Salam.
Abang, ni Ika.
Ika dah baca warkah yang abang coretkan pada Kak Mah isteri abang tu. Dah viral sampai ramai marah-marah abang. Ika juga tempias makian orang ramai.Sedih..
Penyesalan!!.. Surat Dari Janda Buat Suami Yang Curang Pada Isterinya |
Dah hampir 6 tahun kita bersama dalam keadaan yang tidak sah.
Ika sedar tu. Bukan Ika tidak mahu jadi isteri kedua abang, tapi Ika selalu fikirkan perasaan Kak Mah. Anak-anak abang. Tak nak dia terluka sebenarnya. Abang pun selalu cerita yang dia baik. Dalam masa yang sama, Ika jatuh sayang dekat abang. Sebab sangka abang matang, berpengalaman dan osem. Sebab abang baik, caring dan kata-kata abang cukup manis. Menyebabkan Ika tak mampu jauh dari abang. Abang pun tak kedekut, selalu tolong Ika bila dalam kesusahan. Waktu Ika down. Waktu Ika tak ada duit.
Benarlah cinta itu buta.
Tapi, dalam tempoh 6 tahun itu juga, Ika tak sangka abang tak pernah cuba berterus-terang pada isteri abang. Ika lebih terkejut baca surat tu, rupa-rupanya abang cuma lempiaskan nafsu abang pada Ika. Cuma tertarik pada tubuh badan Ika. Ika rasa terhina. Ika sangka abang jujur dalam perhubungan. Tapi, rupa-rupanya, dusta semata. Nafsu serakah semata-mata. Ika bukan GRO. Status Ika sebagai janda bukanlah lesen untuk abang jadi seperti lelaki lain yang melihat golongan janda seperti penggoda dan perosak rumah tangga orang.
Cinta Ika dipermainkan! Takkan abang tak nampak cinta yang membara dalam mata Ika selama ni? Atau abang cuma nampak lekuk tubuh badan Ika? Jijik pandangan abang tu. Sangat jijik! Malahan, setiap bait kata abang pada isteri abang tu juga betul-betul menghina golongan wanita, golongan ibu. Nampak seperti ayat penuh bunga, padahal ditusukkan duri-duri bisa semata. Ika mengerti hati isteri abang yang remuk teruk sebab Ika pun seorang wanita!
Ika menangis bengkak mata lepas baca tinta abang tu. Sedih. Rasa diri sangat teruk. Rasa diri sangat berdosa. Selama ini, hanyut dengan abang dalam noda. Timbul dalam diri Ika, mahu belek Al-Quran. Tapi, saat Ika sentuh Al-Quran, Ika rasa seperti tak layak nak pegang kalamullah yang suci ni. Sebab, Ika rasa diri Ika kotor! Ika belek buku agama pula. Cari berkenaan selingkuh dan zina. Ya Allah! Ika khilaf. Ika hanyut kerana cinta semua. Cinta palsu. Dosa bersekedudukan, berzina dengan suami orang lebih besar dari berzina dengan orang bujang. Andai hudud dilaksanakan di dalam negara saat ini, sudah pasti Ika sudah mati direjam, abang pun mati sama!
Ika baca tentang zina. Dalam kitab agama tulis, zina buat agama seseorang jadi lemah, bunuh rasa malu diri, hilangkan keceriaan wajah – jadi kusam kelam, hilang cahaya dari hati, mengakibatkan kemiskinan bagi pelakunya dan banyak lagi. Ya Allah. Itu di dunia. Di akhirat, dapat neraka!
Tapi, Ika betul-betul tersentuh dengan kasih sayang Allah. Dalam Al-Quran dan hadis-hadis yang Ika baca, Allah masih bukakan pintu taubat seluas-luasnya. Taubat nasuha saja caranya. Belek lagi buku agama. Menitis air mata Ika baca firman Allah, Surah Al-Furqaan ayat 68-71:
“68. Dan orang-orang yang tidak menyembah tuhan yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barangsiapa yang melakukan demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya),
69. (yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina,
70. kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh; maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebaikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
71. Dan orang yang bertaubat dan mengerjakan amal soleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya.”
Abang,
Walaupun abang dah buat keputusan tinggalkan Ika, Ika nak abang buat keputusan untuk taubat juga. Tinggalkan bukanlah solusi. Berubah sepenuhnya dan insaf serta tidak mengulangi lagi. Itu yang utama.
Yang lebih penting, abang tolonglah jangan lihat lagi pada kecantikan luaran wanita. Abang pun tidak lagi muda. Luaran abang juga makin pudar. Makin lama, makin tua. Di sebalik kulit luaran ni, cuma daging dan belulang yang hodoh di mata.
Hargai isteri yang sentiasa setia di sisi. Terfikir jua Ika, andai pada isteri abang pun sanggup dicurangi sedemikian rupa, mana tahu suatu hari bila Ika sudah tidak bergetah lagi, Ika pula dikhianati.
Abang sebenarnya masih tidak matang walaupun berpengalaman. Tak matang kerana walaupun telah lama bersama isteri, masih tidak berani meluahkan rasa dan keinginan yang sebenar. Isteri abang boleh jadi cantik seperti permaisuri jika abang yang jaga dia sepenuh hati. Isteri adalah acuan suami. Taat kemahuan suami. Abang nak dia jadi cantik macam model sekalipun, boleh. Masih tak dapat tolerate dengan isteri sendiri. Macam isteri tu batu yang tak boleh dibuat bicara or bawa berbincang!
Tapi akhirnya, abang permaisurikan nafsu abang, bukan isteri tersayang!
Abang boleh buang Ika macam sampah, tapi tolong jangan ulang lagi kesilapan sama. Jangan cari Ika. Ika takkan kembali semula pada abang. Kalau kembali baik, bukan taubat nasuha namanya. Segala kata-kata abang sekarang dah tak bererti lagi pada Ika. Hanyut bersama duka lara.
Menyesallah sekarang. Jangan menyesal kerana takut kehilangan isteri tercinta. Tapi, kerana takut pada azab Dia. Akhir sekali, Ika terfikir.
Andai si buta boleh bercinta setulus hati tanpa melihat, kenapa abang yang ada mata tidak begitu?
Cinta tu rasa dalam hati. Allah yang beri. Supaya cinta itu kerana Ilahi.
Andai abang memahami. Oh. Ika lupa. Abang memang takkan faham erti cinta. Erti setia. Sebab abang cuma pencinta ketulan-ketulan daging di tubuh manusia.
Yang mencari jalan pulang,
— Zulaikha.
Post a Comment