Selepas lebih sepuluh tahun hidup bergelandangan, seorang lelaki kurang siuman akhirnya dibawa oleh pihak polis ke hospital dan kini ditempatkan di Wad Dahlia Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Sedih, Lelaki ini hidup tanpa pakaian selama sepuluh tahun |
Dia yang dikenali sebagai Ah Sang bagaimanapun tidak pernah mengganggu orang ramai, tetapi membuatkan penduduk sekitar takut terserempak dengannya yang tidak berbaju dan seluar.
Adun Teruntum, Sim Chon Siang, berkata, beliau mendapat aduan daripada orang ramai yang tidak selesa melihat Ah Sang merayau-rayau di kawasan itu dan mohon agar pihak bertanggungjawab tampil menyelesaikan perkara ini.
“Saya dihubungi oleh seorang penduduk yang tidak selesa melihat Ah Sang merayau-rayau dalam keadaan separuh bogel itu.
“Sejurus selepas dihubungi, saya terus ke lokasi Ah Sang berada dan memujuk dia untuk memakai baju dan seluar yang saya beli.
“Bagaimanapun, pujukan saya tidak berhasil tetapi tidak bertindak agresif,” katanya.
Chon Siang seterusnya menghubungi pihak polis untuk bantuan membawa Ah Sang ke hospital untuk rawatan dan pemerhatian pihak berwajib.
“Walaupun dia tidak mengganggu orang ramai, keadaan fizikal dia seperti itu mendatangkan rasa takut dan tidak selesa kepada orang ramai.
“Tambahan pula, kawasan yang dia sering merayau-rayau itu adalah kawasan umum yang selalu dikunjungi orang ramai termasuk pelancong asing,” katanya.
Ah Sang sebelum ini dikatakan tinggal di bawah jambatan galing sebagai kediamannya untuk tidur dan berehat selepas seharian merayau.
Justeru itu, Chon Siang berharap agar pihak bertanggungjawab turun padang melihat keadaan orang-orang kurang siuman seperti Ah Sang untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, walaupun tidak menimbulkan masalah, emosi orang kurang siuman seperti ini tidak dapat dijangka yang mungkin boleh menyebabkan masalah lain berlaku.
Tambahan pula, bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan bandar Kuantan, pihak berwajib harus peka terhadap situasi sekeliling bagi menjaga imej kawasan sekitar.
Sumber : SH
Post a Comment