Wellington: Beberapa gambar mengejutkan menunjukkan detik-detik akhir kebakaran belon udara panas di Carterton yang mengakibatkan kematian 11 penumpangnya – disifatkan kemalangan udara paling buruk New Zealand – didedahkan atas sebab kepentingan awam.
Semua gambar tragedi tiga tahun lalu itu pada mulanya dilarang disiarkan, namun koroner yang menyiasat kejadian, Peter Ryan, membenarkan empat daripadanya didedahkan atas permohonan keluarga mangsa dan media tempatan.
Gambar berkenaan jelas menunjukkan bakul membawa penumpang dan jurumudinya Lance Hopping terbakar sebelum hangus terus jatuh dari langit.
Detik akhir belon udara panas terhempas
Ayah seorang mangsa, Alexis Still, bersetuju gambar berkenaan didedahkan untuk mengelak tragedi seumpama itu berulang.
“Ia memberi kesan berbeza apabila kita melihat gambar kejadian berbanding sekadar membaca mengenainya,” katanya.
Ryan masih belum membuat keputusan bagi inkues itu, namun dalam prosiding tahun lalu mahkamah dimaklumkan Hopping, 53, penagih ganja tegar.
Malah laporan bedah siasat menunjukkan dadah berkenaan di dalam badannya yang dipercayai secara tidak langsung menjadi punca kejadian.
Mahkamah turut diberitahu, belon berkenaan terlanggar talian elektrik 33 kiloVolt (kV) dan terbakar sebelum tangki gas petroleum cair meletup memarakkan api.
Sumber : BERNAMA
Post a Comment