PETALING JAYA – Kira-kira 180 jenis elaun, tuntutan kerja lebih masa (OT) yang besar, gaji dan nilai kontrak yang terlalu tinggi menjadi penyumbang kepada kejatuhan kewangan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).
Elaun Tinggi, Salah Guna OT Penyumbang Kejatuhan MAS |
Malah terdapat pekerja yang dibayar elaun bulanan basikal dan ada yang diberikan elaun kesulitan.
Mengimbas kembali mengenai dilema itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Christoph Mueller berkata syarikat penerbangan berkenaan tidak sendirian berhadapan keadaan itu.
“Ia berlaku dalam banyak syarikat penerbangan. Jika anda mempunyai penerbangan ke kawasan sejuk, akan ada pula elaun pakaian sejuk.
“Bukan sahaja gaji asas yang anda dapat sebaliknya anda turut memperoleh banyak elaun lain,” katanya kepada The Star.
Ditugaskan untuk memulihkan MAS, Mueller berkata syarikat penerbangan itu juga berhadapan salah guna tuntutan kerja lebih masa.
Katanya wujud juga keadaan bayaran kerja lebih masa adalah tinggi berbanding gaji asas yang dibayar.
“Itu adalah amalan yang tidak baik bukan hanya syarikat perlu membayar tuntutan kerja lebih masa, pesawat juga ada kalanya lewat berlepas.
“Ini kerana anda hanya boleh membenarkan tuntutan kerja lebih masa jika kerja yang dilakukan ditangguhkan,” jelasnya.
Untuk beralih daripada semua amalan ini, MAS Bhd, syarikat penerbangan baharu yang akan bermula pada 1 September depan mempunyai sistem ganjaran untuk kakitangan yang menyelesaikan pekerjaan tepat pada masanya.
“Ia sebagai insentif untuk pekerja supaya menyelesaikan tugas dengan cepat.
“Kita perlu menggantikan amalan yang tidak baik ini dengan pemberian gaji yang lebih sama rata supaya kita boleh memberi insentif kepada mereka dalam bentuk wang jika kerja diselesaikan dengan pantas…saya fikir ini adalah perkara normal,” katanya.
Mueller berkata terma dan syarat pekerjaan bagi MAS Bhd dibuat mengikut tanda aras beberapa syarikat penerbangan lain manakala skala gaji baharu adalah mengambil kira kos sara hidup di sini dan tempat-tempat lain di mana MAS beroperasi.
“Kami telah mengambil kira senarai kekananan, jadi ia adalah satu proses yang sangat kompleks,” katanya. – mStar Online
Post a Comment