Perjalanan pulang pensyarah berakhir tragedi

Perjalanan pulang pensyarah berakhir tragedi

Pekan -Perjalanan pulang seorang pensyarah ke rumahnya berakhir dengan tragedi apabila dia maut selepas kereta dipandu bertembung dengan lori di Kilometer 40, Jalan Kuantan 40, Jalan Kuantan-Segamat, Berhampiran Batu 8, Lepar, dekat sini, kelmarin.

Perjalanan pulang pensyarah berakhir tragedi
Perjalanan pulang pensyarah berakhir tragedi

Kejadian jam 5 petang itu menyebabkan mangsa, Mohamed Fauaad Hassan, 41, dari Batu 8, Lepar, Gambang, Kuantan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.


Pemandu lori hanya dikenali sebagai Din berusia 30-an cedera di kaki dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan serta dilaporkan stabil.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Deputi Superintendan Mohamad Noor Yusuf Ali berkata, kejadian berlaku apabila Mohd Fauaad yang memandu kereta Perodua Kancil dalam perjalanan dari tempat kerjanya di Kolej Matrikulasi Pahang, Gambang menuju ke rumahnya.

“Namun, ketika tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan menyebabkannya bertembung dengan lori tanpa muatan dari Segamat menuju ke Kuantan.

“Akibat pertembungan itu, kereta mangsa remuk menyebabkannya tersepit di tempat duduk pemandu sebelum orang ramai yang menyaksikan kejadian segera menghubungi pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, Mohamed Fauaad disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan yang tiba di tempat kejadian 20 minit sebelum mayatnya dihantar ke HTAA untuk dibedah siasat.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai pensyarah di Kolej Matrikulasi Pahang dalam perjalanan ke rumahnya selepas tamat sesi pembelajaran, namun ketika tiba di tempat kejadian, dia kemungkinan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan seterusnya bertembung dengan sebuah lori.

“Ketika kejadian, keadaan jalan mungkin licin berikutan hujan lebat dan cuaca pula mendung, namun keadaan trafik lancar. Kami masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.

Mohd Noor berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada saksi serta pemandu lori untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis menasihati pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan mematuhi peraturan ditetapkan terutama ketika musim tengkujuh ini bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya, lapor Hmetro.



Sumber : KLpost

Post a Comment

Previous Post Next Post