BUDAYA GANGSTER, BIADAB & MERAJUK
Tanpa kita sedari, budaya lucah, mencarut dan biadab yang selama ini hanya banyak dilakukan oleh masyarakat bawahan dalam media sosial sudah menular ke peringkat menteri dan parlimen.
Baguskah Budaya Derhaka? Cabar Mencabar? Ugut Mengugut? |
Budaya perpecahan dan pisah memisah yang kita perhatikan berlaku sekali-sekala sejak merdeka dahulu pula menjadi semakin lumrah dewasa ini. Apabila marah atau tidak puas hati dengan parti, maka segeralah merajuk, bawa diri keluar parti dan memisah untuk membentuk parti baru.
Hari ini tiba-tiba sahaja pemimpin negara asyik digegar secara konsisten dan luarbiasa dari bawah dan atas.
Kekecohan yang terjadi antara Nazri Aziz dengan Istana Johor seperti semakin meruncing dan membimbangkan, khususnya cakap-cakap yang menjurus kepada 'keluar Malaysia'. Terkini Sultan Perak juga mula bersuara.
Petikan berita di bawah ini sekadar satu renungan. Fakta yang diberikan juga masih banyak rahsia terselindung yang perlu dikaji lagi baik di pihak sana, mahupun di pihak sini. Yang ingin kami rujuk di sini ialah budaya dan akhlak kita dalam menangani krisis sosial dan politik negara ini. Banyak pula pihak ketiga yang bukan meredakan keadaan, tetapi kalut mengapi-apikan mereka.
Perlembagaan, polis, bahkan mahkamah juga bukan jalan penyelesaian terbaik bagi setiap masalah antara kita. Budaya debat, demonstrasi, berbalas-balas kenyataan, saling ancam mengancam dan ugut-mengugut juga menjadikan suasana semakin keruh dan retak menjadi belah.
ANALOGI BENCANA ALAM
Fenomena ini seperti selari dengan gegaran alam yang sedang Allah turunkan di bumi Malaysia, khususnya di Kelantan dan Sabah. Bumi mula digegar hingga merekah. Tanah merekah dan runtuh, batu bergelimpangan dan bangunan banyak yang rosak.
Air dari langit melunturkan tanah dan lumpur, membawa segala sampah sarap dan kayu kayan membaham segala yang ada di laluannya tanpa budi bahasa lagi.
Tanah merekah adalah analogi perpecahan kelompok-kelompok manusia bawahan yang sebelumnya bersatu. Batu pula adalah unsur bumi yang keras dan biasa menempati gunung dan tempat yang tinggi.
Bangunan yang dibina bersama selama ini rosak atau runtuh akibat gegaran bumi. Akibatnya penghuni terpaksa bergegas lari keluar dan berpindah atau membina rumah baru.
Dahulu berita hanya sekadar khabar angin sahaja, sesuai dengan akhlak dan budaya bangsa Melayu dan rakyat Malaysia. Berita hangat dan demonstrasi yang bersifat ganas hanya biasa kita dengar di
Barat sahaja. Samalah juga dengan bencana puting beliung, angin kencang yang meranapkan apa sahaja di Amerika.
Kini Malaysia juga mengalami fenomena yang sama. Demonstrasi dan maki hamun berleluasa di sana sini. Tidak kira Raja, Perdana Menteri, bahkan golongan ulamak sekalipun habis kena carut dan maki. Sepertimana gempa bumi, puting beliung pun sudah seringkali terjadi di sana sini.
Semuga kita semua dapat bertenang dan banyakkan bermuhasabah diri. Jangan ikut meniup api kemarahan yang semakin marak membara dan membakar jiwa. Jangan dekati puting beliung yang sedang menggulung.
Ambillah pelajaran dari petir yang Allah jadikan khusus untuk membakar orang yang masih merasa tinggi, masih ego dan tegak berdiri tanpa menghiraukan amaran hujan dan petir.
Ambil pelajaran dari egonya batu batan di gunung yang merasa megah lalu Allah goncangkan dan bergelimpangan ke bawah. Ambil pelajaran dari banjir lumpur yang meredah dan menghanyutkan segala sampah dan kayu serta meranapkan apa sahaja di laluannya.
Jauhilah debat yang hanya membawa budaya "MASING-MASING MAHU MENANG". Banyakkan dialog dan mesyuarat yang banyak memberi ruang "PERKONGSIAN" maklumat, ilmu dan hidayah untuk mencari keputusan terbaik dalam suasana yang lebih harmoni dan tolak ansur.
QS: 42. Asy Syuura 38. Dan orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarat antara mereka; dan mereka menafkahkan sebagian dari rezki yang Kami berikan kepada mereka.
QS: 61. As-Saf 4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan (SAF) yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.
QS: 3. Ali 'Imran 104. Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.
QS: 3. Ali 'Imran 105. Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat siksa yang berat,
Allahumma salaamatan fiddiennnn..
WARGA PRIHATIN
* * * * * * *
MASALAH STATUS 'JOHOR BOLEH KELUAR MALAYSIA'
19 Jun 2015 - Putera Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim mengejutkan ramai pihak dengan status Instagram berkaitan perjanjian pada 1946 yang dikatakan membenarkan negeri itu keluar Malaysia dalam keadaan-keadaan tertentu.
Bagaimanapun teks dimuat naik itu dilihat mengandungi fakta sejarah tidak tepat apabila menyebut Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dibuat pada 1946, sedangkan ia dimeterai pada 1948.
Tambahan pula, status tersebut menyatakan bahawa sekiranya mana-mana daripada syarat-syarat tersebut dilanggar, maka terkeluarlah Johor daripada Malaysia – yang hanya wujud 17 tahun kemudian pada 1963.
Lebih menarik lagi, menurut penganalisis politik Wong Chin Huat, perjanjian 1946 itu sebenarnya merujuk kepada perjanjian Malayan Union yang menggambarkan kegagalan keluarga diraja sehingga membawa kepada penubuhan Umno.
"Pada 1946, tidak ada Persekutuan Tanah Melayu, hanya ada Malayan Union yang menjadi sebab mengapa Umno dilahirkan.
"Sultan-sultan telah menyerah kuasa mereka (kepada British) dan bersetuju kepada perjanjian untuk memberi kerakyatan secara longgar atas tekanan British.
"Ini yang menjadikan orang Melayu memberontak dan rasa dikhianati. Mereka kemudian membentuk Umno (untuk menentang Malayan Union)," katanya kepada Malaysiakini.
DR M: MELAYU SENDIRI LINDUNGI MELAYU
Malah, tindakan kerabat diraja yang mudah menerima Malayan Union juga digunakan oleh perdana menteri sebelum ini Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melancarkan serangan ke atas raja-raja dalam usaha melucutkan kekebalan mereka pada 1993.
Perkara itu terdapat dalam hansard ucapan Mahathir di Parlimen pada tahun itu.
"Ada pihak yang berpendapat bahawa raja Melayu diperlukan untuk melindungi orang Melayu.
"Peristiwa Perjanjian Mac Michael dan Malayan Union jelas membuktikan bahawa yang sanggup dan mampu melindungi orang Melayu ialah orang Melayu sendiri.
"Jika tidak kerana mereka bangun dan menentang Malayan Union, hari ini orang Melayu akan menjadi pengemis di negeri sendiri," kata Mahathir dalam handsard itu.
Sehubungan itu, Wong berkata Tunku Idris telah mencampuradukkan fakta sejarah dan peninggalan Malayan Union dalam status di Instagramnya itu.
"Disebabkan itu (Malayan Union), kembali kepada persoalan sama ada raja-raja atau ahli-ahli politik dapat melakukan tugasan mereka dengan baik dalam mempertahankan kepentingan Melayu," kata Wong.
Post a Comment