Sebagai individu, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bertuah kerana dianugerahkan Ilahi harta melimpah ruah hasil usaha kerasnya dalam bidang perniagaan, terutama kosmetik, selama ini.
Kisah Hidup Arwah Sosilawati Lawiya Yang Ramai Tak Tahu |
Kisah Hidup Sosilawati Lawiya
Kisah Hidup, Kejayaan dan Cinta Sosilawati Lawiya
Wartawan Metro Ahad, NORIAH IDRIS yang mengenali dan antara teman rapatnya sejak 16 tahun lalu, mempunyai bingkisan istimewa mengenai kisah hidup jutawan berhati waja itu. “SATU hari ketika saya bermalam di rumahnya, dia pernah meluahkan rasa yang sangat meruntun hati saya sebagai sahabat dan wanita.”
Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya pernah berkata:
“Aku ada segala-galanya… (harta). Apa yang aku inginkan semua Tuhan bagi kecuali satu, iaitu kasih sayang. Aku tak pernah mengharapkan harta daripada mereka sebab aku sudah ada. Yang aku inginkan hanya kasih sayang.”
“Sebenarnya, susah mencari lelaki yang benar-benar ikhlas menyayangi diri ini. Kalaulah aku dapat, pasti aku hidup bahagia. Lebih baik kita hidup sendiri daripada terus dikhianati.” Banyak kegembiraan dan kedukaan di sebalik tabir hidupnya tersingkap antara kami sehingga kepada hal peribadi. Namun hebatnya wanita bernama Sosilawati (Wati) ini, dia tidak pernah mempamerkan kepada khalayak akan kepedihan hatinya, misalnya duka perceraiannya dengan Bukhari Mohamad yang juga bapa kepada enam anaknya, sebagai batu penghalang kejayaannya.
Melihat kegigihannya bekerja dan sikapnya cepat mesra dengan sesiapa saja, terdetik di hati bahawa wawasan anak penoreh getah dari Kampung Sri Medan, Batu Pahat, Johor ini untuk melebarkan empayar perniagaan kerana dia terkenal sebagai gigih, degil, fokus dengan apa dilakukan serta bijak mengetepikan antara masalah peribadi dengan kerjaya, pasti tercapai. Bercerita pengalamannya ketika premisnya di Jalan Raja Bot, dia pernah dihalau dan dengan titisan air mata, dia keluar dari pejabat berkenaan tetapi azam kuat disemat di dada bahawa dia akan buktikan sesuatu keajaiban akan berlaku.
Teringat kata-katanya bahawa dia perlu bekerja keras demi mempertaruhkan seluruh hidupnya dalam perniagaan selepas rumah tangga yang dibina lebih 10 tahun sebagai isteri kedua gagal. Ketika perniagaan beralih ke Diamond Square, Jalan Gombak, dia mendapat khabar bangunan kedai di Jalan Raja Bot bakal dilelong dan dia terus meminta penasihat kewangannya sebelum membuat permohonan untuk ‘mendapatkannya’ dan ternyata nasib menyebelahinya apabila dia membeli bangunan kedai itu dengan ‘bermaruah’.
Biarpun berpendidikan SPM, kesedaran terhadap pentingnya pelajaran sering menjadi pertaruhan buat anak dan sekali gus mewariskan perniagaan itu buat mereka. Justeru, tidak hairan apabila dia membuat keputusan menghantar tiga anak perempuannya iaitu Erni Dekritawati Yuliana (Rita), 25, Erni Erinawati Sofia (Rina), 21, dan Erni Reenilawati (Reeni), 19, ke United Kingdom untuk mempelajari bidang yang menjadi aspirasi impian masing-masing. Manakala Erwan Suwari Ridzuan, 24 dan Erwan Nasri, 23, banyak membantu urusan perniagaan ibunya manakala si bongsu, Siti Nur Fatimah, 13, masih menuntut dalam tingkatan satu di sebuah sekolah antarabangsa.
Sepanjang ketiadaan anaknya, saya bersama beberapa lagi rakan rapatnya yang lain banyak menemaninya demi mengelak kesunyian. Dia sebenarnya tabah menghadapi apa juga situasi dan terkenal sebagai insan yang kental semangatnya. Setiap tahun dia terbang ke London bagi meninjau keadaan anak dengan membawa tiga lagi anaknya untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar dan untuk teman, dia tidak pernah melupakan buah tangan, bahkan sering mengajak menemaninya bercuti.
Derita perkahwinan bagi Wati tidak lama kerana dia sering dikelilingi lelaki yang sering mengintip hatinya. Antara kebahagiaan yang pernah terakam dalam hidupnya dan pernah berbahagia rasa itu adalah mengenai rahsia cinta yang paling dalam terhadap vokalis rock kumpulan Lefthanded, Jamaluddin Elias (Nash). Setiap kali bercerita mengenai lelaki yang bertakhta di hatinya itu, matanya sentiasa bersinar dan nama hebat itu tidak lekang daripada bibir apabila saya dapat menghidu bibit cintanya selepas dia mengerjakan umrah pada 2006 dan memberitahu pada tahun itu juga akan berkahwin. Lalu perkahwinan paling berprestij dilangsungkan dalam tiga majlis resepsi dengan perbelanjaan hampir menelan lebih RM300,000.
Namun kebahagiaan dikecapi tidak panjang kerana di awal perkahwinan, beliau dapat menghidu sesuatu yang menyedihkan berlaku. Hampir dua minggu saya menyimpan rahsianya apabila dia sudah pun meminta peguam syarie, Datuk Zaidi Mohd Zain untuk memfail kes cerai. Apabila segala-galanya terbongkar dan putuslah kasih antara mereka, cerita perceraiannya menjadi tatapan umum dan semua itu menjadi bahan luahan rasanya apabila kami berbual. Lepas satu-satu kontroversi melanda diri wanita bertaraf jutawan ini, namun sesuatu yang mengagumkan mengenainya, dia memang seorang yang tabah.
Seperkara lagi yang sering menjadi ingatan, apabila tidak lalu makan dan ke rumahnya, perkara pertama yang dilakukan adalah terus menuju ke dapur. Di atas meja sedia terhidang makanan buat rakan rapat atau sesiapa saja kerana dia terkenal hebat di dapur. Kalau saya ada masalah dan tidak mahu makan, dia akan menyuapnya ke mulut dan memaksa kita untuk terus mengunyahnya selayak ibu memaksa si anak makan. Sempat juga bergurau dengannya, selalu kami katakan kalau hendak ‘diet’ jangan datang ke rumah Wati dan dia akan tergelak besar.
Pernah dalam gurauannya dia berkata, bila ‘banglonya’ bakal dibina di Cyberjaya siap kelak, dia meminta ‘menjaga’ banglo di Taman Harmonis, Gombak apabila dia dan anak sudah ke sana. Pernah juga dia menunjukkan pelan banglo baru yang dianggar bernilai RM5 juta siap kelak, dia sudah menyiapkan bilik khusus buat rakan baiknya.
Mengenali Wati sebenarnya, hidup wanita itu ditabiri warna yang beraneka. Apabila sekali lagi kisah hidupnya tersingkap berikutan kes tangkap khalwat pada malam tahun baru 2010 bersama pasangannya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tetapi dinafikannya bahawa beliau sudah bernikah dengan lelaki berkenaan. Saya yang tahu perancangan pernikahannya seawal November hanya tersenyum dengan spekulasi itu.
Kenangan terindah yang tidak mungkin saya lupa sampai bila-bila adalah berpeluang mengerjakan umrah pada April 2008 bersama dia yang tujuh kali melakukan ibadat itu, selain ditemani saudara-maranya, stokis dan kenalan yang rapat dengannya. Ketika kunjungan ke Makkah waktu itu, dia membawa adik perempuan tiri dan ibu tirinya. Di situlah saya mengenali hati budi pemandu peribadinya Kamaruddin Shansuddin (Kamal), 44, dan Noorhisham Mohammad, 38 (pegawai bank CIMB) yang dipercayai turut dibunuh serta isteri Noorhisham, Suzana Radin Pangat.
Hubungan kami sangat akrab dan ketika Sosilawati, Kamal, Norhisham dan peguam, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, diberitakan hilang dan dibunuh kejam, hati ini menangis pedih kerana sudah tiada lagi teman tempat menyandarkan serta berkongsi rasa.”
(Sumber :http://www.hmetro.com.my/articles/Sosilawatimencarikasih/Article/)
_______________________________________________________________
ARWAH SANGAT MURAH HATI
semuga semua yg dpat derma dr arwah
dapat doakan sehingga ke akhir hayat
mereka.
: 17 September 2010 8:33 PM
GOMBAK, 17 Sept — Jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya yang dilaporkan menjadi mangsa pembunuhan bersama tiga pengiringnya baru-baru biasanya akan mendermakan RM150,000 setiap tahun kepada rumah-rumah kebajikan dan fakir miskin tanpa mengira kaum.
Menurut kenalan terdekat yang enggan dikenali berkata Sosilawati (gambar)adalah seorang individu yang selalu menderma dan membantu golongan yang memerlukan.
“Beliau (Sosilawati) memang seorang yang baik hati dan setiap tahun beliau pasti akan menderma sebanyak RM150,000 kepada anak-anak yatim dan juga golongan kurang kemampuan.
“Selain itu, beliau juga akan membantu semua orang susah tanpa mengira kaum termasuk Melayu, Cina dan India,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insider.
Ketika diminta mengulas lanjut mengenai perkembangan anak-anak Sosilawati, dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut tetapi meminta supaya akhbar-akhbar tempatan tidak lagi menyiarkan laporan yang masih belum pasti kesahihannya.
“Anak Sosilawati minta saya supaya beritahu kepada wartawan agar tidak menyiarkan laporan yang tidak benar, biarlah polis jalankan siasatan dulu.
“Bila keluar laporan yang kata macam-macam mengenai Sosilawati, anak-anak beliau sangat sedih. Kasihankanlah kepada anak-anak beliau yang masih lagi berharap ibu mereka masih lagi selamat.
“Kalau kejadian yang sama terjadi kepada ibu anda macam mana? Sudah pasti anda akan marah. Jadi saya minta akhbar-akhbar yang selama ini siarkan laporan yang tidak benar berhentilah sehingga keputusan DNA (ujian asid deoksiribonukleik) keluar,” tegasnya lagi.
Sosilawati, 47, yang juga bekas isteri penyanyi Nash dilaporkan hilang ketika urus niaga tanah di Banting pada 30 Ogos lalu selepas kali terakhir dilihat pada majlis berbuka puasa Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dua hari sebelum itu.
Turut hilang bersama beliau ialah peguam dari Tetuan Kamaruddin & Partners dari Putrajaya Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pegawai bank dari CIMB Bank Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan pemandu peribadi Sosilawati Kamaruddin Shansuddin, 44.
Kehilangan mereka hampir terungkai apabila polis menahan lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar “Datuk” baru-baru ini.
Empat daripada mereka mengaku telah membunuh kesemua mangsa, sebelum membakar mangsa dan abu mereka dibuang dalam Sungai Panchau, Tanjung Sepat, Kuala Langat.
Sementara itu, seorang kawan rapat Sosilawati yang hanya dikenali sebagai Noriah berkata anak-anak Sosilawati sehingga hari ini masih percaya bahawa ibu mereka masih lagi hidup.
“Anak-anak masih percaya Sosilawati masih lagi hidup dan esok malam akan ada majlis bacaan Yasin dan kenduri doa selamat.
“Ini bukan majlis tahlil arwah hanya bacaan Yasin dan doa selamat kerana anak-anak percaya ibu mereka masih lagi hidup,” katanya.
Sementara itu, adik kandung lelaki Sosilawati lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar “Datuk” yang ditahan polis baru-baru ini sebagai “bukan manusia” sekiranya mereka benar-benar melakukan pembunuhan kejam tersebut.
“Bagi saya kalau benar-benar mereka lakukan pembunuhan kejam tersebut maknanya mereka bukan lagi manusia.
“Ini kerana manusia tidak akan tergamak melakukan perkara yang kejam sebegitu,” kata Masturi, 42, ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Masturi yang ketika ini masih berada di Batu Pahat, Johor berkata keluarganya masih percaya bahawa Sosilawati masih lagi hidup.
“Kalau mati mesti ada jasad. Barang-barang yang ditemui polis itu mungkin boleh diambil dari kakak saya sebelum dibuang.
“Selagi keputusan DNA belum keluar kami anggap beliau (Sosilawati) masih lagi hidup,” katanya yang akan tiba di Kuala Lumpur malam ini.
Masturi berkata apa sahaja keputusan selepas ini akan diterima dengan hati terbuka.
“Kalau keputusan DNA mengatakan bahawa yang dibunuh itu adalah kakak saya, maka saya dan keluarga akan terimanya dengan reda.
“Ini kuasa Allah tiada siapa yang boleh menghalangnya,” katanya.
Dia juga meminta supaya akhbar-akhbar tempatan supaya tidak lagi menyiarkan laporan-laporan yang tidak sahih kerana ia boleh mengelirukan orang ramai.
(Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kenalan-sosilawati-derma-rumah-kebajikan-rm150000-setiap-tahun#sthash.AuqhvBv6.dpbs)
_______________________________________________________________
Ahad, 19 September 2010
Sosilawati jutawan pemurah derma RM1j setahun
Oleh NORAINON OTHMAN, IBRAHIM ISA, ISMA ISMAIL, HAZLIHADY HASSAN dan AMIR ABD HAMID
[email protected]
2010/09/18
BATU PAHAT: Pengasas rangkaian produk kecantikan Nouvelles Visage, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bukan saja membantu menyediakan pekerjaan bagi membaiki taraf hidup ahli keluarga, malah memperuntukkan RM1 juta setahun bagi membiayai perbelanjaan anak yatim di seluruh negara.
Adik Sosilawati, Rosnani, 45, berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Johor, Dr Robia Kosai yang mengunjungi rumahnya, baru-baru ini.
Katanya, keluarga bukan mahu bermegah atau berbangga dengan pemberian kakaknya, namun berasa terharu kerana kakaknya tidak pernah melupakan asal usul dan menghulurkan bantuan kepada pelbagai pihak yang memerlukan.
“Hubungan kami rapat, namun keluarga tidak pernah mengambil tahu perbelanjaan dan cara Kak Wati menggunakan wangnya.
“Namun apabila Dr Robia memberitahu Kak Wati memperuntukkan RM1 juta untuk anak yatim seluruh negara setiap tahun, kami rasa terharu.
“Bukan niat mahu bermegah, tetapi terharu kerana ia membuktikan Kak Wati tidak pernah lupa pada awal perjalanan hidup kami yang susah dengan menghulurkan bantuan bagi membantu insan kurang bernasib baik ketika dia menerima rezeki yang melimpah ruah,” katanya.
Menurutnya, selain menghulurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik, kakaknya tidak lupa membantu adik-beradiknya bagi membolehkan mereka membaiki taraf hidup.
Katanya, selain sifat tidak suka meninggi diri, Kak Wati sentiasa mencari peluang membantu adik beradik, terutama menyediakan peluang pekerjaan.
Ketua Kampung Sri Menanti, Sri Medan, Omar Salleh, 63, berkata Sosilawati sebenarnya tidak suka pemberiannya diperbesarkan kerana tidak mahu dianggap menunjuk-nunjuk sedangkan dia ikhlas memberi bantuan.
“Sifat pemurah Sosilawati banyak membantu penduduk dengan memberi bantuan berterusan kepada Masjid Seri Dayong, Sri Medan; surau di Kampung Sri Menanti dan sekolah angkatnya, Sekolah Kebangsaan Seri Dayong serta Sekolah Agama Seri Dayong.
“Ketiadaannya bukan saja menyedihkan keluarga dan penduduk, malah murid sekolah yang banyak merasai pemberiannya sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, penduduk kampung berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dengan teliti bagi menjawab kehilangan Sosilawati.
Seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, penduduk menghormati keluarga itu yang melalui pelbagai dugaan sepanjang tahun ini, terutama kehilangan Sosilawati.
“Jika benar suspek melakukan pembunuhan kejam itu, kami berharap hukuman keras dijatuhkan terhadap mereka.
“Kehilangan Sosilawati bukan saja ditangisi keluarga, malah penduduk kampung terasa kehilangan beliau yang banyak menabur jasa di kampung ini.
“Wang boleh dicari tetapi nyawa tidak boleh diganti, berikutan itu penduduk berharap jika benar Sosilawati dibunuh, biar pelakunya mendapat balasan setimpal,” katanya.
Katanya, hampir setiap hari dia melawat keluarga Sosilawati untuk memberi sokongan dan berharap keluarga berkenaan tetap tabah mengharungi ujian ini.
Seorang lagi penduduk, Tukinah Samsuri, 40, berkata kali terakhir dia menemui Sosilawati ketika kenduri tahlil arwah sebelum Ramadan lalu.
“Sejak berita pembunuhannya disiarkan akhbar, perasaan bimbang penduduk bertukar sedih dan berharap penjenayah berkenaan akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.
Adik ipar Sosilawati, Misjan Jamikun, 48, berkata keluarganya membuat persiapan bagi mengkebumikan jenazah berbentuk tulang atau cebisan daging jutawan itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Menanti.
(Sumber: http://sosilawati-nouvelle.blogspot.com/2010/09/kes-bunuh-sosilawati-rm1j-setahun.html)
_______________________________________________________________
KES CERAI NASH: SAYA LEPASKAN DIA, BUKTI SAYA TIDAK ZALIM!
Diterbitkan: Selasa, 26 Mei 2009 12:00 AM
PETALING JAYA: Bekas vokalis Lefthanded, Nasharuddin atau nama sebenarnya Jamaluddin Elias sudah boleh menghela nafas lega sekarang kerana segala urusan perceraiannya dengan bekas isteri, Sosilawati Lawiya berakhir dengan aman pagi tadi.
Bertempat di Mahkamah Rendah Syariah Gombak, tepat jam 11 pagi Nash telah melafazkan cerai talak satu kepada jutawan produk kecantikan, Sosilawati.
Lafaz cerai itu dilakukan dengan kebenaran mahkamah di hadapan hakim syarie, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di Keramat, Wan Mahyuddin Wan Muhammad setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk bercerai secara baik.
Sebelum lafaz cerai, Sosilawati memohon diberi peluang untuk memohon maaf kepada suaminya.
Mahkamah juga merekodkan persetujuan bahawa Sosilawati selaku plaintif memberi aku janji dan bersetuju menggugurkan semua permohonan beliau berkaitan nafkah idah, mutaah dan apa juga tuntutan lain bersangkutan nafkah tertunggak dan hutang yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah.
Pasangan itu berkahwin pada 16 November 2006 di Batu Pahat Johor.
“Saya berasa syukur sangat kerana kesudahannya berakhir dengan aman. Saya harap selepas ini tidak ada lagi dakwa-dakwa lagi. Itu yang dia nak (cerai) dan saya sudahpun beri,” kata Nash ketika dihubungi sebentar tadi.
Sambungnya lagi, “Ini membuktikan yang saya tidak zalim. Sebelum ini dia pernah mengemukakan permohonan yang saya sudah lafazkan cerai dan kemudian dia ada buat permohonan ‘cerai taklik.’
“Tapi kedua-dua itu saya tidak bersabit salah. Ini juga membuktikan yang saya bukan jenis suami macam tu. Saya hanya ingin tuntut hak saya sebagai lelaki dan suami, juga membetulkan segala tohmahan yang dilemparkan pada saya selama ini. Macam-macam orang tohmah saya. Kata saya gila harta, gila duit…
“Saya harap selepas ini tiada tuntutan atau bersangkutan lagi. Saya doakan agar dia bahagia. Insya Allah, saya akan buat doa kesyukuran selepas ini. Tunggulah…,” kata duda popular ini.
Meskipun sudah dua kali kecundang, Nash tidak pernah kesal dengan apa yang berlaku. Pintu hati Nash masih terbuka untuk berkahwin lagi.
“Saya akan mencari wanita yang sederhana. Kalau dulu, kedua-dua bekas isteri saya suka sangatkan saya bagai nak rak. Biarlah kali ini terbalik pula…,” Nash berkata dalam senda tapi penuh makna.
Bagi Nash, ikatan perkahwinan bukan sekadar satu tuntutan melepaskan nafsu.
“Saya bukan kahwin untuk seks tapi untuk companion. Bila anak-anak sudah besar, kita akan kesunyian. Tambah pula kalau kita lihat orang lain berpasangan. Makan minum, sakit pening ada yang menjaga. Itu yang saya inginkan,” jelas ayah tunggal kepada empat orang anak ini.
Nash juga akur dan redha, segala ketentuan datang dariNya.
“Saya redha pasangan saya sebelum ini dan menganggap semuanya bersifat sementara. Sebagai lelaki tulin saya terima siapapun jodoh yang Allah sudah tetapkan. Tapi yang saya cari kini biarlah wanita itu berhemah,” kata Nash yang kini menetap di Shah Alam.
“Saya sudah dapat wanita biasa dan wanita yang berduit. Kali ini biarlah yang sederhana dan berhemah. Yang penting dia mesti beriman, menghormati suami dan mampu tunaikan tanggungjawab sebagai isteri,” kata Nash yang kini sedang aktif berlakon semula.
Drama terbaru lakonannya yang kini sedang dalam pengambaran ialah “Suamiku dari seberang, kekasihku….” di bawah pengarah Yusof Wahab dan bergandingan dengan Rosnah Mat Aris dan Liza Abdullah.
“Watak saya sebagai lelaki Indonesia bernama Hariyanto, seorang supir yang bercinta dengan tiga wanita sekali gus. Salah seorang darinya ialah wanita dangdut,” kata Nash yang mulakan karier lakonannya dalam filem Memori pada tahun 1997 bersama Ogy Ahmad Daud.
Tawaran berlakon agak lebat dewasa ini buat Nash dan rasa terharu kerana masih ada yang berminat untuk memberinya peluang.
Setelah selesai pengambaran drama ini, Nash akan berlakon dalam telemovie bertajuk ‘Poco-poco’ diikuti dengan drama 20 episod.
“Semua ini rezeki anak-anak. Saya bersyukur sangat apa yang saya peroleh sekarang,” kata Nash menamatkan perbualan petang itu.- TawauNet
Al-Fatihah.. Moga rohnya dicucuri rahmat
Post a Comment