Sedih - Kudrat Nenek Tua, Cuci Pinggan Dengan Upah Rm3 sehari Untuk Sara Hidup

Sedih - Kudrat Nenek Tua, Cuci Pinggan Dengan Upah Rm3 sehari Untuk Sara Hidup

KETIKA kebanyakan orang lain mungkin masih dibuai mimpi, dia sudah mengatur langkah keluar rumah. Destinasinya adalah warung lama yang menjual sarapan yang terletak berhampiran rumah di Kampung Sungai Jai, Beranang. Itulah rutin hidup Syarifah Manap saban hari.

Sedih - Kudrat Nenek Tua, Cuci Pinggan Dengan Upah Rm3 sehari Untuk Sara Hidup
Sedih - Kudrat Nenek Tua, Cuci Pinggan Dengan Upah Rm3 sehari Untuk Sara Hidup
Kunjungan nenek tua itu ke warung tersebut bukanlah sebagai pelanggan yang biasanya dilihat membeli sarapan, tetapi dia ke situ untuk mencuci pinggan mangkuk dan cawan-cawan kotor.

Pada usia 77 tahun dengan susuk tubuhnya uzur dan lemah, walaupun hanya diberi upah RM3, Syarifah reda menerimanya kerana hanya itulah sumber rezeki demi sesuap nasi.

Apatah lagi, di atas bahu Syarifah atau lebih mesra dengan panggilan Nenek Inchot ada lima perut lagi yang perlu difikirkannya di rumah.

Menceritakan pengorbanannya demi kasih sayang kepada lima orang cucunya, Nenek Inchot memberitahu selepas anak keduanya Mohd. Nor Hamzah, 43, bercerai lima tahun lalu, dia terpaksa mengambil alih tugas untuk menjaga Mohd. Rafie Mohd. Nor, 14. Nor Hafizah, 14, Nor Shafiqah, 12, Mohd. Hafiz, 10 dan Nor Shahidah, 8.

Ketika itu katanya, Mohd, Nor tiada pekerjaan dan sering kurang sihat menyebabkan semua cucunya itu berpindah untuk tinggal bersamanya di sebuah rumah kayu setingkat di kampung itu.


NENEK INCHOT gembira apabila kemudahan elektrik di kediamannya akan membolehkan cucunya hidup lebih sempurna.

"Selepas kematian suami kehidupan saya serba sederhana dengan duit yang diberikan dua orang anak. Bagaimanapun, semuanya mula berubah bak kais pagi makan pagi, kais petang makan petang selepas Mohd. Nor bercerai dan hilang pekerjaan.

"Sejak itulah juga, saya mengambil upah mencuci pinggan mangkuk di sebuah warung. Dengan upah RM3 itu, RM2 saya gunakan membeli makanan dan RM1 akan saya simpan untuk kecemasan," kongsi wanita berusia hampir seabad itu yang tidak pernah menyesal dengan dugaan hidupnya.

Mengakui kejadian seperti kehabisan beras di dapur rumahnya bukanlah sesuatu yang asing, ketika itulah dia terpaksa mengorek tabung simpanan atau meminta bantuan daripada jiran tetangga.

"Siapa yang mahu melihat cucu kelaparan. Itulah sebab saya melakukan apa sahaja demi mereka," luah Nenek Inchot perlahan sambil memberitahu oleh kerana semua duit digunakan untuk membeli makanan, dia tidak mampu menyediakan kemudahan elektrik, air atau perabot tidur untuk cucu-cucunya. Malah, di rumah papan itu perkakasan dapur boleh dibilang dengan jari.

Terima bantuan

Namun, jalan gelap yang dilalui Nenek Inchot perlahan-lahan diterangi apabila beberapa pihak yang menyedari kesempitan hidup mereka dan menghulurkan bantuan.

Menyedari tidak mungkin nenek tua itu mampu menyekolahkan lima cucunya dengan upah RM3 sehari, pihak sekolah di kawasan Beranang memberi ihsan membenarkan, Mohd. Rafie, Nor Hafizah, Nor Shafiqah, Mohd. Hafiz dan Nor Shahidah menjejakkan kaki ke sekolah.

Mungkin kerana berkat kesabaran dan ketabahan Nenek Inchot itu jugalah, sejak beberapa tahun lalu beberapa pihak seperti pihak berkuasa tempatan, syarikat korporat dan badan bukan kerajaan turut menghulurkan sumbangan meringankan bebannya.


NENEK INCHOT (dua dari kanan) bersama lima orang cucu kesayangannya menerima pelbagai sumbangan ikhlas daripada ahli Petronas Adventure Team.

"Antara yang tidak boleh saya lupakan semasa saya dan cucu-cucu diberikan sebuah rumah baru pada tahun lalu. Ketika itu hanya Allah yang tahu betapa gembiranya hati ini," luah Nenek Inchot dalam loghat Negeri Sembilan. Apatah lagi, kini anak lelakinya juga telah mendapat pekerjaan yang tetap. Walaupun dengan gaji yang tidak besar namun, sekurang-kurangnya ia mampu memberi kehidupan lebih baik untuk cucu-cucunya.

Bagaimanapun kongsi Nenek Inchot oleh kerana dia sudah biasa melakukan kerja di warung berdekatan rumahnya itu, sehingga kini dia tetap setia bekerja di sana.

Menceritakan tentang petua kesihatan yang sihat, ujar nenek berjiwa besar itu selain masalah rabun dan sakit-saki sendi, dia jarang jatuh sakit.

"Kalau saya jatuh sakit tiada orang yang akan menjaga cucu. Ambil makanan yang secukup dan berdoa, itulah petua untuk kehidupan yang sihat dan sejahtera.

"Jangan lupa berjimat-cermat sebab duit penting untuk mengharungi hidup ini," tambah nenek itu kepada Kosmo! ketika ditemui pada program Kerja Amal Oscar Lima, Petronas Adventure Team Malaysia di rumah barunya.


Sumber : Kosmo

Post a Comment

Previous Post Next Post