Umurnya baru 13 tahun, tetapi sejak lebih setahun lalu, seorang kanak-kanak terpaksa mengambil upah menjual jambu di tepi jalan bagi menyara kehidupannya.
Demi sesuap nasi, kanak-kanak ini menjual jamu di tepi jalan.. |
Kini, dia menumpang di rumah seorang warga emas, Maimon Saedon, 71, di Kuala Sungai Baru, di sini.
Menurut jirannya, Yatim Ilyar, 45, Maimon menjaga kanak-kanak itu atas dasar simpati, meskipun turut memelihara seorang anak berusia 40 tahun yang mengalami masalah kesihatan dan tidak pernah menerima bantuan kebajikan.
“Sebenarnya, kanak-kanak ini ada enam beradik. Ibunya orang Melaka, berusia dalam lingkungan 30-an dan telah berpisah dengan suaminya yang berasal dari Pahang sejak beberapa tahun lalu.
“Ilham adalah anak keempat sementara adik-beradiknya yang pertama adalah perempuan berusia 18 tahun kini dipelihara keluarga angkat. Adik beradiknya yang kedua, lelaki berusia 16 tahun kini di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Seorang lagi ialah abangnya berusia 14 tahun tinggal bersama jirannya itu, dan sering keluar mencari nafkah, manakala dua lagi adik beradiknya berusia sembilan dan lapan tahun dipelihara ibunya,” katanya.
Sementara itu, kisah penderitaan Ilham itu dikesan seorang sukarelawan Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Negeri Melaka, Mohd Ridzuan Dirabbi singgah membeli jambu yang dijual kanak-kanak berkenaan.
Menurut Mohd Ridzuan, timbul dihatinya untuk bertanya kepada kanak-kanak itu tentang latar belakangnya.
“Ketika saya bertanya kepadanya, dia kata dia bersekolah di Sekolah Tinggi Melaka. Apabila saya suruh dia tulis nama atas kertas, rupa-rupanya dia tidak tahu langsung membaca dan menulis.
“Bila saya tanya mengenai sekolahnya, air matanya mula menitis. Terus saya bertanya kepada jiran yang kemudiannyamenceritakan kisahnya,” katanya di sini, semalam.
Dalam pada itu, Pengarah Pembela BN Negeri Melaka, Amir Hamzah Aziz memohon kerjasama orang ramai yang mengenali ibu kepada kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Norlaila Hassan agar dapat menghubungi talian bebas tol Pembela BN 1-300-222-352.
Menurut Amir Hamzah, kerjasama ibunya amat diperlukan bagi pengesahan mengenai kelahiran kanak-kanak ini agar mudah untuk urusan permohonan sijil kelahiran serta kad pengenalan.
“Langkah seterusnya kita akan aturkan semula persekolahannya dan akan memohon untuk menempatkannya bersama abangnya di Asrama Anak Yatim di Pantai Puteri,” katanya.
Sumber : SH
Post a Comment