Sejak bercerai, ramai menganggap Norish Karman hidup mewah tanpa perlu berpenat-lelah di lokasi penggambaran kerana menerima pembahagian harta sepencarian dan hadanah anak-anak.
Norish Cekal Mencari Rezeki Demi Anak-Anak |
Jelasnya, itu hanya spekulasi sesetengah individu sebaliknya apa yang dikecapi sekarang hasil titik peluhnya.
“Saya bersuara bukan kerana mahu menuding jari menyalahkan mana-mana pihak, cuma memperbetulkan persepsi masyarakat.
“Banyak kali saya kehilangan tawaran kerja kerana mereka fikir saya sudah senang dengan hasil daripada perceraian itu. Hakikatnya, saya bekerja keras untuk mendapatkan apa yang saya inginkan.
“Saya dan anak-anak susah senang bersama. Sekali lagi saya tegaskan, saya bukan mahu buka aib atau memburukkan tetapi hanya sekadar mahu mengubah tanggapan orang,” katanya.
Mungkin ramai mengenali Noriah atau NK hanya sebagai pelakon tetapi hakikatnya, ibu empat anak ini turut menyanyi serta menjalankan perniagaan katering dan bergiat aktif dalam ceramah motivasi sejak dua tahun lalu.
Katanya, dia terpanggil memberi motivasi kepada pelajar sekolah menengah, mahasiswa dan peringkat korporat kerana mahu melihat mereka dapat meneruskan kehidupan dengan tabah.
“Saya pernah melalui jatuh bangun dalam hidup. Bukan sekali, berkali-kali saya berhadapan dengan kepayahan. Namun, tidak pernah sekali pun saya mengalah. Pengalaman itu saya ingin kongsi dengan orang lain agar mereka juga boleh menjadi tabah dan kuat.
“Kalau bercakap dengan orang yang sepanjang hidup selalu berjaya, perkongsian mereka pastinya hanya sesuatu yang indah. Berlainan dengan individu yang bangkit sesudah jatuh. Cerita pasti lebih menarik dan menyemarakkan semangat,” katanya.
Dia akui bukan mudah bagi ibu tunggal memberi keselesaan kepada anak tetapi ia tidak mustahil. Selain memberi ceramah motivasi dan mengusahakan katering, NK juga menerima undangan menyanyi majlis korporat.
“Untuk menjalankan semua ini, kita harus bijak menyusun jadual agar tidak ada yang bertembung. Perniagaan katering Nottyrisch sudah lama saya jalankan dan tidak mengganggu aktiviti memenuhi jemputan nyanyian atau berceramah sebab bukannya setiap hari orang buat tempahan. Saya hanya buat pada hari tertentu.
“Ceramah dan undangan menyanyi pun kebanyakannya saya penuhi pada hujung minggu. Saya juga menghasilkan sos Bunda Magic Sauce dan bertuah kerana ramai memberi sokongan,” katanya.
Dia bersyukur kerana anak-anak sangat memahami kesusahannya dan kerap membantunya di dapur dan menguruskan rumah. Walaupun anak sulung, Muhammad Haqiem Amany baru berusia 16 tahun, dia sudah matang untuk menjaga adik-adiknya.
Dari kecil lagi NK mengajar mereka mengenai kehidupan. Dia membawa mereka sama-sama membuat kebajikan di rumah anak yatim.
Katanya, dia sendiri tidak tahu masa depan anak-anak mungkin mereka juga nanti salah seorang kanak-kanak yang tinggal di situ.
“Saya membawa anak-anak melakukan kebajikan seupaya mereka faham erti kehidupan dan sentiasa bersyukur dengan apa yang mereka ada.
“Saya latih mereka kerana kita tidak tahu ajal kita. Kalau tiba-tiba saya atau ayah mereka sudah tiada, mereka juga bergelar anak yatim.
“Saya mahu mereka selami perasaan kanak-kanak malang itu dan mereka sentiasa beringat dalam hidup. Sepanjang Ramadan juga, saya membawa anak-anak ke masjid berbuka sekali gus solat Maghrib, Isyak dan Tarawih.
“Sebab itu saya tidak berniaga di bazar Ramadan tahun ini,” katanya.
Pada Aidilfitri pula, tiga anaknya, Haqiem, Muhammad Hady Amieran dan Nur Hanyz Amanda akan beraya dengan ayah mereka manakala Norish berada di rumah bersama Haq Lutfie Alexander. Dia pulang ke Singapura pada hari kedua Aidilfitri untuk menyambutnya bersama sanak-saudara di sana.
Pelakon Sayang Salmah itu akui sangat merindui dunia lakonan tetapi dia menanti skrip yang bagus dan berlainan dengan karakter yang pernah dilakonkan sebelum ini.
Katanya, dia mahu mencuba karakter orang kurang upaya, banduan mahupun gengster. Sudah cukup dia memegang watak antagonis sepanjang kembara seninya.
“Memang saya rindu berlakon tetapi setakat ini tidak ada skrip yang bagus. Kebanyakan karakter diberikan watak berulang. Pasti terselit menjadi ibu mertua jahat. Cukuplah saya bawa watak seperti itu.
“Mungkin ada hikmah juga saya tidak lagi aktif dalam lakonan. Ramai pelakon baru sekarang mencari peluang mengembangkan bakat lakonan mereka. Berilah mereka peluang,” katanya.
Metro
Post a Comment