Ambil Wuduk, Baca Yassin Dan MENGAIL Di Surau!

Ambil Wuduk, Baca Yassin Dan MENGAIL Di Surau!

Bachok - Kelicikan sepasang suami isteri yang menjalankan aktiviti mencuri duit tabung masjid sejak beberapa bulan lalu akhirnya tumpas apabila mereka ditangkap penduduk ketika kembali untuk 'mengail' duit, semalam.

Ambil Wuduk, Baca Yassin Dan 'Mengail' Di Surau!
Ambil Wuduk, Baca Yassin Dan 'Mengail' Di Surau!
Pasangan ini dicekup di Masjid Mukim Melawi, dekat sini, sekitar jam 6 petang.

Modus operandi mereka membawa bersama tiga anak berusia setahun hingga enam tahun ke masjid untuk mengaburi mata jemaah.

Pasangan berusia 30-an itu sebelum ini berpura-pura alim singgah ke masjid menaiki motosikal sebelum berwuduk, solat dan membaca yasin.

Penghulu Mukim Melawi, Mat Lazim Mat Ya, berkata, kegiatan pasangan itu dikesan penduduk sejak Mei lalu apabila perbuatan mereka berjaya dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang diletakkan di dalam masjid berkenaan.

Menurut Mat Lazim, pasangan ini dipercayai telah melakukan kegiatan mencuri di masjid berkenaan lebih lima kali.

“Mereka berlagak alim dengan memakai sedang jubah, singgah wuduk, solat dan berpura-pura membaca Yasin bagi mengaburi mata jemaah sebelum bertindak mencuri tabung masjid ketika orang tak ada.

“Rakaman menunjukkan mereka mengail sebanyak mungkin duit daripada tabung sehinggalah ada orang masuk ke masjid dan pernah sehingga salah seorang daripada anak mereka tertidur kerana menunggu terlalu lama,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan, pagi tadi.

Menurutnya, rakaman juga menunjukkan suami isteri itu ‘mengail’ duit dalam tabung menggunakan peralatan khas dan gam tikus yang dibawa bersama, manakala anak-anak mereka pula bertindak sebagai pengawal kawasan untuk memaklumkan jika ada orang masuk ke dalam masjid.

Mat Lazim berkata, semalam apabila penduduk melihat suspek ke masjid menaiki motosikal, mereka segera menangkap suspek sebelum menunjukkan rakaman CCTV yang menyebabkan suspek mengaku jenayah yang dilakukan.

Katanya, suspek yang berasal daripada Kuala Krai dan menyewa di Bachok mengaku menjalankan kegiatan mencuri selepas waktu Asar kerana ketika itu masjid agak lengang.

Beliau berkata, selepas panik diserbu penduduk, isteri suspek juga dipercayai menyorokkan gam tikus yang dibawa ke dalam kain telekung wanita.

"Bau kuat gam itu dikesan seorang jemaah wanita yang mahu menunaikan solat Maghrib semalam. Dia menjumpai gam itu berbalut dalam kain telekung dan menyerahkannya kepada ahli jawatankuasa masjid.

"Namun, kami tak buat laporan polis kerana mereka ditangkap sebelum sempat mencuri. Kami yakin dengan kejadian ini mereka tidak akan berani lagi mencuri di masjid. Lagipun, penduduk kini semakin berwaspada dengan kegiatan mencuri di sekitar kampung ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Abdul Hamid Che Ahmad memaklumkan tiada laporan polis dibuat penduduk mengenai kejadian itu.

Namun, suspek ditahan untuk siasatan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki dan menyimpan motosikal curi.

Sabit kesalahan, OKT (orang kena tangkap) boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun penjara.

Bagaimanapun, isteri dan anak- anak suspek dibebaskan. - SH

Post a Comment

Previous Post Next Post