Ayer Keroh : Hanya kerana meminta wang untuk membeli susu anak, seorang wanita teruk dibelasah suaminya tanpa ada perasaan belas kasihan.
Minta Duit Susu Untuk Anak, Tapi Apa Yang Wanita Ini Dapat?.. |
Lebih tidak berhati perut, si suami turut membiarkan seorang rakan menampar muka isterinya sehingga berdarah tanpa sedikit pun rasa simpati.
Semua kejadian itu berlaku selepas empat bulan Hawa berkahwin dengan lelaki itu yang sebaya usia dengannya.
Menceritakan kejadian, Hawa berasal dari Alor Gajah berkata, dia meletakkan harapan tinggi untuk membina sebuah ikatan bersama lelaki itu selepas perkahwinan pertamanya musnah.
“Perkahwinan saya dengan suami pertama hanya bertahan tujuh tahun. Kami dikurniakan tiga anak, kini berusia 7, 5 dan 3 tahun. Dua daripadanya saya pelihara, seorang lagi dijaga bekas suami.
“Selepas tiga tahun bercerai, saya dikenalkan dengan seorang lelaki sebaya juga berasal dari daerah sama menerusi seorang rakan. Kami berkahwin pada Mac tahun lalu, biarpun menempuh pelbagai rintangan,” katanya.
Dia berkata, tekanan ekonomi membuatkan sikap suami bertukar menjadi panas baran.
“Berpunca daripada sedikit perselisihan faham boleh menyebabkan saya dikasari. Sepak terajang sudah jadi mainan suami, malah dia pernah memijak muka saya sehingga saya patah hidung.
“Ketika saya mengandung sekali pun, dia tetap memukul saya. Dia pernah menendang kandungan saya tetapi mujur tidak apa-apa yang berlaku,” katanya.
Hawa berkata, kemuncak perkahwinan mereka apabila suaminya melafazkan cerai di luar mahkamah pada Mac lalu dan kemudiannya penceraian disahkan Jabatan Agama Islam Daerah Alor Gajah pada 13 April lalu.
“Yang saya tidak puas hati, meskipun sudah lebih 10 laporan polis dibuat tetapi bekas suami tetap bebas tanpa ada satu pun kes yang boleh dikaitkan dengan keganasan dilakukan terhadap saya.
“Meskipun kami sudah bercerai tetapi setiap kali saya menuntut nafkah anak, pasti akan terjadi pertengkaran sehingga dia memukul saya,” katanya yang mahu menuntut keadilan berhubung perkara tersebut.
Berikutan buntu memikirkan masalah itu, Hawa akhirnya membuat aduan di pejabat Pusat Perkhidmatan BN (Pembela BN) negeri Melaka di sini, semalam.
Pengarah Pembela BN Melaka, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya akan membantu ibu berkenaan dengan menyediakan khidmat guaman bagi membuat pendakwaan terhadap si suami.
“Kita akan menjalankan perbincangan dengan peguam bagi membolehkan tindakan diambil supaya kes ini dapat dijalankan dengan segera.
“Saya difahamkan, dia sudah membuat banyak laporan polis berkaitan dakwaan wujudnya unsur kekerasan,” katanya. - SuaraTV ( Gambar Hiasan)
Post a Comment