Saya seorang guru dan ingin meminta pandangan berkaitan masalah rumah tangga. Saya sudah berkahwin hampir lima tahun. Saya mencintai suami sepenuh hati.
Kisah Benar, Seorang Isteri Yang Kecewa, Suami Suka Berfoya-foya |
Kami tidak mempunyai anak, malah pemeriksaan doktor mengesahkan sperma suami tak normal.
Saya kecewa dengan sikap suami. Malah, sehari sebelum berangkat ke tanah suci untuk melakukan umrah beberapa bulan lalu, dia masih sempat berfoya-foya dengan perempuan lain di tasik selain berjanji keluar makan bersama.
Kami pernah bertengkar sehingga saya masuk ke hospital. Saya tertekan mendapat tahu suami berjanji bercuti dengan kekasihnya di Genting Highlands.
Mereka sudah setahun bercinta dan ingin bertunang sedangkan saya menunggunya di rumah. Suami memberikan alasan kerja tak boleh balik.
Buat pengetahuan Dr, saya sanggup susah bersamanya walaupun setengah tahun perkahwinan dia tidak memberi nafkah.
Selepas itu saya menerima nafkah melalui potongan gaji kerana suami tentera. Selama berkahwin saya menggunakan duit sendiri untuk perbelanjaan dapur.
Malah, saya keluarkan duit membeli motosikal untuknya kerana kewangannya tak stabil. Suami selalu minta duit setiap bulan. Kadangkala gajinya sudah habis dalam masa seminggu.
Ada ketika setiap minggu dia akan minta duit. Jika keluarganya juga memerlukan duit, dia akan minta daripada saya.
Sekarang dia bertugas di luar negara. Saya minta dia tinggalkan saya secara baik, tetapi dia tak mahu lepaskan saya. Alasannya dia malu jika orang lain tahu sikapnya yang sebenar dan berjanji untuk berubah.
Bagaimanapun, kepercayaan saya padanya kini sudah hilang. Sukar untuk saya teruskan hidup bersamanya selepas dikhianati berkali-kali.
Saya cuba memberitahu ibunya kes terbaru, tapi ibunya tak percaya. Malah, keluarganya menganggap saya cemburu.
Untuk menghadapi masalah ini saya selalu melakukan solat Istikharah minta diberikan petunjuk, tetapi tak nampak apa-apa. Saya tak boleh salahkan suami, mungkin apa yang dia kehendaki tiada pada saya.
Saya hendak dia bahagia, tapi tak boleh memaksa diri untuk terus begini lagi. Saya mohon nasihat Dr.
Isteri buntu
Kuala Lumpur
Puan boleh memohon untuk memfasakhkan perkahwinan di mahkamah syariah dengan mengemukakan alasan di atas. Alasan berkenaan diterima syarak.
Namun, satu lagi pilihan, puan juga boleh bersabar dengan keadaan yang ada dan menerimanya sebagai ujian Allah kepada puan.
Pilihan pertama lebih baik jika ia membawa kebaikan kepada puan sendiri. Bagaimanapun, fikirlah dengan sebaik-baiknya sebelum mengambil sebarang keputusan agar tidak menyesal kemudian hari.
Sumber : Bernama
Post a Comment