JITRA – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia selepas dilanggar ibunya secara tidak sengaja di pekarangan sebuah rumah di Kampung Lahar, Malau di sini, petang semalam.
Tragis: Kanak-Kanak Tiga Tahun Maut Dirempuh Ibu |
Difahamkan, kejadian berlaku apabila ibu mangsa, Rasikhah Nik Nyan, 48, memandu kereta jenis Ford Lancer tidak menyedari mangsa tiba-tiba berlari ke hadapan kereta lalu merempuhnya.
Nur Umairah dan kakak tirinya, Nurul Syuhada Amir Nasuridin, 21, dikatakan turun dari kereta terlebih dahulu sebelum Rasikhah membetulkan kenderaannya ketika parkir di hadapan rumah tersebut.
Rasikhah bagaimanapun tidak menyedari anak bongsunya berada di hadapan kereta lalu merempuhnya.
Sepupu mangsa, Nurul Hanisah Johari , 19, memberitahu, ketika kejadian dia berada di dalam rumah sebelum terdengar bunyi enjin kereta makciknya.
“Tidak lama kemudian saya terdengar bunyi dentuman dan terdengar Nurul Syuhada menjerit mengatakan adiknya berdarah.
“Sebaik saya keluar saya nampak makcik terus memecut keretanya ke Hospital Jitra,” katanya.
Tambahnya, dia hanya ternampak kesan darah di hadapan rumah.
“Saya masih terkejut dengan kejadian ini dan makcik saya masih trauma dan enggan berjumpa dengan sesiapa,” katanya.
Nurul Hanisah berkata, ibu saudaranya itu tinggal di Taman Cermai di sini dan datang ke rumahnya untuk menjemput tiga lagi anak yang dijaganya.
“Saya jaga tiga anaknya dan menjemput mereka dari sekolah. Mereka akan tinggal bersama saya sementara menunggu ibu mereka pulang dari kerja,” katanya.
Tambahnya, ibu saudaranya bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Jitra.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana dengan cuai memandu sehingga menyebabkan kematian.
Berita – Sinar Harian
Post a Comment