KUALA LUMPUR: Pengetua Akademi Fantasia (AF) 2015, Edry Abdul Halim menegaskan keputusan Rozita Che Wan menarik diri sebagai juri tetap pertandingan realiti itu adalah wajar dan perlu dihormati.
Jawapan Yang Sangat LANTANG Dari Edry Buat Rozita Che Wan |
Rozita sebelum ini mengesahkan sudah tidak lagi bergelar juri pertandingan itu mulai minggu depan selepas dikatakan diherdik Edry yang tidak berpuas hati dengan kritikan yang dilontarkan terhadap pelajar AF malam kelmarin.
Rozita menjelaskan, tindakan itu dilakukan atas dasar profesionalisme selain mempertahankan maruahnya dan tidak mahu bekerja dalam persekitaran yang tidak sihat.
Edry bagaimanapun menjelaskan dia tidak mengherdik mahupun memaki Rozita seperti didakwa oleh isteri Zain Saidin itu.
Kata Edry, sekiranya Rozita boleh mengkritik secara terbuka terhadap pelajar AF 2015, hal yang sama juga patut diterimanya apabila ditegur.
"Saya tak maki atau herdik dia sebaliknya hanya menegur. Kenyataan itu nampaknya terlalu berlebihan.
"Seharusnya sebagai orang industri mahupun yang menerima mandat sebagai juri, dia (Rozita) seharusnya terbuka dengan kritikan dan teguran.
"Saya hanya menegur komennya kepada pelajar saya di AF 2015. Harus diingat tugasan sebagai juri bukan kerja mudah. Ia sangat berat. Selepas minggu keenam AF2015 bersiaran, saya lihat dan rasa komen dia kepada pelajar tak beri kesan kepada pelajar," katanya.
Edry berkata beliau tidak tahu Rozita mengambil hati dengan tegurannya itu.
"Juri pun bukan ada kekebalan kerana mereka juga terbuka dengan kritikan sesiapa yang tak berpuas hati.
"Tugas juri sangat besar dan ia membabitkan masa hadapan pelajar. Kalau dia setakat komen awak nampak cantik dan seumpamanya, ia tidak akan membantu pelajar saya. Tugasan ini memang terlalu besar kapasitinya untuk dia dan sekali gus menyerlahkan kelemahan dirinya.
"Sebagai juri dia perlu memberi kritikan dan sekali gus memberikan cadangan yang membina. Sebagai contoh yang dilakukan oleh juri tetap AF2015, Datuk Ramli MS. Jadi demi kebaikan dia, memang saya hormati tindakannya menarik diri.
"Sejujurnya saya sangat simpati dengan dia kerana sering menerima kritikan negatif daripada orang luar yang melihat komen yang diberikannya kepada pelajar AF 2015 yang tak mendatangkan kesan," katanya.
Menurut Edry, dia tidak mempunyai masalah peribadi dengan Rozita, sebaliknya apa yang berlaku atas paksi profesionalisme.
Malah, sebagai pengetua akui Edry, dia berhak bersuara untuk mempertahankan apa yang patut dipertahankan.
"Saya suarakan apa yang betul kepadanya. Kalau nak komen kepada pelajar AF 2015, biarlah berasas. Saya nak yang terbaik untuk mereka. Selepas ini saya boleh makan semeja dengannya kalau ada majlis tertentu kerana apa yang berlaku bukan soal peribadi. Pihak Astro selepas ini patut mengundang juri yang lebih layak dan berpengalaman seperti Adlin Aman Ramlie atau Fauziah Ahmad Daud," katanya.
Rozita sebelum ini dalam kenyataannya, tawaran yang diterimanya untuk memikul mandat juri tetap itu bukan diterima kerana soal duit atau populariti muncul dalam program yang ratingnya tinggi.
"Saya tidak mahu bekerja dalam suasana yang tidak sihat di mana ada orang yang tidak tahu saling menghormati. Saya cuma menjalankan tugas yang diberikan.
"Semua soal profesionalisme. Apa yang saya buat adalah kerja saya dan saya hanya berminat bekerja dengan orang yang mempunyai tahap profesionalismenya sama seperti saya.
"Bos Astro ada pujuk tapi saya tetap akan pertahankan keputusan ini. Kalau Edry telefon pun saya tak mahu tarik balik keputusan saya itu. Saya tak mahu duduk dalam kelompok itu lagi," tegasnya.
Post a Comment