakan ‘wang monopoly’ ini sebagai sesuatu yang sangat bernilai di dalam hidup yang terkadang mendefinisikan hidup diri kita.
Bayangkan, semakin dalam kita melemaskan diri dalam dunia puji kritik yang dicipta oleh manusia ini, kita akan semakin lemah dimamah indahnya pujian dan perhatian manusia. Lantas, kita akan menjadi gundah gulana apabila berdepan dengan kehilangan.
Kehilangan apa? Kehilangan perhatian, puji-pujian, status dan segala apa bentuk pengiktirafan yag boleh manusia beri di laman facebook. Satu realiti yang menyedihkan.. ..mereka akan berduka cita sekiranya manusia lain tidak memberi perhatian kepadanya.
Sekali gus, dia telahpun menjadi hamba mereka. Hamba kepada perhatian dan puji-pujian mereka. Ternyata, kebebasan yang sebenar ialah apabila kita putuskan segala rantai yang ada, yang sedang membelenggu kita, yang merembes rasa takut, gusar, kecewa, dukacita dan semua yang serasa dengannya kepada hanya satu. Iaitu Allah, Tuhan semesta alam.
Rasulullah SAW telah didatangi oleh seorang lelaki dan berkata, ‘Ya Rasulullah, beritahulah kepadaku satu perbuatan yang andai aku lakukan, Tuhan akan menyayangiku dan orang lain juga akan menyayangiku’ Lalu Rasulullah menjawab, ‘Bebaskan diri kamu daripada dunia dan Tuhan akan menyayangimu, bebaskan diri kamu dari rangkulan maknusiawi dan mereka akan menyayangimu.’ (Ibnu Majah) Hadis ini jelas menerangkan perihal sesuatu yang amat benar.
Hanya dengan kita merungkai belenggu dunia dan setiap apa yang ada padanya, kita akan mengecap redha Ilahi. Faham dan sedarlah bahawa semakin kita lupakan segenap pengiktirafan dan kecintaan manusia, kita akan lebih tenang. Sekiranya kita tidak terlalu mengharapkan perhatian ‘kawan’ kita, ketahuilah bahawa ada ramai orang diluar sana yang ingin bersahabat dengan kita, bukan hanya di dalam dunia maya bila mana hanya jejari menari suka sendiri.
Penutup:
bagaimana anda menggunakan facebook? Facebook, tidak dapat kita nafikan kebaikannya yang sangat banyak. Apa yang penting ialah bagaimana kita memanfaatkan aplikasi ini demi kemaslahatan diri kita agar lebih dekat dengan-Nya. Bukan sebagai medium untuk kita hambakan diri segenap puji-pujian, caci maki yang orang disekeliling berikan kepada kita. Hapuskan kontroversi, tingkatkan prestasi dan kejarlah cintaNya! (Sumber: Blog Aku Islam, oleh Muhamad Naim)
sumber:www.sayangsabah.com
Post a Comment