KUALA LUMPUR: Sebuah restoran mamak terkenal di Kuala Lumpur yang tular dengan kisah harga kari kepala ikan yang didakwa ‘cekik darah’, diserbu pihak berkuasa, Rabu.
Kepala Ikan RM600: Restoran Mamak Diserbu KPDNKK |
Semakan mendapati, semangkuk kari kepala ikan yang dijual di premis tersebut berharga dari RM50 ke RM150 mengikut saiz.
Penolong Pengarah Unit Anti Pencatutan Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Fredlee Sintau berkata, pemeriksaan dibuat mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.
Katanya, satu notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 kepada peniaga bagi mendapatkan maklumat berhubung butiran lanjut mengenai hidangan kegemaran ramai itu.
ARTIKEL MENARIK: (VIDEO) Gara-Gara Kencing Dalam Lift & Menyebabkan Litar Pintas, Lelaki Ini Terperangkap Dalam Lift..
loading...
“Berdasarkan pemeriksaan, premis tersebut menunjukkan tanda harga bagi setiap makanan dan minuman yang dijual termasuk kari kepala ikan.
“Bagaimanapun, kita menasihatkan peniaga supaya memaklumkan dengan lebih jelas penandaan harga dari segi saiz kepala ikan.
“Sebagai contoh, berapa harga untuk kari kepala ikan saiz kecil, sederhana dan besar. Penandaan harga lebih khusus ini untuk mengelakkan kekeliruan pengguna,” katanya ketika ditemui mStar Online di premis berkenaan, Rabu.
Fredlee Sintau
Pemeriksaan sejak tengah hari Rabu itu melibatkan tujuh pegawai ibu pejabat KPDNKK di Putrajaya dan cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Fredlee berkata, siasatan masih dijalankan sementara menunggu maklum balas daripada peniaga kepada Bahagian Penguatkuasa KPDNKK.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk bertanya kepada pemilik kedai atau menyemak senarai harga yang dipamerkan sebelum mengambil makanan, untuk mengelakkan masalah itu daripada berlaku.
Pada Selasa, mStar Online melaporkan makan malam dua buah keluarga di sebuah restoran mamak terkenal di Kuala Lumpur, hujung minggu lalu dikejutkan dengan harga kari kepala ikan yang didakwa terlalu mahal.
Berdasarkan satu resit yang dimuat naik seorang pengadu di laman sosial pada Isnin, empat mangkuk kari kepala ikan merah yang dipesannya berjumlah RM600.
Ini bermakna setiap ketul kepala ikan berharga lebih kurang RM150, dan ia belum termasuk hidangan makanan dan minuman lain, menjadikan keseluruhan bil hampir RM1,000.
“Saya rasa caj yang dikenakan berlebihan. Saya ambil keputusan untuk tidak lagi ke restoran tu. Anda semua, sila berhati-hati,” menurut ‘posting’ itu yang kini tular.
Pengadu, Faudzy Asrafudeen Sayed Mohamed, 56, ketika dihubungi mStar Online berkata, dia tidak menyangka harga makanan di restoran mamak tersebut semahal itu.
Katanya, ini bukan pertama kali dia makan kari kepala ikan di restoran mamak dan menjelaskan harga yang biasa dikenakan kepada pelanggan adalah antara RM50 dan RM80 semangkuk.
“Saya memang tak tengok menu sebab biasanya tahu purata harga yang nak dibayar. Walaupun dah ada bajet, tapi terkejut bila tengok harga kepala ikan macam tu,” katanya.
Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/11/22/kpdnkk-serbu-mamak-mahal/#HUiziYHrEOTLiXcK.99
Post a Comment