Tinggalkan Nota kecil Menyentuh Hati Sebelum Maut Kemalangan
SEREMBAN : Ayat tulisan tangan di atas sekeping nota kecil ditemui di tepi tangan seorang pelajar perempuan tingkatan lima yang maut dalam kemalangan di Jalan Seremban – Kuala Pilah cukup menyentuh hati.
Sadis,Tinggalkan Nota kecil Yang Menyentuh Hati Sebelum Maut Kemalangan |
Kejadian yang berlaku kira-kira 6.50 pagi, mangsa, Dina Shuhadah Ahmad Fariz berusia 17 tahun menunggang motosikal jenis Honda EX5 untuk ke sekolah hilang kawalan dan terjatuh, sebelum digilis sebuah treler.
Kejadian tersebut berlaku tidak sampai 2 kilometer dari sekolahnya, Sekolah Menengah Teknik Tuanku Ja’afar.
Menurut datuk mangsa, Osman Senara, 72, penemuan nota tersebut sangat menyentuh hatinya, lebih-lebih lagi ia dijumpai di tepi tangan kiri cucunya itu selepas kemalangan.
“Nota itu ada dengan saya. Bila saya membacanya, saya juga sangat sayu. Arwah anak kedua dari lima beradik dan seorang yang periang.
“Dia pelajar yang cemerlang dan bercita-cita nak jadi jurutera. Dia ada cakap nak belajar rajin-rajin supaya dapat semua A dalam SPM nanti macam kakak dia. Tapi tak sempat,” katanya.
Apa yang lebih menyedihkan, kali terakhir dia bertemu dengan Allahyarham ialah Sabtu lalu ketika mereka sekeluarga berbuka puasa di rumah seorang bapa saudaranya di Taman Golf Height.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, siasatan awal mendapati, motosikal ditunggangi mangsa hilang kawalan dan bergesel dengan sisi kiri sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu seorang lelaki berusia 61 tahun di lorong kanan.
“Akibatnya, mangsa terjatuh menyebabkan sebuah treler yang membawa muatan batu konkrit di sebelah kanan tidak sempat memberhentikan kenderaan dan melanggar mangsa,” katanya.
Mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala. Mayat mangsa terus dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jenazah Allahyarham Dina Shuhadah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, semalam.
sumber: Sinar Harian
Post a Comment