Pemuda suspek kes cabul ini dihukum orang ramai selepas ditangkap cabul kehormatan seorang gadis di Melaka. Agak aneh kerana tiada laporan awal dibuat dan mengapa pihak polis lewat tiba di tempat kejadian. – Gambar Suarasabah
Pemuda Suspek Kes Cabul Dimalukan, Wajarkah Hukuman Itu?. |
Melaka: Tindakan orang ramai mengaibkan suspek kes cabul dengan menggantung kad manila pada leher serta memaksa suspek mengelilingi sekitar pusat beli-belah Dataran Pahlawan, baru-baru ini, dianggap tindakan yang tidak sihat.
Timbalan Ketua Polis negeri Senior Asisten Komisioner Mohd Shahrizan Che Mat Din berkata, perbuatan berkenaan tidak digalakkan dan tidak patut dicontohi masyarakat.
Menurutnya, undang-undang di negara ini tidak menggalakkan masyarakat berbuat demikian dengan cuba menjatuhkan hukuman sendiri tanpa merujuk kepada pihak polis.
“Orang ramai lebih suka mengambil tindakan dan menghukum sendiri tanpa usul periksa sehingga memalukan suspek.
“Mereka sepatutnya menyerahkan kes berkenaan kepada polis dan tidak sepatutnya mengambil keputusan sendiri, bagaimana jika perkara sedemikian berlaku ke atas keluarga sendiri, pasti memalukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian terbabit selepas Program Remaja Bersatu Memerangi Jenayah di IPK Melaka, di sini, semalam.
Mohd Shahrizan berkata, jika berlaku sesuatu disyaki kegiatan jenayah, orang ramai perlu melaporkan perkara berkenaan kepada polis dengan segera tanpa mengambil tindakan sendiri.
Laporan myMetro:
Dalam kejadian jam 12.10 petang itu, pemuda berusia 20 tahun itu dipaksa mengelilingi kawasan itu sebagai ‘hukuman’ selepas dia ditahan orang ramai.
Difahamkan, mangsa berusia 18 tahun berseorangan menjaga premis perniagaan di pusat beli-belah terkemuka itu sebelum didatangi suspek yang menyamar pelanggan. Menurut sumber, pemuda itu berpura-pura melihat baju Melayu yang dijual sebelum memeluk, mencium pipi dan bibir mangsa.
“Pemuda terbabit melarikan diri selepas mencabul mangsa,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun dapat memegang kaki pemuda terbabit dan menjerit meminta tolong sebelum diseret hingga ke luar kedai.
Sumber berkata, orang ramai yang menyedari kejadian segera membantu memberkas pemuda itu sebelum menghubungi polis.
“Orang ramai turut ‘menghukum’ pemuda itu dengan menggantung kad tertera kesalahan dilakukan dan diarah berjalan di sekitar pusat beli-belah itu.
“Pemuda terbabit diserahkan kepada polis yang tiba tidak lama kemudian,” katanya.
Menurutnya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah sejurus kemudian.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, pemuda itu ditahan untuk membantu siasatan.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” katanya ketika dihubungi.
Post a Comment