Nama sebuah gerai makanan yang terletak bersebelahan Pangkalan Udara Butterworth ini pastinya mencuit hati sesiapa sahaja.
Unik: Kisah Gerai 'Mak Cik Sombong', Jadi Tumpuan Orang Ramai |
Menceritakan sejarah nama Mak Cik Sombong ini, pemilik gerai, Saiful Bahri, 43, berkata, nama gerai ini menjadi salah satu tarikan utama bagi pengunjung ke sini.
“Dahulu kami berniaga di Bagan Lebai Tahir, waktu itu perniagaan makanan ini diuruskan arwah ibu yang mempunyai raut wajah yang garang, berat melemparkan senyuman, waktu itu ada pelanggan yang takut-takut untuk bertandang ke kedai makanan kami di sana.
“Jadi disebabkan itu, ada pelanggan yang memanggil nama kedai dengan gelaran Gerai Mak Cik Sombong dan gelaran itu kekal sehingga ke hari ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, kedai asal mereka yang terletak di Bagan Tahir terpaksa ditutup dan kemudiannya berpindah ke Taman Senangan.
“Gerai makanan di sana dibina pada 1972, namun terpaksa ditutup tiga tahun lalu untuk memberi laluan kepada kerja pembangunan di sana.
“Disebabkan nama gerai sudah menjadi ingatan pelanggan, saya mengambil keputusan untuk mengekalkan nama ini,” katanya.
Menurut Saiful, ada juga yang sanggup datang jauh semata-mata untuk melihat sendiri gerai makanan Mak Cik Sombong kerana gerai ini unik.
Tidak cepat melatah dengan kehadiran ramai ‘peminat’, Saiful berkata, perkara itu secara tidak langsung mengingatkannya kepada arwah ibu.
“Arwah ibu tidak sombong seperti nama gerai, namun disebabkan raut wajahnya yang tegas, pelanggan menggelar gerai makanan ini dengan nama Mak Cik Sombong.
“Walaupun ibu meninggal lapan tahun lalu, namun saya bersyukur sambutan yang diterima masih tetap sama seperti dahulu,” katanya.
Menurutnya gerai Mak Cik Sombong dibuka dari jam 11 pagi hingga 5 petang dan menyajikan pelbagai hidangan menarik kepada pelanggan.
Sumber : BERNAMA
Post a Comment