CHUKAI – Keinginan seorang pemuda untuk berkahwin tidak lama lagi terkubur selepas dia maut akibat motosikal Yamaha LC yang ditungganginya bergesel dengan lori dua tan, petang kelmarin.
TRAGIS !! Bakal Pengantin Maut Tercampak Ke Jalan, Diseret 30m |
Bapa mangsa, Salleh Awang, 57, berkata, ketika kejadian anaknya itu yang bekerja dengan sebuah syarikat swasta di Pelabuhan Kemaman dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Batu 3 Binjai dari tempat kerjanya di Teluk Kalong.
“Pakcik terkedu dan seluruh anggota badan terasa lembik lepas dapat tahu anak terbunuh dalam kemalangan.
“Allahyarham sekarang bersungguh-sungguh kumpul duit untuk kahwin dengan pilihan hatinya,” katanya sebak ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kemaman.
Bapa kepada lima anak berkenaan berkata, anak ketiganya itu bercadang untuk mendirikan rumah tangga pada penghujung tahun ini, iaitu pada usianya 25 tahun.
Tak sempat berbual
Kata Salleh, anaknya itu keluar bekerja lebih kurang jam 8 pagi dan mereka tidak sempat berbual.
“Pakcik tak sempat berbual dengannya pada pagi tadi (pagi kelmarin) sebab pakcik keluar pergi kebun awal lebih kurang jam 6.30 pagi.
“Walaupun ujian ini sangat berat bagi kami sekeluarga apatah lagi mengenangkan hasratnya untuk berkahwin tak kesampaian, tetapi kami reda,” katanya.
Difahamkan, sebaik motosikalnya bergesel lori dari arah sama, mangsa tercampak ke atas jalan sebelum diseret hingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan mengalami calar di badan.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kemaman dengan bantuan orang ramai untuk bedah siasat.
Punca kemalangan dipercayai akibat pemandu lori secara tiba-tiba mengubah haluan ke sebelah kanan menyebabkan berlaku pergeselan, namun pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Normansah Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubungan kemalangan maut itu.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. lapor Sinar Harian.
Post a Comment