“SEDIH hati lihat barangan dapur dibelinya bertaburan di atas jalan. Dia janji nak masak sedap untuk berbuka hari ini,” kata Arman Ahmad, 42, suami Wan Zaida Wan Zaid, 43, yang maut dalam kemalangan, hari ini.
‘Hajat masak sedap tak kesampaian’ – Ibu maut, dua anak cedera |
Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa keluar dari simpang sebelum dirempuh motosikal Yamaha LC125 yang datang dari arah Kuala Terengganu.
ARTIKEL MENARIK: PANAS! Ada cerita menarik, kata bos baru SPRM
Rempuhan kuat itu menyebabkan tiga beranak terbabit tercampak ke atas jalan, manakala lelaki yang menunggang Yamaha 125LC bertindak meninggalkan motosikalnya dan melarikan diri.
Arman berkata, isterinya itu keluar rumah pada 12.30 tengah hari untuk mengambil dua anak mereka yang belajar di Sekolah Kebangsaan Pulau Serai.
“Arwah biasanya memberitahu setiap kali hendak keluar, tetapi hari ini saya terkejut apabila dia keluar tanpa memaklumkan kepada saya.
“Setengah jam kemudian, jiran datang ke rumah memaklumkan isteri dan anak kemalangan dan saya sangkakan hanya kemalangan kecil.
“Saya bergegas ke tempat kejadian dan luluh hati melihat mayat isteri terbujur kaku. Bagaimanapun, saya masih bersyukur kerana dua anak hanya cedera ringan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Arman berkata, Allahyarham seorang isteri yang baik dan hasil perkahwinan selama 22 tahun mereka dikurniakan enam anak berusia 19 hingga tujuh tahun.
“Beberapa hari lalu, arwah ada beritahu dia berniat untuk menyediakan masakan yang sangat sedap kepada anak-anaknya berbuka puasa hari ini. Disebabkan itu selepas mengambil anak di sekolah, mereka terus ke kedai membeli kelengkapan.
“Tetapi hajatnya tidak kesampaian kerana umur tidak panjang. Siapa tidak sedih kehilangan isteri sekelip mata apatah lagi Aidilfitri bakal menjelang, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Post a Comment