Antara kisah seram yang popular di Universiti Teknologi Petronas (UTP) adalah berkenaan pontianak yang berkeliaran di kawasan Village 5. Daripada cerita pelajar-pelajar UTP, terdapat dua versi yang hampir serupa tapi tak sama mengenai kisah tersebut.
Amukan Pontianak di Village 5 Universiti Teknologi Petronas. Penakut Jangan Baca Kisah Ini! |
Di sini akan berkongsi dengan pembaca semua kedua-dua versi cerita tentang bagaimana pontianak itu muncul di Village 5 (V5), UTP. Versi pertama lebih ringkas ceritanya manakala versi kedua menceritakan dengan lebih terperinci mengenai kisah seram pontianak yang berlaku di Village 5.
Pontianak di Village 5: Versi 1
Ada seorang lelaki A, pelajar UTP. Info tentang bidang pengajian dan tahun tidak dapat dikenal pasti. Dia bercinta dengan seorang gadis B dari UiTM. Nak diceritakan mereka ini pernah macam-macam sampai terlanjur. Nak dijadikan cerita, lelaki A ni akhirnya jumpa seorang gadis C yang sama-sama belajar kat UTP dan terus jatuh hati. Kemudian, lelaki A pun putus dengan gadis B, lalu tinggallah B yang terpinga-pinga ini.
Kerana kecewa gadis B nak datang UTP untuk berjumpa dengan lelaki A, tetapi dia kemalangan di tengah perjalanan dan meninggal dunia. Gadis B dikatakan kemudian menjadi pontianak dan menganggu hidup lelaki A dan gadis C di UTP. Kes ini dikatakan sangat teruk sehingga Ustaz Harun Din pernah datang ke UTP untuk memulihkan keadaan tetapi tidak berjaya buat apa-apa.
ARTIKEL MENARIK: 'Nak Ambil Ubat Jer Mesti Tanya Nama, Tak Pandai Baca Ke?' Ini Sebab Kenapa Pegawai Farmasi Tanya Nama Sebelum Beri Ubat Pada Pesakit
loading...
Dengar cerita lelaki A sampai pernah dapat mesej dari nombor telefon gadis B walaupun setelah gadis B meninggal. Itu cerita versi satu. Dalam versi kedua pula, ceritanya lebih kurang sama, tapi ceritanya lebih terperinci. Dalam versi kedua ini mungkin ada tokok tambah dan perencah-perencah penambah perisa yang menjadikan cerita ini lebih menarik dan menyeramkan.
Pontianak di Village 5: Versi 2
Ada seorang lelaki A, pelajar UTP. Beliau bercinta dengan seorang gadis B, yang juga pelajar UTP. Gadis C pula bercinta dengan jejaka D. Kedua-dua orang gadis C dan jejaka D ini tidak diketahui pelajar mana. Tetapi jejaka A dan gadis B adalah kawan kepada gadis C.
Ceritanya gadis C pernah macam-macam dengan jejaka D (terlanjur lah, takkan nak kena explain lagi sekali) sampai mengandung. Namun kisah cinta gadis C dan jejaka D tidak ke mana apabila cinta mereka putus di tengah jalan. Kemudian si jejaka A dan kekasihnya B bersimpati kepada gadis C yang mengandung dan telah ditinggalkan begitu saja oleh kekasihnya.
Mereka memutuskan untuk membantu dan menjaga si gadis C seberapa yang mampu. Oleh kerana jejaka A begitu mengambil berat tentang dirinya, akhirnya gadis C terjatuh hati kepada A. Gadis B dapat tahu mengenai perkara ini dan marah kepada gadis C. Sejak itu jejaka A dan gadis B menjarakkan diri mereka daripada gadis C, meninggalkan si gadis C ini terpinga-pinga seorang diri. Dalam keadaan mengandung dan tiada tempat mengadu, gadis C buntu dan merasa sangat tertekan.
Suatu hari keluar berita di dada akhbar mengenai penemuan mayat seorang gadis yang mengandung. Ya, itulah mayat gadis C. Tidak tahu apa punca kematiannya. Kisah seram bermula apabila setelah mati, arwah gadis C ini menjadi pontianak dan merasuk gadis B. Jejaka A ini tinggal di Village 5. Pada mulanya, jejaka A ini tidak perasan gadis B dah dirasuk oleh arwah gadis C sampai la satu kejadian.
Lebih kurang macam ini kejadian itu: Jejaka A menelefon gadis B seperti biasa, “Hello sayang. blablabla”. B membalas, ” Ya sayang bla bla bla”. Selepas cakap dua tiga minit talian terputus. Jejaka A menyalahkan talian telefon dekat village 5 yang sememangnya lemah dan lembap macam siput.
Jejaka A telefon lagi gadis B. Mereka bersembang semula. Tetapi suara gadis B macam lain sikit kedengaran di telinganya. Dua tiga minit kemudian talian terputus lagi. Jejaka A telefon balik dan perkara yang sama berulang. Suara si gadis B asyik bertukar, sekejap lain dan talian telefon kerap terputus.
Sampai lah akhir sekali tiba-tiba selepas jawab telefon gadis B menjawab “Eh maaf la awak, tadi tertido pula”. Jejaka A terkejut dan pelik. Habis itu siapa yang jawab telefon dekat lima enam kali dan bercakap dengannya semasa dia telefon tadi??! Kemudian, talian telefon terputus lagi.
Selepas itu, bila jadi macam tu lagi, jejaka A dah rasa lain macam. Dia beranikan diri untuk menelefon semula. Apabila panggilannya dijawab, dia pasti itu memang bukan suara gadis B. Jejaka A terus menyoal,”Siapa yang cakap ni. Baik cakap betul-betul”. Lalu suara itu menjawab,
“Oh, dah kantoi ya (lebih kurang macam inilah perbualan mereka). Ini sayalah, C.”
“Ha? La, C rupanya ingatkan siapa lah yang main-main tadi. Lama tak dengar berita. Kat mana ni? Macam-mana boleh jawab telefon B ni?”, tanya jejaki A bertubi-tubi. Ketika itu, jejaka A masih tidak tahu mengenai berita kematian gadis C. “Oh. Saya ada sini, saya di dalam badan B”, jawabnya. Jejaka A terkejut. Perasaan tidak enak mula menguasai diri.
“Emm, ye la C. Aku tahu kita ada banyak perkara untak diselesaikan. Meh la datang jumpa ‘face to face’ dengan aku”, kata Jejaka A. “Oh nak jumpa ke? Mari la, tengok kat luar tingkap”, jawab gadis C. (Untuk pengetahuan pembaca kisahseram.com, jejaka A duduk kat aras tiga V5).
Jejaka A langsung tidak berani menoleh ke arah tingkap biliknya. Semua bulu roma di badannya meremang. Masa itu, teman sebilik jejaka A terdengar perbualan mereka. Dia kemudian cakap pada jejaka A, “Oihh. Aku nak jumpa dia gak. Mana-mana?? Luar tingkap je? hahaha”, teman sebilik jejaka A bercakap dengan gaya bergurau.
Tiba-tiba serentak dengan tu telefon bimbit teman sebilik jejaka A berbunyi menandakan ada mesej yang masuk. Buka je telefon ada mesej yang berbunyi lebih kurang macam ini, ‘Nak jumpa aku? Pandang luar’. Apabila mereka memandang ke luar tingkap, mereka nampak ada pontianak yang tengah terbang sambil mengilai. Akibatnya, teman sebilik jejaka A demam teruk selama seminggu.
Waktu itu semua pelajar yang duduk satu aras dengan jejaka A akan tutup tingkap bilik dan langsir bila malam menjelma. Jejaka A dan gadis B pun diganggu oleh pontianak itu dengan teruk. Dalam versi dua ini Ustaz Harun Din menghantar anak murid dia untuk datang tolong menghentikan gangguan yang berlaku tetapi dengar ceritanya tidak dapat buat apa-apa kerana pontianak tu sebelum mati dah tak islam. Tidak tahu apakah sebabnya.
Itu sahaja kisah pontianak di Village 5, Universiti Teknologi Petronas. Diingatkan kepada semua pembaca kisahseram.com, ini kisah yang disampaikan dari mulut ke mulut dan bukannya daripada tuan badan yang mengalami peristiwa itu sendiri. Mungkin kisah ini benar-benar berlaku lama dahulu atau mungkin cuma ditokok tambah bagi menyedapkan cerita. Wallahualam.
Sumber: via Kapal Terbang Kertas via coretanhati
Post a Comment