MH370: Saya terima hakikat mereka tidak akan kembali – Maira

MH370: Saya terima hakikat mereka tidak akan kembali – Maira

PETALING JAYA: Maira Elizabeth Nari, anak kepada Ketua Pramugara MH370, Andrew Nari menerima hakikat bahawa semua penumpang dan anak kapal pesawat malang berkenaan tidak akan kembali namun berharap agar kerajaan memberikan keadilan sewajarnya kepada keluarga mangsa yang terlibat.

MH370: Saya terima hakikat mereka tidak akan kembali – Maira
MH370: Saya terima hakikat mereka tidak akan kembali – Maira
“Hanya Tuhan yang mengetahui apa yang saya rasa setiap kali ada pengumuman atau deklarasi daripada kerajaan mengenai MH370.

“Saya boleh terima hakikat mereka tidak akan kembali, namun keadilan adalah satu kemestian kepada semua ahli keluarga MH370. Saya kini cuba berfikiran positif,” katanya dalam status yang dimuat naik di akaun twitter miliknya selepas Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengumumkan bahawa pesawat MH370 diisytiharkan sebagai terlibat dalam kemalangan dan semua 239 penumpang serta anak kapal terkorban.

Pengumuman rasmi kerajaan Malaysia itu disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman menerusi siaran rakaman yang disiarkan di RTM1 pada petang, Khamis.

Sementara itu, rakan kepada Kapten Zaharie, Dr Ghouse Mohd Noor berharap keluarga mangsa dapat menerima pengisytiharan yang diumumkan oleh DCA sebagai takdir yang telah ditentukan Allah.

“Saya yakin keluarga pasti sukar menerima berita ini, namun saya berharap agar mereka terus tabah dalam menghadapi hari-hari yang mendatang.

“Saya doakan mereka dapat menerima berita ini dengan tenang,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Jumaat.

Namun, Dr Ghouse berkata beliau agak terkilan dengan tindakan DCA menangguhkan sidang media yang dijadual diadakan di Putrajaya pada petang Khamis sebaliknya membuat pengumuman mengenai MH370 melalui siaran rakaman di RTM pada petang hari sama.

“Sepatutnya mereka mengadakan sidang media seperti yang dijadualkan, kerana ini mengundang spekulasi dikalangan pengamal media terutamanya media antarabangsa.

“Cara kerajaan menangani perkara ini agak mengecewakan keluarga waris yang terlibat kerana mereka juga tidak dimaklumkan lebih awal mengenainya pengisytiharan berkenaan,” katanya.

Ditanya sama ada keluarga mangsa akan menerima pampasan yang akan diberikan oleh Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) atau kerajaan Malaysia, beliau berkata: “Itu saya tidak pasti anda kena tanya kepada keluarga, namun mereka sememangnya enggan bercakap dengan pihak media mengenai isu MH370.”

“Saya juga tidak tahu sama ada mereka akan mengadakan majlis tahlil, jika ada insya-Allah saya akan hadir,” katanya.

Sementara itu, usaha mStar Online menghubungi Normah Jaafar, yang juga ibu kepada salah seorang anak kapal, Khairul Amri Selamat, 29 tidak berhasil kerana beliau tidak menjawab panggilan telefon.

Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal, berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi, 8 Mac 2014, hilang daripada radar sejam selepas itu ketika dalam penerbangan ke Beijing.

Sumber

Post a Comment

Previous Post Next Post