IMBASAN 2014: Bahagia Sementara, Bercerai Jua Akhirnya Mereka

IMBASAN 2014: Bahagia Sementara, Bercerai Jua Akhirnya Mereka

PETALING JAYA: Ketika ramai pasangan selebriti bahagia dengan kehidupan baru sebagai suami-isteri pada tahun ini, dunia artis juga tidak lari dengan krisis rumah tangga sehingga menyebabkan perceraian.

IMBASAN 2014: Bahagia Sementara, Bercerai Jua Akhirnya Mereka
IMBASAN 2014: Bahagia Sementara, Bercerai Jua Akhirnya Mereka 
Bagaimanapun ada juga penceraian yang memberi hikmah kepada sesebuah pasangan itu sebagai contoh penyanyi Adam (AF) dan isterinya, Fiza (Elite) yang bercerai pada April lalu, namun kembali rujuk dua bulan kemudian selepas menyedari kesilapan masing-masing.

Berikut adalah senarai pasangan yang dahulunya pernah mengikat janji sehidup semati akhirnya terpaksa berpisah jua.


Erra Fazira & Engku Emran Emgku Zainal Abdin
Tarikh cerai: 18 Februari 2014

Pelakon, Erra Fazira dan Engku Emran Engku Zainal Abdin bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 18 Februari 2014.

Pasangan berkenaan turut bersetuju untuk menyelesaikan hak penjagaan anak mereka iaitu Engku Aleesya yang kini berusia lima tahun tanpa sebarang pertikaian.


Erra Fazira hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur dengan menutup muka pada sesi lafaz cerai yang dibuat suaminya, Engku Emran.

Engku Emran selaku defendan diberikan hak penjagaan sepenuhnya terhadap anak perempuan mereka manakala Erra diberikan hak lawatan dan bermalam selain cuti sekolah dan hari perayaan.

Pelakon itu juga tidak menuntut sebarang nafkah daripada bekas suaminya.

Erra dan Emran berkahwin pada 25 Oktober 2007. Sebelum itu Erra bertemu jodoh dengan penyanyi Yusry Abdul Halim dan bernikah pada 15 Jun 2003. Mereka bercerai tiga tahun kemudian tanpa dikurniakan cahaya mata.


Liza Abdullah & Zolkifli Abdul Rahman
Tarikh cerai: 24 Februari 2014

Pelakon terkenal, Liza Abdullah sah bercerai talak satu dengan Zolkifli Abdul Rahman di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 24 Februari 2014.

Lafaz berkenaan dibuat oleh Zolkifli, 58, di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin selepas dia bersetuju untuk menceraikan isterinya secara baik.

Menerusi laporan mStar Online, suasana di dalam kamar pilu apabila pasangan itu menangis teresak-esak sambil berpelukan sebelum lafaz cerai.

Liza, 50, memfailkan permohonan perceraian tersebut menerusi peguam syarie, Sa'adiah Din pada 25 November 2013.

Terdahulu, pasangan berkenaan mengakui sudah tidak tinggal sebumbung sejak beberapa tahun lalu selain mengalami konflik berpanjangan dalam rumah tangga mereka.

Hasil perkahwinannya dengan Zolkifli kira-kira 26 tahun, mereka turut dikurniakan empat anak iaitu Zulhaffiz Zarriq, 25, dan Nurwafiez Syahiddah, 21, Zulsyahmi Naqib, 12, dan Zulsyahmi Afif, 10.


Dynas Mokhtar & Hafizy Hafiz
Tarikh cerai: 25 Februari 2014

Pengacara dan pelakon terkenal, Dynas Mokhtar telah membuat pengakuan secara rasmi pada bulan lalu bahawa dia sudah berpisah dengan, Hafizy Hafiz sejak 25 Februari 2014.

Sebelum itu, Dynas enggan memberi komen mengenai gosip pergolakan rumah tangganya yang menjadi bualan ramai sejak akhir tahun 2013.

Dynas dan Hafizy telah berkahwin pada 15 Mac 2008 dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan dua cahaya mata Khayra Khalyssa 4, dan Mohamed Haqaish, 2.


Fiza (tengah) ditemani rakan-rakannya ketika lafah cerai antara dia dan Adam. Mereka kemudian rujuk semula.


Adam (AF) & Fiza (Elite)
Tarikh cerai: 28 April 2014
Kembali Rujuk: 17 Julai 2014

Pasangan selebriti Adam (AF) dan Fiza (Elite) sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam selepas tujuh bulan menjadi suami-isteri.

Lafaz cerai dilakukan dihadapan hakim syarie, Tuan Muhamad Nazri Basrawi mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 31, berkata, dia dan Fiza bercerai secara baik tanpa sebarang tuntutan.

Bagaimanapun selepas menyedari kesilapan masing-masing, pasangan itu akhirnya sepakat untuk kembali rujuk pada 17 Julai lalu.

Pasangan itu telah bernikah pada 26 September 2013 hanya selepas dua bulan berkenalan.

Sebelum itu Fiza pernah berkahwin dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin pada 8 September 2006 dan bercerai pada 4 November 2010.

Hasil perkahwinan Fiza dan Ahmed Farriq itu mereka mendapat dua orang anak iaitu Ferra Aryana, 6, dan Feeya Adyrra, 5.

Ia merupakan perkahwinan pertama buat Adam.


Izreen Azminda & Muhammad Riza
Tarikh cerai : 9 Jun 2014

Pelakon Izreen Azminda, 29, sah bercerai talak satu dengan Muhammad Riza pada 9 Jun 2014 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Sebelum itu, Riza, 31, kononnya dikatakan telah melafazkan cerai terhadap Izreen Azminda yang dilakukan di lokasi penggambaran sebuah drama di Pulau Pinang pada 16 Mei lalu.

Izreen atau nama sebenar Izreen Azminda Aznam bergelar isteri kepada Muhammad Riza pada 31 Ogos 2012.

Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Adrian Umar yang kini berumur setahun.


Abby Abadi & Muhammad Noor Farhan Che Bakar
Tarikh cerai: 11 Jun 2014

Bekas anggota kumpulan Elite dan pelakon Abby Abadi atau nama sebenarnya Arbaiyah Abd Manan, 37, sah bercerai talak satu dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur.

Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin memutuskan lafaz cerai menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dibuat Muhammad Noor Farhan pada 9 Mei lalu selaku defendan adalah sah mengikut rukun dan syarak yang ditetapkan.


Abby Abadi (kiri) akhirnya berpisah dengan Muhammaf Noor Farhan.

Abby dan Farhan bernikah pada 9 Julai tahun lepas di Selatan Thailand dan mendapat pengesahan di Kelantan.

Pelakon siri Gerak Khas itu sebelum ini pernah melangsungkan perkahwinan dengan pelakon Norman Hakim dan dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata.


Raja Azmi & Mohd Eddie Ghazali
Tarikh cerai : 11 November 2014

Penerbit yang penuh dengan kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman, 55, dengan suaminya Mohd Eddie Ghazali, 46 sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 11 November 2014.

Eddie yang popular dalam kumpulan CRK dengan lagu Cinta Dan Air Mata (tahun 1990-an) bernikah dengan Raja Azmi pada 13 Oktober 2013 dengan sekali lafaz.

Majlis akad nikah dilakukan di Laman Beringin, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Raja Azmi sebelum ini pernah berkahwin dengan jaguh badminton negara, Mohd Jalani Sidek dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Puteri Suraya, 30, Puteri Suaida, 26, dan Megat Deli, 21.

Eddie pula memiliki dua orang anak bersama arwah isterinya iaitu Daniel, 23, dan Effy, 21.


Sari Yanti & Mohd Edy Casmadi Che Hussain
Tarikh cerai: 17 Disember 2014

Pelakon Sari Yanti dan suaminya, Mohd. Edy Casmadi Che Hussain telah bercerai secara tebus talak sebanyak RM10,000 di Mahkamah Syariah, Seremban Negeri Sembilan pada 17 Disember 2014.

Tebus talak sebanyak RM10,000 itu dibayar oleh Sari Yanti atau nama sebenarnya Sari Yanti Mohamad Nazari, 30, kepada Mohd. Edy Casmadi, 34.

Fakhrul Azman yang sebelum ini pernah memfailkan permohonan nusyuz (kembali taat) pada 7 Mac lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling memohon perbicaraan nusyuz itu ditangguhkan bagi membolehkan kedua-dua pihak mencari penyelesaian secara baik berhubung kes itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Februari 2015 untuk perbicaraan kes itu sekiranya tidak ada penyelesaian antara pasangan itu.

Sari Yanti memfailkan tuntutan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2003 pada 25 Februari 2014.

Pasangan berkenaan berkahwin pada 16 Januari 2009 dan dikurniakan dua anak lelaki, Barr Al Aly, 4, dan Basit Al-Haq, 2.


Ieda Moin & Mohamad Naquib
Tarikh cerai: 18 Disember 2014

Penyanyi dan pelakon Ieda Moin sah bercerai talak satu denga Mohamad Naquib Idris di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abd Moin, 35, memberitahu mahkamah perceraian itu adalah jalan terakhir sebagai penyelesaian kemelut rumah tangga mereka.

Pasangan itu berkahwin pada 4 November 2006 dan dikurniakan seorang cahaya mata.



Sumber : MStar

Post a Comment

Previous Post Next Post